
Vaksin Denggi & Saringan Anemia Percuma Untuk Anak? Ini Lokasi Yang Parents Kena Tahu!
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memperluas program vaksin denggi dan saringan anemia percuma kepada kanak-kanak berumur 7 hingga bawah 12 tahun menerusi beberapa sesi komuniti tambahan di sekitar Lembah Klang.

Inisiatif yang dikenali sebagai Program Saringan Anemia dan Pencegahan Denggi ini bertujuan memudahkan ibu bapa mendapatkan perkhidmatan kesihatan untuk anak-anak, khususnya pada hujung minggu dan di lokasi yang lebih dekat dengan kediaman mereka.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, klik di sini.
Kenapa saringan anemia dan pencegahan denggi penting?
Anemia atau keadaan kekurangan hemoglobin dalam darah sering berlaku tanpa disedari. Kanak-kanak yang mengalaminya mungkin mudah letih, kelihatan pucat, kurang bertenaga atau sukar memberikan tumpuan ketika belajar di sekolah.
Jika tidak dikenal pasti dan dirawat, anemia boleh menjejaskan proses pembelajaran, pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak. Menurut kenyataan PPUM, kanak-kanak yang mengalami anemia juga mungkin lebih terdedah kepada penyakit serius sekiranya dijangkiti denggi.
Dalam masa sama, situasi denggi di Malaysia masih membimbangkan. Sehingga 14 Oktober 2026, lebih 76,000 kes denggi dilaporkan di seluruh negara.
Lebih 3,600 kanak-kanak sertai program sejak Mei 2026
Menurut PPUM, lebih 3,600 kanak-kanak telah menyertai program tersebut antara Mei hingga Oktober 2026, dengan sekitar 60 hingga 70% memilih untuk menerima vaksin untuk denggi.
Sesi komuniti sebelum ini telah diadakan di beberapa kawasan termasuk Petaling Jaya, Ampang, Kepong, Subang dan Shah Alam. Sambutan yang menggalakkan mendorong pihak PPUM memperluas pelaksanaan program ke lebih banyak lokasi.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPUM, Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki berkata, penganjuran sesi tambahan berhampiran kawasan kediaman dan pada hujung minggu diharap dapat memudahkan lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka menjalani saringan kesihatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa program ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk berbincang dengan pasukan perubatan mengenai langkah pencegahan denggi yang bersesuaian untuk anak-anak.

Jadual program vaksin denggi dan saringan anemia percuma
Bagi ibu bapa yang berminat, berikut merupakan jadual sesi komuniti yang akan berlangsung sepanjang November 2026.
| Tarikh | Lokasi | Masa | Pendaftaran |
| 1 November 2026 (Ahad) | Masjid Subang Perdana | 9.00 pagi – 3.00 petang | Daftar di sini |
| 14 November 2026 (Sabtu) | PPR Pinggiran Bukit Jalil | 9.00 pagi – 3.00 petang | Daftar di sini |
| 22 November 2026 (Ahad) | Apartment Idaman Damansara Damai PJU 10/1 | 9.00 pagi – 3.00 petang | Daftar di sini |
| 28 November 2026 (Sabtu) | PPR Lembah Subang 2 | 9.00 pagi – 3.00 petang | Daftar di sini |
Ibu bapa atau penjaga boleh mendaftarkan anak melalui pautan yang disediakan atau hadir secara walk-in pada hari program.
Selain pemeriksaan kesihatan, beberapa sesi komuniti terpilih turut menyediakan aktiviti sampingan seperti persembahan badut, belon, supadoopa dan pemberian beg cenderamata untuk kanak-kanak.
Siapa yang layak menerima vaksin demam denggi percuma?
Program ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 tahun hingga bawah 12 tahun yang belum pernah menerima suntikan denggi sebelum ini.
Antara perkara penting yang perlu diketahui ibu bapa ialah:
- Had umur: Kanak-kanak berumur 7 hingga bawah 12 tahun.
- Sejarah vaksinasi: Belum pernah menerima vaksinasi denggi.
- Kawasan liputan: Klinik PPUM menerima kanak-kanak yang tinggal atau bersekolah di daerah Petaling, Kuala Lumpur atau Ampang.
- Sesi komuniti: Ibu bapa perlu mengesahkan kelayakan anak dengan pihak penganjur.
- Pemberian vaksin: Bersifat pilihan dan tertakluk kepada kelayakan serta ketersediaan stok.
Penting untuk difahami bahawa pemberian vaksin denggi bukanlah wajib bagi semua peserta. Ibu bapa boleh mendapatkan penerangan lanjut daripada pasukan perubatan sebelum membuat keputusan mengenai vaksinasi anak mereka.
Sesi walk-in di PPUM turut disediakan sehingga 30 Oktober
Selain program komuniti pada hujung minggu, PPUM turut menyediakan sesi saringan dan vaksinasi secara walk-in di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, Aras 5, PPUM.
Perkhidmatan ini berlangsung sehingga 30 Oktober 2026, setiap Selasa hingga Jumaat, dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Ia tidak beroperasi pada hari Isnin, hujung minggu dan cuti umum. Ibu bapa yang berminat boleh mendaftar di sini.
Vaksinasi sahaja tidak mencukupi untuk mencegah denggi
Walaupun vaksin denggi merupakan salah satu langkah pencegahan bagi individu yang layak, ibu bapa masih perlu mengamalkan langkah perlindungan lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Antaranya termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, mengelakkan gigitan nyamuk serta mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera sekiranya anak menunjukkan gejala yang disyaki berkaitan denggi.
Melalui perluasan program ini, PPUM berharap lebih ramai keluarga dapat memanfaatkan kemudahan saringan anemia dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai pencegahan denggi demi melindungi kesihatan anak-anak.