Gara-gara Produk Kembalikan Dara, Emma Maembong Dikecam Warganet!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Ali dan Jamilah sudah bercinta sejak dari zaman bangku sekolah lagi. Apabila sudah sampai seru masing-masing, mereka pun berkahwin. Namun, beberapa hari sahaja selepas menjadi suami isteri, Ali meminta untuk bercerai. Puncanya dikatakan kerana Jamilah tiada dara!

Bagi wanita, keperawanan adalah satu tanda kesucian diri yang menjadi bukti bahawa dia belum disentuh atau ditebuk oleh lelaki berhidung belang sebelum berkahwin. Bagi kalangan masyarakat kita pula, dara adalah sesuatu yang melambangkan maruah seorang wanita.

Disebabkan itu, kini terdapat lambakan produk kembalikan dara yang banyak dijual di pasaran. Persoalannya, adakah produk sebegini benar-benar boleh menjadikan wanita itu kembali menjadi perawan atau sekadar penipuan semata-mata?

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, jom sama-sama kita ikuti artikel ini!

Artis terkenal promosi produk tidak masuk akal

Baru-baru ini, industri hiburan kita dikejutkan dengan satu berita tidak enak yang berlegar di media sosial mengenai seorang pelakon popular, Emma Maembong. Dia telah dikecam oleh warganet kerana mempromosikan satu produk yang tidak masuk akal!

Sudah menjadi lumrah seorang personaliti terkenal untuk melakukan promosi sesuatu produk dalam media sosial mereka. Ini adalah salah satu teknik marketing yang dinamakan paid review. Dengan teknik ini, produk dapat pendedahan dan artis dapat keuntungan.

Mungkin Emma juga ingin menggunakan peluang ini untuk menjana wang sampingan dengan mempromosikan satu produk jamu yang dikatakan dapat mengembalikan dara seorang wanita. Ya, penulis pun terfikir, produk sebegini pun wujud?

dara

Produk kembalikan dara, magic atau scam?

Gara-gara mempromosikan produk ciptaan usahawan jamu yang agak popular di negara kita, Emma telah dikecam teruk oleh rakan-rakan alam maya. Menurut netizen, promosi ini secara tidak langsung seolah-olah menggalakkan seks luar nikah.

Bukan itu sahaja, promosi yang boleh dikatakan berani mati ini adalah sangat tidak berasas kerana dari sudut saintifik, tidak ada satu pun produk ciptaan manusia yang mampu mengembalikan keperawanan seorang wanita.

Melainkan anda sanggup untuk melakukan pembedahan plastik yang memakan belanja ribuan ringgit, tiada cara lain yang boleh anda lakukan. Pendek kata, segala produk yang dikatakan dapat mengembalikan keperawanan adalah bukan magic, tetapi scam!

Perkara penting tentang selaput dara

Untuk pengetahuan anda, ‘malam pertama berdarah’ adalah disebabkan oleh selaput dara yang terkoyak akibat proses penetrasi zakar ke dalam faraj. Persoalannya, adakah selaput ini boleh kembali ke keadaan yang asal?

Menurut Dr Pandelis Athanasias yang merupakan seorang pakar sakit puan di London Women’s Centre, UK, selaput ini tidak boleh kembali seperti sedia kala setelah ia koyak kerana ia tidak mempunyai keupayaan untuk tumbuh semula secara semula jadi.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa terdapat banyak perkara atau perbuatan yang boleh menyebabkan selaput ini koyak seperti bersenam, bersukan, memasukkan tampon atau objek lain ke dalam faraj serta pelbagai lagi faktor lain.

“Jadi, anda tidak boleh mempersoalkan keperawanan seorang wanita itu hanya melalui ketiadaan selaput daranya”, kata Dr Athanasias lagi.

Kepercayaan karut mengenai dara

Ya, kita tidak sepatutnya menilai keperawanan seorang wanita itu hanya pada selaput daranya semata-mata. Ini kerana mereka mungkin kehilangannya akibat perkara lain selain seks luar nikah. Jadi, sila ubah persepsi anda segera!

Bukan itu sahaja, masyarakat kita juga perlu ubah dan buang segala kepercayaan karut mengenai dara. Apakah kepercayaan karut tersebut? Menurut kepercayaan orang-orang dulu, keperawanan wanita itu boleh dilihat dari beberapa aspek seperti:

Adakah ia benar? Jawapannya sudah tentu sekali tidak. Menurut Dr Amalina Che Bakri yang merupakan seorang pakar bedah di England, bentuk fizikal seseorang itu tidak boleh menentukan sama ada individu tersebut masih perawan atau tidak.

Menurut beliau lagi, punggung jatuh, jalan kengkang, lutut hitam atau apa-apa juga perubahan pada tubuh badan wanita tidak boleh dijadikan indikator keperawanan wanita. Ia adalah satu kepercayaan karut yang tidak seharusnya masyarakat kita percayai.

Selain itu, cuba ubah cara pemikiran kita dari sekarang. Usah terlalu obses dengan keperawanan wanita kerana kita tidak tahu apa yang pernah berlaku pada dirinya. Bayangkan seorang mangsa rogol yang ingin berkahwin dan dipersoalkan kerana sudah tidak mempunyai dara. Apakah perasaan mereka agaknya?

Jadi, ketahuilah bahawa keperawanan itu kadangkala tidak melambangkan kesucian seorang wanita. Dara atau tidak, mereka masih insan bernama wanita yang layak disayangi dan dicintai oleh individu lain.

Kehilangan dara bukan perkara yang memalukan

Masyarakat kita memang terkenal dengan adat dan agama yang perlu kita utamakan. Ketahuilah bahawa seks luar nikah adalah sesuatu yang dilarang dan sangat perlu dielakkan kerana pelbagai mudarat yang boleh berpunca daripadanya.

Antara kemudaratan tersebut adalah berlakunya gejala sosial seperti seks bebas, anak luar nikah serta penularan penyakit sexually transmitted disease (STD). Adakah anda mahu perkara ini berlaku kepada anda? Jadi, sila tegah diri anda dari melakukannya.

Akan tetapi, seorang wanita itu mungkin akan kehilangan keperawanan akibat perkara lain yang tidak dapat dielakkan. Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang wanita yang gemar bersenam dan bersukan, kemungkinan untuk selaput dara anda koyak adalah agak tinggi.

Selain itu, seorang wanita juga mungkin akan hilang perawan akibat dirogol atau dicabul oleh manusia berhati binatang. Ini sudah tentu sekali bukan salah mereka. Jadi, jika anda merupakan salah seorang daripada mereka, jangan sesekali berasa malu.

Sebaliknya, perjuangkan kebenaran anda. Jika anda adalah seorang wanita bukan perawan yang ingin mendirikan rumah tangga, berterus-teranglah kepada bakal pasangan anda. Ia bukan satu perkara yang anda perlu malu jika ia bukan salah anda.

Konklusi

Kesimpulannya, usaha dan niat Emma Maembong dan rakan-rakan artis lain yang ingin mempromosikan produk sebegini mungkin baik. Namun, dia seharusnya menyelidik terlebih dahulu produk sedemikian agar tidak mengelirukan warganet di luar sana yang memang mudah terpedaya dengan teknik marketing sedemikian rupa.

Orang awam juga seharusnya belajar lebih banyak mengenai keberkesanan produk yang dijual secara atas talian. Ini kerana kebanyakan produk sebegini hanya memikirkan keuntungan dengan menipu pengguna semata-mata. Tidak percaya? Lihat sahaja contoh ubat tinggi, ubat gemuk, ubat kurus, ubat putih dan bermacam-macam lagi produk mengarut di pasaran.

Buat Ali dan Jamilah serta pasangan suami isteri di luar sana, penulis sangat berharap ketiadaan dara tidak dijadikan isu yang terlalu besar sehingga menyebabkan penceraian. Ketahuilah bahawa kasih sayang dan cinta anda berdua adalah lebih penting dalam perjalanan menuju ke jannah kelak. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 16, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 18, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut