Kejituan Perubatan: Masa Depan Rawatan Kanser

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dalam keadaan semasa, rawatan kemoterapi yang digunakan untuk rawatan kanser tidak mempunyai pengkhususan yang tinggi dalam mensasarkan sel-sel kanser sahaja. Ini menyebabkan kesan sampingan yang teruk cenderung untuk berlaku. Selain itu, pendekatan rawatan semasa juga turut menganggap keberkesanan yang sama dapat diperoleh walaupun pesakit mempunyai faktor genetik yang berbeza. Natijahnya, terdapat perbezaan dari segi tahap keberkesanan dan insiden kesan sampingan dalam pesakit-pesakit ini. Justeru, satu konsep baru dalam rawatan kanser – kejituan perubatan – sedang giat diperkenalkan. 

Keperluan kepada kejituan perubatan

Walaupun pada dos yang telah dimalarkan, tahap keberkesanan dan risiko kesan sampingan suatu ubat itu adalah berbeza mengikut pesakit. Ini kerana setiap individu itu mempunyai keunikan variasi genetik tersendiri. Di samping itu, gaya hidup dan juga faktor persekitaran mereka turut mempengaruhi tindak balas ubat yang mereka ambil. Perbezaan dan keunikan faktor individu ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan darjah keberkesanan ubat dan juga kecenderungan untuk mengalami kesan toksik atau kesan sampingan rawatan. Sebagai contoh, terdapat sekumpulan pesakit yang berisiko tinggi untuk mengalami kesan toksik ubat tuberkulosis. Kecenderungan ini berlaku kerana terdapat variasi dalam kod genetik mereka yang menyebabkan metabolisma ubat tuberkulosis (seperti isoniazid) menjadi lebih perlahan dan akumulasi ubat cenderung untuk berlaku. 

Bidang rawatan penyakit yang sangat terkesan dengan kesan sampingan adalah rawatan untuk penyakit kanser. Tambahan lagi, peranan genetik adalah sangat penting dalam penyakit ini kerana kebanyakan kanser terhasil daripada mutasi genetik. Selain pembedahan, imunoterapi dan radioterapi, salah satu rawatan utama yang digunakan dalam rawatan kanser adalah kemoterapi. Bergantung kepada indikasi dan diagnosis, kemoterapi mungkin digunakan dengan sendirinya atau sebagai rawatan penyediaan sebelum pembedahan (neo-adjuvant). Walau bagaimanapun, kelemahan utama yang acap kali dikaitkan dengan kemoterapi adalah tindakannya yang tidak khusus untuk sel-sel kanser sahaja. Ini menyebabkan pelbagai sel-sel badan yang lain (yang kerap membahagi) turut terkesan akibat tindakan ubat kemoterapi. Untuk itu, pendekatan baru yang menyasarkan mutasi genetik khusus dalam pesakit kanser diperlukan. 

Konsep kejituan perubatan

Kejituan perubatan, atau nama lainnya ‘terapi tertumpu’, menggunakan maklumat genetik seseorang itu dalam merancang rawatan khusus untuk mereka. Berbeza dengan pendekatan ‘one size fits all’ semasa, sasaran dalam kejituan perubatan adalah molekul-molekul kecil yang terlibat dalam tumbesaran dan penyebaran kanser. Molekul yang sering menjadi sasaran dalam kejituan perubatan adalah protein-protein yang terhasil daripada transkripsi gen yang telah bermutasi. 

Dengan pengkhususan ini, rawatan tertumpu yang diberikan dapat menyasarkan molekul-molekul tertentu sahaja tanpa menghasilkan kesan pukul rata terhadap sel-sel badan yang lain. Pemfokusan ini dapat memaksimakan keberkesanan rawatan dan dalam masa yang sama, meletakkan kesan sampingan dan kesan toksik pada kadar yang minima. Jelas sekali, rawatan tercanggih ini merupakan revolusi kepada dunia rawatan kanser. Walau bagaimanapun, perlu diingati bahawa konsep kejituan perubatan ini belum boleh digunakan untuk semua jenis kanser. Terdapat beberapa kanser dan variasi genetik yang masih giat dikaji demi mendapatkan rawatan tertumpu yang jitu dan sesuai. 

Halangan dalam mengakses rawatan yang jitu

Sebelum menjalani rawatan yang berkonsepkan kejituan perubatan, pesakit perlu melalui beberapa siri ujian genetik untuk menentukan kesesuaian ubat dan juga dos ubat tersebut. Data genom pesakit akan dikumpul, disimpan dan dianalisa. Setiap pesakit akan mempunyai pelan rawatan komprehensif tersendiri, bermula daripada prarawatan sehinggalah rawatan tamat. Namun yang demikian, teknologi untuk ujian genetik prarawatan, pengumpulan data dan juga akses terhadap terapi tertumpu adalah terhad. Kemudahan dan kepakaran ini hanya berada di negara-negara maju, dengan fokus tertinggi berada di Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, pesakit kanser dari negara lain yang ingin mengakses rawatan ini perlu mengeluarkan belanja yang banyak bagi menampung kos rawatan dan juga kos-kos lain berkaitan dengan penginapan dan penghijrahan. 

Mujurlah, rakyat Malaysia tidak perlu risau akan kos dan juga akses terhadap rawatan ini jika mereka disahkan menghidap kanser. Pada 19 Oktober yang lepas, Allianz Malaysia Berhad telah menganjurkan forum ‘Reimagine Your Medical Choice’, bertempat di menara TA One, KLCC. Dalam forum tersebut, Allianz Malaysia Berhad telah mengumumkan rider terbaru untuk pelan Allianz Powerlink iaitu MediSafe Infinite+. Rider ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Allianz Malaysia dengan Further. Further adalah sebuah syarikat multinasional yang terdiri daripada barisan eksekutif insuran dan pembekal servis perubatan berpengalaman. Syarikat ini berpengalaman dalam menghubungkan pesakit-pesakit di seluruh dunia dengan akses terhadap rawatan yang berkualiti dan berkesan di negara-negara maju yang lain. 

Dengan MediSafe Infinite+, pelanggan dapat mengakses pilihan rawatan kanser yang lebih meluas, membolehkan mereka menikmati rawatan berteknologi tinggi di negara-negara pendahulu dalam rawatan kanser. Pelindungan ini akan meliputi semua aspek termasuk ujian genom dan juga terapi tertumpu. Tambahan lagi, MediSafe infinite+ juga turut menawarkan akses kepada Pendapat Pakar Perubatan Global (GEMO), had tahunan keseluruhan yang tinggi serta tiada had sepanjang hayat keseluruhan. 

Tuntasnya, kanser merupakan penyakit yang cukup membebankan terhadap aspek fizikal dan mental pesakit. Tambahan lagi, beban ini turut dirasai oleh insan tersayang seperti pasangan dan juga ahli keluarga mereka. Terdapat jurang kemahiran dan teknologi dalam bidang rawatan kanser di seluruh dunia. Kepakaran dan kemahiran canggih adalah terhad untuk beberapa negara maju sahaja. Oleh itu, rancang pelan perlindungan anda agar anda mampu memperoleh peluang kedua dalam kehidupan tanpa perlu dibelenggu hutang dan beban kewangan yang besar. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 22, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 27, 2019

Rujukan