Diet Simple Ini Bantu Anda Kurangkan Beban Masalah Di Dalam Minda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa yang biasa anda lakukan apabila berhadapan dengan sesuatu masalah? 

Mungkin ada yang pergi bersiar-siar atau melakukan apa sahaja yang boleh membuatkannya lupa berkenaan masalah yang berlaku. Bagi pihak penulis, penulis lebih gemar untuk tidur jika menghadapi masalah, kerana penulis boleh melupakannya dalam jangka masa waktu yang pendek selain mengelakkan overthinking

Kini terdapat cara yang jauh lebih berkesan untuk membantu anda mengurangkan beban masalah yang dialami. Cara yang telah terbukti ini juga lebih mudah dan dikatakan boleh mengurangkan kemurungan atau depresi. Anda pasti ingin tahu apakah cara tersebut. Silakan baca pendedahan di bawah ini.

Makanan sihat bantu kurangkan kemurungan

Kajian mendapati, pertukaran daripada diet yang tidak sihat kepada yang lebih sihat boleh membantu mereka yang sedang kemurungan dalam tempoh masa kurang daripada satu bulan. Kajian tersebut telah dijalankan terhadap 76 orang pelajar universiti yang mana kebanyakan daripada mereka mengambil makanan yang diproses, gula dan lemak tepu.

Walau bagaimanapun, terdapat perubahan yang siginifikan dalam hanya tiga minggu setelah pelajar-pelajar ini bertukar kepada diet seperti buah-buahan, sayur, ikan dan daging tanpa lemak. 

Apa yang menyebabkan perubahan tersebut?

Pakar menyatakan bahawa, makanan yang mengandungi banyak kandungan vitamin, mineral dan antioksidan membantu mengekalkan kesihatan otak dan mengurangkan keradangan dan ‘stres dalaman’ yang berkait rapat dengan kemurungan. Ini menunjukkan bahawa diet yang baik turut memainkan peranan terhadap kesihatan mental yang lebih baik. 

Apa yang dimakan oleh responden kajian?

Dalam kajian ini, responden kajian yang terdiri daripada para pelajar universiti ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan; ‘perubahan diet’ dan ‘diet biasa’. Mereka yang berada dalam kumpulan ‘perubahan diet’ diminta untuk mengambil jenis makanan seperti berikut:

  • 5 hidangan sayur-sayuran
  • 2 atau 3 potong buah setiap hari
  • 3 hidangan bijirin penuh
  • 3 bahagian daging tanpa lemak
  • Telur
  • Tauhu atau legum
  • 2 sudu makan minyak zaitun
  • 1 sudu teh serbuk kunyit atau kayu manis

Mereka juga diminta untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat halus, gula, lemak dan makanan yang diproses. 

Bagi mereka yang berada dalam kumpulan ‘diet biasa’ pula, mereka diminta untuk meneruskan pemakanan yang biasa dimakan oleh mereka. Selepas 21 hari atau 3 minggu, responden yang berada dalam kumpulan ‘perubahan diet’ memperlihatkan skor kemurungan, keresahan dan stres yang lebih sedikit berbanding sebelumnya. Manakala bagi mereka yang berada dalam kumpulan ‘diet biasa’, skor kemurungan, keresahan dan stres berada pada bilangan yang sama tanpa wujud sebarang perbezaan. 

Aktiviti sihat yang lain

Jurucakap bagi sebuah kumpulan kebajikan kesihatan mental, Richard Colwill menyatakan, mereka yang mempunyai masalah mental turut disarankan untuk melakukan gaya hidup yang sihat seperti senaman dan tidak meninggalkan sebarang waktu makan terutamanya sarapan pagi. Ini kerana tahap gula darah yang rendah boleh memberi tekanan pada mood seseorang individu. 

Bagi mereka yang sedang mengalami masalah yang berat dan tidak tertanggung, makan secara sihat sahaja tidak mencukupi. Anda perlu mendapatkan pertolongan daripada kumpulan profesional seperti doktor, ahli psikologi atau pekerja sosial. Mereka merupakan ‘kaki’ dan ‘tangan’ yang akan sentiasa memberikan sokongan daripada aspek rawatan yang diperlukan oleh anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut