7 Hari Cuti Paterniti. Apa Kata Anda? 

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Sejak bulan Jun 2019, desas-desus berkenaan penambahan cuti paterniti sektor swasta masih lagi dibincangkan sama ada di peringkat pekerja swasta, majikan, mahupun pihak kabinet. Walau bagaimanapun, pada 14 November 2019, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia akan mula melakukan tindakan lanjutan berkenaan cadangan pembentangan cuti paterniti selama tujuh hari kepada kabinet tidak lama lagi. Menurut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, sesi perbincangan telah dilakukan dengan kesemua pemegang taruh dan berharap agar usul tersebut dapat dibentangkan pada hujung bulan November. 

Bantahan dan sokongan terhadap cadangan 7 hari cuti paterniti

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan yang ingin menaikkan jumlah cuti paterniti pekerja sektor swasta daripada tiga kepada tujuh hari. MEF mendakwa, keputusan itu dinyatakan atas beberapa sebab seperti peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung oleh majikan sebanyak RM150 juta setahun. MEF menyatakan, cuti tambahan tidak perlu hanya semata-mata untuk tujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan antara suami, isteri dan anak yang baru lahir. Mereka berpendapat, perkara tersebut boleh dilakukan setelah suami pulang dari kerja, semasa cuti hari minggu dan cuti umum

Di sebalik bantahan oleh MEF, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan kerajaan itu seperti mana yang pernah dipohon sebelum ini agar ia sama dengan jumlah cuti paterniti yang dinikmati oleh pekerja perkhidmatan awam. MTUC menekankan agar pekerja swasta dapat menikmati faedah yang sama seperti yang dinikmati oleh pekerja di sektor awam. Kenyataan MTUC juga disokong oleh beberapa NGO wanita seperti Women’s Aid Organisation (WAO). WAO telah menggerakkan satu petisyen berkenaan isu cuti paterniti ini dan berjaya mengumpulkan sebanyak 39,340 tandatangan persetujuan terhadap petisyen tersebut. Petisyen tersebut juga telah disampaikan kepada Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. 

3 atau 7 hari?

Hello Doktor berpendapat bahawa cadangan cuti paterniti 7 hari ini adalah sangat wajar. Pertama sekali, ia akan memberikan peluang yang sama rata kepada kedua-dua pekerja sektor swasta dan awam untuk menikmati faedah cuti yang sama. Sektor mungkin berbeza tetapi penjagaan keluarga adalah sama di kedua-dua sektor. Kita tidak pasti sekiranya bayi yang dilahirkan cukup sihat atau sebaliknya. Jika bayi yang dilahirkan mempunyai beberapa komplikasi kesihatan seperti demam kuning, lebih banyak masa yang perlu diluangkan di hospital dan ini sangat menyukarkan pihak suami atau bapa untuk mengendalikan situasi tersebut jika mereka tidak mendapat cuti paterniti yang mencukupi. 

Selain itu, cuti paterniti di Malaysia masih lagi dianggap sedikit berbanding cuti paterniti di negara-negara lain. Di United Kingdom, cuti paterniti yang diberikan adalah sebanyak 14 hari, yang bertujuan membantu suami menyokong keadaan isteri pada minggu-minggu pertama kelahiran. United Kingdom juga menyediakan cuti yang dipanggil sebagai parental leave yang boleh diambil sama ada oleh kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka. Parental leave diberikan agar ibu bapa dapat menyokong tumbesaran dan penjagaan bayi pada tahun pertama kelahiran. Sweden pula telah memberikan cuti paterniti sebanyak 90 hari bagi golongan suami. 

Jika United Kingdom adalah negara yang tidak sesuai untuk dibuat perbandingan, kita boleh melihat kepada jiran-jiran terdekat negara kita. Singapura juga menyediakan cuti paterniti sebanyak 14 hari kepada suami, dan ini termasuklah suami yang bekerja sendiri. Cuti yang diberikan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Singapura. Myanmar dan Thailand pula menyediakan 15 hari cuti paterniti kepada kaum bapa bergantung kepada kelayakan mereka.

Oleh itu, tidak ada sebab untuk kita tidak menyokong cadangan cuti paterniti 7 hari ini. Ia memberikan kebaikan kepada ibu, bapa dan juga anak yang dilahirkan. Jika soal kos yang dibangkitkan oleh MEF, mungkin mereka perlu melihat kepada negara-negara seperti United Kingdom dan Singapura yang jelas lebih banyak memakan kos berbanding Malaysia. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut