Pengeluaran KWSP Untuk Rawatan IVF, Insentif Buat Pasangan Berkahwin

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pengeluaran KWSP, Rawatan IVF – Berita Baik Bajet 2020

“Eh, takda anak lagi ke? Dah berapa lama kahwin ni?”, itu pastinya merupakan antara persoalan yang sering ditanya kepada pasangan sudah berkahwin tetapi masih belum mempunyai rezeki menimang cahaya mata. 

Rawatan IVF dengan KWSP

Percayalah, setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu menantikan kehadiran zuriat dalam kehidupan mereka. Malahan tentu mereka telah berusaha melakukan pelbagai rawatan untuk mendapatkan zuriat.

Sempena pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 yang lalu, cadangan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran sebelum persaraan bagi kos rawatan kesihatan selaras syarat KWSP dan tidak dikenakan penalti cukai pastinya merupakan satu perkhabaran yang amat dinantikan. 

Insentif kesuburan yang melibatkan seperti rawatan in-vitro fertilisation (IVF), merupakan antara kategori pengeluaran KWSP baru dan akan mendapat pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000.

Berita baik yang dinanti

Selaras dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Tunku Alizakri Alias berkata, “Mengambil maklum cadangan daripada Kerajaan, KWSP akan mewujudkan pilihan baru di bawah Akaun 2 bagi pengeluaran untuk rawatan kesuburan. 

Rata-rata pasangan yang berkahwin menyambut baik cadangan dalam Belanjawan 2020. Ini kerana tidak semua pasangan berpeluang untuk menjalani rawatan kesuburan yang melibatkan kos yang tinggi seperti IVF.

Apa itu rawatan in-vitro fertilisation?

Umumnya in-vitro fertilisation atau dahulunya dikenali sebagai “bayi tabung uji” adalah satu prosedur rawatan yang memerlukan telur untuk disenyawakan dengan sperma di dalam makmal untuk menghasilkan embrio. Kemudian, embrio akan dimasukkan ke dalam rahim. IVF boleh dijalankan dengan mendapat telur daripada isteri dan sperma daripada suami.

IVF selalunya akan menjadi pilihan terakhir untuk pasangan yang kurang subur selepas mereka gagal dalam rawatan seperti perubatan, pembedahan dan intrauterine insemination (IUI). Meskipun prosedur ini adalah kaedah yang paling berkesan untuk hamil, namun proses ini memakan masa dan mahal.

Tidak salah mencuba

Memandang Kerajaan sudah membuka jalan, kenapa tidak anda dan pasangan yang masih belum mempunyai cahaya mata mengambil peluang dan mencuba kaedah rawatan ini. Walau apa pun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Kami di Hello Doktor mendoakan yang terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: