Subjenis HIV Baru Telah Dikenal Pasti

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

HIV adalah satu penyakit global yang telah menjadi punca kematian berjuta-juta individu di seluruh dunia. Dan buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun, subjenis HIV baru telah dikenal pasti dan disahkan. 

Subjenis baru ini merupakan tambahan kepada subjenis virus yang diklasifikasikan di bawah HIV-1 Kumpulan M, yang menyebabkan lebih 90 peratus jangkitan HIV di dunia. Ia dikenali sebagai subjenis L.

Sampel subjenis HIV ini sebenarnya sudah dikumpulkan di Republik Demokratik Congo pada tahun 1983 buat kali pertamanya. Kemudian sampel sekali lagi dikumpulkan pada tahun 1990 dan 2001. Namun ketika itu, saintis masih tidak dapat mengenal pasti subjenis virus ini. 

Tidak mencukupi

Menurut Ketua Penyelidikan Abbott, Dr Mary Rodgers yang menguruskan Abbott Global Surveillance Program, sampel yang diambil pada 2001 melalui program usaha sama, hanya mengandungi sedikit sahaja virus untuk diuji dengan alatan yang ada pada ketika itu.

“Ia adalah satu cabaran dalam kajian kerana penyelidik memerlukan lebih banyak virus yang mencukupi untuk diuji bagi mengenal pasti subjenis yang baru,” ujar Dr Mary. 

Menjelaskan mengenainya, Dr Mary memberitahu bahawa virus ini mempunyai kecenderungan yang sangat tinggi untuk bergabung dan membentuk satu virus yang kelihatan baru. Tetapi hakikatnya ia merupakan gabungan subjenis yang sudah diketahui yang dikenali sebagai circulating recombinant form (CRF). Setiap subjenis harus mempunyai urutan genetik yang tulen dan berbeza daripada yang lain. 

Teknologi baru

Pada 2018, dengan menggunakan teknologi baru, para saintis dapat memfokuskan (zoom) secara khusus pada bahagian sampel virus dan mengasingkannya untuk proses uji kaji secara berturutan. 

Secara ringkasnya dengan menggunakan teknologi baru, para saintis dapat mengambil virus HIV dan menyusun sampelnya mengikut kaedah kajian yang diperlukan. Hasilnya saintis dapat melakukan perbandingan sama ada ia akan bergabung dengan virus sedia ada atau tidak. Dan hasilnya ia tidak bergabung. 

“Melalui keputusan yang diperolehi membuatkan kami yakin untuk menyatakan bahawa ia merupakan subjenis HIV baru dan kajian ini telah memenuhi semua kriteria yang diperlukan dalam menentukan genom baru yang kami kumpul di Republik Demokratik Congo, ujar Dr Mary.

Kajian lanjut

Dr Mary turut menyatakan, buat masa ini, mereka masih belum dapat mengenal pasti sama ada subjenis L ini akan menjejaskan ujian dan rawatan diagnostik HIV yang wujud sekarang ini. Beliau meramalkan bahawa subjenis baru ini mungkin akan bertindak balas terhadap rawatan anti-retroviral dengan cara yang sama seperti subjenis HIV Kumpulan M yang lain.

Kajian ini telah diterbitkan secara atas talian dalam Journal of Acquired Immune Deficiency Syndrome.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.