Virus Nipah yang dibawa oleh kelawar dan kadangkala menjangkiti manusia, lebih cenderung menjangkiti dari individu kepada individu lain apabila pesakit yang dijangkiti virus tersebut lebih tua, lelaki dan/ atau mengalami masalah pernafasan. Ia berdasarkan penyelidikan yang diketuai oleh para saintis di Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health.
Penyelidikan tersebut yang diterbitkan pada 9 Mei 2019 di dalam New England Journal of Medicine, adalah penilaian yang paling komprehensif pada masa ini mengenai penularan daripada individu kepada individu semasa penularan wabak virus Nipah. Wabak ini berada pada kadar yang sedikit di seluruh Asia, tetapi kadar kematian di tahap wabak telah berada pada kadar yang sangat tinggi, iaitu antara 40 hingga 100 peratus.
Ahli epidemiologi bimbang sekiranya virus Nipah ini boleh bermutasi untuk menjadi lebih menular dalam kalangan manusia dan menyebabkan wabak bencana. Penemuan menunjukkan bahawa dengan mengurangkan pendedahan kepada rembesan pernafasan daripada pesakit yang dijangkiti harus menjadi keutamaan dalam respon wabak pada masa hadapan.
Menurut pengarang bersama penyelidikan, Emily Gurley, seorang saintis bersekutu di Jabatan Epidemiologi, Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, oleh sebab sistem kesihatan berkembang dan pesakit mendapat penjagaan secara terus daripada kakitangan klinikal dan menjalani prosedur yang lebih banyak di tempat di mana wabak virus Nipah berlaku, mungkin terdapat peluang untuk penyebaran virus tersebut yang lebih luas di hospital. Dengan memahami faktor-faktor yang mempengaruhi penyebaran tersebut, kita dapat mengurangkan kelemahan pada masa hadapan terhadap patogen berbahaya ini.
Sejarah virus nipah
Virus Nipah mula dikenal pasti pada tahun 1999 berikutan wabak tersebut yang berlaku di Malaysia yang mengakibatkan 300 kes jangkitan dan mengakibatkan kematian lebih daripada 100 orang di kawasan penternakan babi.
Jangkitan tersebut turut melibatkan pemusnahan lebih daripada satu juta babi dari ladang-ladang tempatan. Nama virus tersebut diambil daripada nama kampung tempat di mana penternak babi jatuh sakit dengan encephalitis, iaitu Sungai Nipah.
Hos haiwan utama virus Nipah adalah kelawar buah yang banyak terdapat di seluruh dunia – dari Australia, merentasi Asia dan melalui pantai timur Afrika. Tetapi, virus tersebut kadangkala menyebar kepada babi dan haiwan lain, tidak terkecuali terhadap manusia. Gurley adalah pengarang kanan bagi satu kajian pada tahun 2016 yang menemui sap pelepah pokok kurma yang tercemar dengan kelawar adalah punca utama wabak yang menjangkiti manusia di Bangladesh.
Kesan jangkitan virus Nipah
Jangkitan virus Nipah pada manusia menyebabkan demam dan encephalitis, atau keradangan otak, selalunya beserta sawan dan koma. Sesetengah pesakit juga mengalami penyakit pernafasan seperti pneumonia. Di Bangladesh, di mana pengawasan kesihatan awam terhadap wabak virus Nipah lebih luas dari tempat lain, kadar kes kematian adalah kira-kira 75 peratus.
Pasukan penyelidikan membuat kesimpulan bahawa hanya 82 daripada 248 kes yang mungkin disebabkan oleh jangkitan dari individu yang dijangkiti; manakala selebihnya dipercayai melibatkan transmisi haiwan kepada manusia.
Faktor penyebaran virus Nipah
Analisis penyelidik mengaitkan beberapa faktor utama yang meningkatkan risiko penyebaran virus Nipah dari individu kepada individu lain. Faktor pertama adalah jantina: Pesakit lelaki menjangkiti kira-kira lapan kali lebih ramai individu berbanding pesakit wanita. Faktor kedua adalah umur: hampir semua kejadian penyebaran berasal dari pesakit yang berusia lebih daripada 45 tahun. Kesemua pesakit yang menjadi penyebar jangkitan adalah lelaki yang lebih tua.
Kehadiran penyakit pernafasan adalah satu lagi faktor risiko: Hampir semua transmisi dari individu kepada individu datang dari pesakit yang dijangkiti yang mengalami masalah pernafasan, yang mana ianya konsisten dengan idea bahawa virus tersebut dapat mengembara melalui air liur dan hembusan pernafasan.
Akhirnya, penyebaran muncul pada fasa akut dan gejala penyakit, dan tahap keparahan penyakit adalah antara faktor lain dalam risiko penyebaran. Gurley menyatakan, semua pesakit yang menjangkiti orang lain adalah pesakit yang pada kemudiannya meninggal dunia akibat jangkitan mereka sendiri.
Pasukan penyelidikan mengesyorkan agar langkah-langkah kesihatan awam untuk mencegah wabak virus Nipah perlu memberi tumpuan kepada kenalan pesakit yang dijangkiti dan harus melibatkan langkah-langkah untuk mengehadkan pendedahan – antara kenalan peribadi dan pekerja penjagaan kesihatan – kepada air liur dan rembesan pernafasan daripada pesakit.
Baca juga:
- Virus Zika dan Kehamilan: Apa yang Anda Perlu Tahu?
- MERS-CoV: Virus Dari Timur Tengah
- Chickenpox: Penyakit Berjangkit Bawaan Virus
[embed-health-tool-bmi]