backup og meta

Hati-Hati Jika Anda Selalu Makan Salad Romaine, Bahaya Ia Selalu Dicemari E.coli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    Hati-Hati Jika Anda Selalu Makan Salad Romaine, Bahaya Ia Selalu Dicemari E.coli

    Kementerian Kesihatan menasihatkan pengguna supaya tidak memakan romaine lettuce yang diimport dari Amerika Syarikat berikutan laporan mengenai sayuran berkenaan telah dicemari bakteria E.coli di negara itu.

    Menurut laporan yang dipetik dari laman CBS News bertajuk, “CDC warns not to eat romaine lettuce amid new E.coli outbreak“, menyatakan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran kepada pengguna agar tidak memakan salad romaine (romaine lettuce) berikutan siasatan rasmi mengenai penularan wabak baru E.coli yang telah menjangkiti sekurang-kurangnya 32 individu dari 11 negeri.

    Pengguna yang mempunyai apa-apa jenis salad romaine di rumah, dinasihatkan agar tidak memakan dan membuangnya, walaupun anda telah memakannya separuh dan tidak menunjukkan  sebarang simptom jangkitan.

    Nasihat ini adalah termasuk untuk semua jenis salad dan juga campuran salad yang mengandungi salad romaine.

    Jika anda tidak pasti sama ada ia adalah salah romaine atau tidak, sila jangan makan dan buang terus salad tersebut.

    Basuh dan bersihkan rak di peti sejuk di mana anda menyimpan salah romaine, bagi tujuan pembersihan serta membunuh bakteria yang mungkin terdapat pada rak.

    Jangkitan E.coli terburuk

    Sebenarnya, jangkitan bakteria E.coli ini bukanlah satu perkara baru. Malah pada tahun 2011, dunia telah digemparkan dengan penularan jangkitan bakteria anterohaemorrhagic Escherichia coli (EHEC) O104:H4, paling tinggi iaitu 3,617 individu telah dijangkiti dengan16 kematian.

    Kebanyakan mereka yang dijangkiti telah mengalami sindrom uremik hemolitik (HUS) yang merupakan serangan komplikasi ke atas buah pinggang yang menyebabkan potensi kematian dengan mencatat sebanyak 908 individu dijangkiti dengan 34 kematian.

    Sebanyak 16 negara dari Eropah dan Amerika Utara yang menerima penularan wabak E.coli, antara termasuk Kanada, Denmark, Norway, Poland, Spain, Sweden, Switzerland, United Kingdom, Jerman dan Perancis.

    Ia dikatakan tersebar melalui tauge yang dibekalkan dari sebuah ladang yang terletak di Jerman. Desas desus yang tersebar juga mengatakan penyebaran wabak ini turut berpunca dari sayuran; timun, tomato dan salad yang kebiasaannya dimakan mentah.

    Sama tapi tak serupa

    Ingat lagi kes keracunan laksa yang berlaku di Kupang, Baling, Kedah pada bulan Oktober lepas? Kes yang menular ke beberapa negeri iaitu Perak, Kedah dan Selangor telah mencatatkan 83 kes dengan 2 kematian.

    Memetik laporan dari laman Astro Awani, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agen penyebab keracunan makanan laksa ini berpunca daripada bakteria salmonella enterica serovar weltevreden.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang pada Ahad mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

    Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mi laksa ini sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman.

    Jadi dapat disimpulkan di sini bahawa sememangnya kebersihan menjadi faktor penting dalam proses penyediaan makanan, kerana jangkitan bakteria E.coli dan salmonella mudah untuk tersebar seandainya kita mengambil mudah tentang aspek kebersihan.

    Namun sejauh mana kita memahami bahayanya bakteria E.coli ini? Atau kita menganggap ia sebagai satu perkara remeh? Artikel di bawah akan menerangkan mengenai apa itu bakteria E.coli.

    Apa itu bakteria E.coli?

    Bakteria E.coli atau nama saintifiknya, Escherichia coli, biasanya hidup dalam usus individu dan haiwan yang sihat. Kebanyakan jenis E.coli adalah tidak berbahaya atau hanya akan menyebab cirit-birit biasa. Tetapi bakteria E.coli O157:H7, boleh menyebabkan kekejangan abdomen, cirit-birit dan muntah berdarah yang teruk.

    Punca merebaknya bakteria E.coli

    Bakteria yang menyebabkan jangkitan ini boleh masuk ke dalam badan anda dalam beberapa cara:

    • Pengendalian makan yang tidak betul
    • Makanan diproses
    • Air tercemar
    • Individu ke individu
    • Haiwan

    Faktor risiko jangkitan

    Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami jangkitan E.coli ini, namun terdapat sesetengah individu lebih berisiko untuk dijangkiti berbanding individu lain. Beberapa faktor risiko termasuk:

    • Umur – individu dewasa yang lebih tua,kanak-kanak cenderung mengalami komplikasi serius dari E.coli.
    • Sistem imun lemah –  individu dengan sistem imunisasi badan yang lemah lebih mudah dijangkiti
    • Musim – jangkitan E.coli cenderung terjadi pada musim panas.
    • Tahap asid perut rendah – ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras asid perut boleh meningkatkan risiko jangkitan E.coli.
    • Makanan tertentu – minum susu yang tidak diproses dengan betul, jus atau makanan berasaskan daging yang kurang masak juga meningkatkan risiko jangkitan E.coli.

    Simptom

    Tanda dan simptom jangkitan bakteria E.coli O157:H7 biasanya bermula1 hingga 10 hari selepas terdedah kepada bakteria, ia dipanggil sebagai tempoh inkubasi. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat adalah seperti:

    • Kekejangan perut.
    • Cirit-birit yang teruk sehingga menyebabkan berlakunya najis berdarah
    • Hilang selera makan atau loya.
    • Muntah yang luar biasa.
    • Keletihan.
    • Demam.
    • Air kencing berdarah
    • Kuantiti air kencing yang sedikit.
    • Lebam.
    • Kulit pucat.
    • Dehidrasi.

    Kesemuanya tanda-tanda di atas boleh berlanjutan untuk tempoh 5 hingga 10 hari.

    Bila perlu berjumpa doktor?

    Jangkitan usus boleh menyebabkan dehidrasi dan komplikasi serius, seperti kegagalan buah pinggang yang mengancam nyawa disebut sindrom uremik hemolitik (emolytic uremic). Anda perlu segera berjumpa doktor jika:

    • Anda mengalami cirit-birit dan keadaan tidak bertambah baik selepas 4 hari, atau 2 hari untuk bayi atau kanak-kanak.
    • Mengalami demam dan cirit-birit.
    • Kesakitan abdomen yang agak teruk
    • Muntah berterusan selama lebih 12 jam. Untuk bayi bawah usia 3 bulan, hubungi pakar kanak-kanak sebaik sahaja simptom bermula.
    • Mempunyai simptom jangkitan usus dan telah mengembara ke negara asing.
    • Mempunyai simptom dehidrasi, seperti kekurang air kencing, dahaga melampau, atau pening

    Doktor boleh mengesahkan jangkitan E. coli dengan mengambil sampel najis.

    Bagaimana merawat jangkitan E. coli?

    Dalam kebanyakan kes, hanya memerlukan penjagaan di rumah untuk merawat jangkitan E.coli. Minum air dengan banyak, banyakkan berehat, dan perhatikan seandainya muncul simptom yang lebih teruk yang memerlukan rawatan dari doktor. Kebanyakan individu menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh 5 hingga 7 hari selepas bermulanya jangkitan, dan akan pulih sepenuhnya.

    Cara mencegah jangkitan E.coli

    Amalkan cara penyediaan makanan yang selamat boleh mengurangkan risiko anda untuk dijangkiti dan menyebarkan bakteria E.coli.

    Salah satu perkara paling mudah yang boleh anda lakukan untuk mencegah jangkitan E.coli ialah dengan kerap membasuh tangan anda. Anda harus mencuci tangan sebelum mengendalikan atau menghidangkan makan, dan makan makanan, selepas menyentuh haiwan, bekerja di persekitaran haiwan, atau menggunakan bilik mandi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan