Suami Kena Caras Dengan BFF, Bagaimana Elak Curang Dalam Perkahwinan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

“Saya tidak pernah berkahwin dengan sesiapa dan semua dakwaan yang dibuat di laman sosial Facebook (FB), itu adalah fitnah semata-mata!”, kata Haziqah Nurul Huda a.k.a. Yaya Mooncake ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.

Buat anda yang tertanya-tanya siapakah gerangan Yaya Mooncake ini, dia adalah seorang usahawan muda yang berasal dari Pantai Timur Semenanjung dan juga merupakan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2018 di peringkat negeri Terengganu.

Persoalannya, apakah cerita membabitkan dirinya yang sedang tular di media sosial kini? Jom ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut!

yaya mooncake

Yaya Mooncake, mangsa atau pemangsa?

Dikatakan, wanita yang berusia 23 tahun ini telah berkahwin dengan seorang lelaki yang berstatus suami orang. Lebih mengejutkan, lelaki tersebut adalah suami kepada kawan baiknya sendiri. Namun, adakah cerita ini benar?

Segalanya bermula apabila kawan baiknya itu memuat naik satu status di laman sosial FB miliknya yang mendedahkan tentang kisah cinta 3 segi ini. Statusnya itu telah mendapat kira-kira 60 ribu likes, 40 ribu comments dan 50 ribu shares, sehingga kini. 

Dalam erti kata yang lebih mudah, kes ini telah tular. Berikut merupakan status yang diperkatakan:

yaya mooncake

yaya mooncake

yaya mooncake

Menurut laman sosial FB milik isteri kepada lelaki itu yang bernama Mua Hanna, dia menulis tentang cerita mereka bertiga yang bermula melalui persahabatan dia dengan Yaya Mooncake selepas berjumpa di satu majlis ilmu perniagaan.

Disebabkan selalu bersama dan berdua ke mana sahaja, Yaya Mooncake dan Mua Hanna akhirnya menjadi sahabat baik. Ekoran itu, Mua Hanna telah menganggapnya sebagai seorang adik dan selalu keluar bersama disertai suaminya.

Tanpa disedari, individu yang disangka sahabat dan adik ini dikatakan bertindak ‘mencaras’ suaminya itu secara diam-diam. Lebih memilukan, dia turut mendedahkan bahawa Yaya Mooncake telah berkahwin secara senyap-senyap dengan suaminya di Thailand!

Namun, tidak adil untuk menjatuhkan hukum hanya dengan mendengar dari sebelah pihak sahaja, bukan?

Ini penjelasan Yaya Mooncake

Menurutnya, segala yang sedang hangat diperkatakan dalam media sosial kini adalah satu fitnah semata-mata. Yaya yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) dan pengasas VictoryYaya Mooncake, turut menafikan bahawa dia telah bernikah dengan suami sahabat baiknya itu di negara seberang.

Sebagai alibi, dia menjelaskan bahawa pada hari kejadian kononnya dia bernikah dengan lelaki itu di Thailand, dia mengatakan bahawa dia berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak Selangor kerana menjaga anak saudaranya dimasukkan ke wad kecemasan di sana. Jadi, adalah mustahil untuk dirinya berada di 2 tempat serentak.

Berikut merupakan keterangannya melalui laman sosial Instagram miliknya:

yaya mooncake

yaya mooncake

Pendek kata, tiada sebarang konklusi yang boleh dibuat untuk menentukan sama dia benar-benar telah berkahwin dengan suami kawan baiknya itu atau tidak.

Sebagai netizen, kita semua tidak seharusnya mencaci atau menghina mereka kerana kita sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya telah terjadi.

Oleh itu, jangan sesekali membuat keputusan sendiri dan menjatuhkan hukum kepada mana-mana pihak. Apa yang paling penting, doakanlah yang baik-baik sahaja buat mereka bertiga, ya?

Curang dalam perkahwinan, bagaimana mengelaknya?

Gara-gara kes Yaya Mooncake dan beberapa lagi kes mengenai kecurangan yang hangat diperdebatkan dalam media sosial, ramai individu baik lelaki atau wanita yang takut untuk berkahwin dan saling menyalahkan sesama jantina.

Namun, ia bukanlah salah mana-mana pihak. Tidak semua lelaki adalah sampah dan tidak semua wanita juga adalah suci tanpa pernah melakukan sebarang kesilapan. Hakikatnya, segalanya terletak dan bergantung kepada diri sendiri.

Jadi, buat pasangan suami isteri atau yang sedang hangat bercinta di luar sana, usah khuatir. Di sini Hello Doktor sediakan beberapa tip untuk mengelakkan kecurangan berlaku dalam rumah tangga:

#1. Sentiasa jujur dengan pasangan

Tidak kira dalam perhubungan suami isteri, ahli keluarga, adik-beradik atau kawan-kawan, kejujuran adalah kunci utama dalam mengecapi kebahagiaan dan keharmonian. Oleh itu, jangan sesekali menipu pasangan anda, okay?

Dalam perhubungan suami isteri misalnya, kejujuran sangat penting. Jika ada individu luar yang cuba menghampiri anda, berterus teranglah kepada pasangan. Cuba berlaku jujur dan dapatkan pandangannya secara peribadi.

Jika pasangan meminta anda untuk menjauhkan diri dari individu tersebut, maka berbuatlah demikian. Tidak salah untuk mengikuti kehendak pasangan anda itu, bukan?

#2. Jauhkan diri dari peluang berlaku curang

Pilihan untuk berlaku curang adalah terletak di tangan anda sendiri. Oleh itu, jangan sesekali menyalahkan pasangan anda, ya?

Tidak dinafikan, peluang untuk berlaku curang memang wujud di mana-mana. Sama ada di tempat kerja atau dalam kalangan kawan-kawan, memang ramai individu berlainan jantina yang dahagakan kasih sayang.

Namun, ingatlah pasangan anda di rumah. Kadangkala, mungkin kita sendiri sahaja yang rasa bahawa pasangan kita sudah tidak menarik lagi di pandangan mata anda. Padahal, mereka tetap sama seperti insan yang anda cintai dari dahulu lagi.

Maka setiap kali anda terdetik ingin curang, ingatlah insan yang tersayang sedang menunggu di rumah dengan penuh kesetiaan.

#3. Tetapkan peraturan dalam perhubungan

Peraturan apa? Rumah tangga bukan lagi seperti zaman sekolah, bukan? Ya, ada benarnya. Namun, peraturan juga perlu ditetapkan dalam perhubungan suami isteri demi kelangsungan rumah tangga anda.

Sebagai contoh, tetapkan peraturan di mana anda dan pasangan tidak boleh menghubungi kembali bekas kekasih mereka yang terdahulu. Jika ada yang ‘kantoi’, jangan pula terus merajuk hingga sanggup meninggalkan pasangan terus, ya? Sebaliknya, cuba berbincang dan luahkan isi hati anda dengan baik.

Untuk mengelakkan dari situasi seperti itu berlaku, anda mungkin boleh awasi telefon pintar pasangan anda. Kadang kala, mungkin anda boleh melakukan ‘spot check’ di hadapan mereka sendiri. Jika mereka tidak mahu, jangan memaksa. Mereka mungkin tidak selesa kerana menganggap anda tidak percaya dengan dirinya

Jika anda syak pasangan anda menyorokkan sesuatu dari anda, minta dia berlaku jujur. Apapun yang anda bakal dengar selepas itu, sila bersiap sedia terlebih dahulu dan tenangkan diri, okay? Segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

#4. Pastikan kehidupan seks anda berdua kekal sihat dan sejahtera

Selain kepercayaan, kehidupan seks juga adalah sesuatu yang penting dalam rumah tangga. Oleh itu, jangan sesekali mengabaikan keperluan seksual pasangan anda.

Walaupun anda berasa rupa paras dan bentuk badan pasangan anda sudah tidak menarik, janganlah menyalahkan dirinya. Apa kata anda bawa pasangan anda untuk melakukan aneka rawatan kecantikan dari hujung rambut ke kaki untuk memastikan mereka kekal menawan?

Selain itu, anda sendiri juga makin lama makin tua. Ketahuilah juga bahawa kecantikan itu tidak akan kekal sampai bila-bila. Cinta pula tidak seharusnya dipupuk dari luaran, sebaliknya pandanglah dalaman mereka. Jadi, jangan sesekali mementingkan diri anda sendiri sahaja!

#5. Jumpa pakar kaunseling

Akhir sekali, jika keadaan sudah tidak mampu dikawal, bawa diri berjumpa dengan pakar kaunseling. Mungkin nasihat dari individu yang lebih mengetahui mengenai sains dalam rumah tangga akan membuatkan anda dan pasangan kembali menjadi merpati sejoli seperti awal-awal bercinta dahulu?

yaya mooncake

Konklusi

Kesimpulannya, kita sebagai netizen tidak seharusnya menjatuhkan hukum sendiri ke atas Yaya Mooncake, Mua Hanna dan suaminya. Kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi ke atas mereka, bukan? Lebih baik, doakan yang baik-baik sahaja buat mereka okay!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 13, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 13, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut