Awas! Polio Kembali. Lindungi Anak Daripada Jangkitan Polio

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 20/04/2020 . 4 minit bacaan

Jumaat lalu (6 Disember 2019), di Tuaran, Sabah, seorang bayi yang berusia tiga bulan telah disahkan menghidap penyakit polio apabila dia mengalami simptom demam dan lemah badan.

Ini merupakan kes yang pertama setelah Malaysia diisytiharkan sebagai negara bebas polio pada tahun 2000 berikutan penguatkuasaan pemberian vaksin secara meluas kepada bayi yang baru lahir.

Teruskan membaca jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan dengannya.

Sepintas lalu berkenaan dengan jangkitan polio

polio

Penyakit polio atau lebih dikenali sebagai poliomyelitis merupakan sejenis jangkitan yang dibawa oleh virus.

Ia boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi seperti masalah pada sistem pernafasan, keradangan sistem gastrousus, lemah badan dan kelumpuhan.

Secara lazimnya, virus tersebut menjangkiti kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke bawah namun ia boleh menjangkiti orang dewasa yang tidak pernah mendapatkan pelalian.

Pergerakan manusia merupakan faktor utama dalam penyebaran virus tersebut. Ia tidak disebarkan melalui udara sebaliknya melalui laluan oral tinja.

Ini bermakna penyebaran virus tersebut berlaku melalui pencemaran persekitaran dengan najis manusia yang dijangkiti.

Terdapat tiga buah negara yang masih lagi endemik dengan jangkitan tersebut iaitu Afghanistan, Nigeria dan Pakistan.

Pergerakan individu yang dijangkiti dari negara tersebut ke negara yang lain boleh menyebabkan penyebaran tanpa disedari.

Ini berikutan setinggi 95% daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom. 

Antara simptom yang boleh dialami oleh individu adalah:

  • Demam
  • Letih dan lesu
  • Loya
  • Muntah
  • Sakit kepala
  • Sakit otot badan
  • Ketegangan otot di belakang leher
  • Kelumpuhan (tidak simetri)

Sejarah wabak jangkitan polio

polio

Polio bukanlah penyakit yang baru.

Terdapat rekod ukiran seawal 1400 BCE yang menunjukkan gambaran seorang lelaki dengan kecacatan kaki yang serupa dengan gejala yang disebabkan oleh jangkitan tersebut.

Walau bagaimanapun, para ahli akademik berpendapat bahawa jangkitan itu hanya mempengaruhi sebahagian kecil populasi masyarakat pada ketika itu sehingga awal abad ke-20.

Peningkatan kes polio pada awal 1900-an sehingga mencapai status epidemik telah menyebabkan wujudnya beberapa teori berkenaan dengan keadaan tersebut.

Artikel berkaitan:

Anti Vaksin? Anda Mungkin Belum Tahu Sejarah Polio

Ahli akademik berpendapat bahawa, peningkatan kepada tahap kebersihan tempat tinggal individu adalah penyebab kepada peningkatan tahap risiko seseorang itu untuk mendapat jangkitan.

Ini merupakan satu teori paradoks memandangkan, secara lazimnya, individu lebih berisiko untuk mendapat penyakit tersebut apabila tinggal di kawasan yang kotor.

Peningkatan tahap kebersihan tempat tinggal telah menyebabkan penurunan insiden pelbagai jenis penyakit berbahaya seperti difteria, tifoid dan tuberkulosis.

Namun, insiden penyakit polio pula meningkat. Pelik, kan?

Penciptaan vaksin pertama oleh Jonas Salk

vaksin

Teori yang diusulkan bagi menerangkan pola penyakit tersebut mempunyai kaitan dengan waktu pendedahan bayi kepada virus polio.

Sebelum abad ke-20, kebanyakan bayi terdedah kepada virus polio pada usia yang muda melalui pencemaran sumber air.

Namun begitu, imuniti badan si anak kecil berbekalkan dengan antibodi ibu yang masih mengelilingi salur darah bayi dapat menewaskan virus itu seterusnya menggalakkan penghasilan imuniti seumur hidup terhadap virus tersebut.

Apabila tahap kebersihan tempat tinggal meningkat, anak kecil kebiasaannya terdedah kepada virus tersebut pada usia yang lambat.

Secara puratanya, pada ketika itu, mereka tidak lagi mempunyai antibodi ibu dan kebiasaannya berisiko untuk mendapat tahap penyakit yang lebih teruk berbanding dengan pendedahan awal.

Perkara ini menyumbang kepada peningkatan kes polio seterusnya menyebabkan epidemik. 

Mujurlah, pada tahun 1950-an, Jonas Salk telah mencipta vaksin menyebabkan penurunan daripada 18 kes bagi setiap 100,000 penduduk kepada 2 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

10 tahun kemudian, Albert Sabin telah mencipta vaksin kedua yang boleh diambil secara oral.

Ia mengandungi 3 subjenis virus polio yang dilemahkan bagi merangsang imuniti badan untuk menghasilkan antibodi terhadap penyakit tersebut.

Penggunaan vaksin secara meluas telah menyebabkan banyak negara di Rantau Pasifik Barat termasuk Malaysia berjaya diisytiharkan sebagai negara bebas polio pada Oktober 2000.

Namun pelalian masih perlu diberikan bagi mengelakkan penyebaran penyakit polio import.

Kes jangkitan polio pertama di Tuaran Sabah

vaksin

Bayi yang telah disahkan menghidap penyakit polio di Tuaran, Sabah telah dimasukkan ke dalam wad isolasi untuk tujuan pemerhatian dan rawatan lanjut.

Ujian makmal yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia telah mendapati bahawa virus yang menjangkiti bayi tersebut mempunyai persamaan genetik dengan virus di Filipina yang menyebabkan kes Acute Flaccid Paralysis (AFP).

Ini merupakan contoh kes yang disebabkan oleh pergerakan manusia masuk ke dalam negara yang bebas polio.

Virus tersebut telah dikenal pasti sebagai vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) atau secara ringkasnya, virus yang berasal daripada vaksin yang diberikan secara oral.

Apabila ia diberikan secara oral, ia akan dikumuhkan melalui najis. Perkara ini tidak menjadi masalah melainkan jika terdapat pencemaran persekitaran dengan najis individu yang mengandungi virus ini.

Artikel berkaitan:

Setelah 19 Tahun, Dua Kes Polio Kini Telah Dilaporkan Di Filipina

Dalam komuniti yang mempunyai liputan imunisasi polio kurang daripada 95%, virus yang telah dinyahaktifkan ini boleh tersebar, mengalami mutasi genetik seterusnya menyebabkan ia kembali aktif. 

Individu yang telah diberikan vaksinasi terhindar daripada penyakit tersebut. Namun bagi yang tidak, individu tersebut berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan tersebut.

Siasatan yang dijalankan di tempat tinggal bayi tersebut telah mendapati bahawa 23 daripada 199 individu yang berusia di antara 2 bulan sehingga 15 tahun tidak pernah menerima vaksin polio.

Ini bakal mengundang padah memandangkan penularan jangkitan ini hanya boleh tercapai dengan imunisasi.

Walau bagaimanapun, setelah diberikan penerangan dan pendidikan berkaitan dengan penyakit ini, kesemua ibu bapa kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk diberikan vaksin tersebut.

Tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam 

polio

Kebanyakan mereka yang dijangkiti dengan penyakit polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Bagi memastikan penyakit ini tidak lagi menular, pemeriksaan fizikal dan makmal (pengambilan sampel najis) perlu dilakukan bagi mengesan virus tersebut.

Pemberian vaksin perlu diperluaskan di kawasan berisiko tinggi dan pendidikan berkenaan penyakit tersebut perlu diberikan bagi meningkatkan kesedaran umum.

Ini bagi mencapai liputan imunisasi melebihi 95% untuk menghindarkan penyakit tersebut daripada terus menular menyebabkan komplikasi yang tidak diingini.

Ibu bapa digalakkan untuk mengambil imunisasi anak menurut Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi vaksin polio, ibu bapa perlu hadir ketika anak berusia 2,3 dan 5 bulan. Dos tambahan boleh diambil pada usia 18 bulan.

Konklusi

Polio merupakan penyakit berbahaya yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin.

Di Malaysia, pemberian vaksin adalah pada kadar percuma untuk semua warganegara.

Maka, seharusnya tidak menjadi masalah untuk kita mengekalkan status negara bebas polio di masa akan datang. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan