Tular Kes H1N1 Di Pusat Beli Belah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

H1N1 atau lebih dikenali sebagai selesema babi merupakan satu jangkitan menyerupai selesema biasa disebabkan oleh virus influenza. Pada 15 Disember 2019 sehingga 29 Disember 2019, dilaporkan terdapat 8 kes H1N1 yang telah dikesan di Sabah namun kesemua pesakit berada dalam keadaan stabil. Anda mesti tertanya-tanya, apa H1N1 ni? Kenapa namanya H1N1? Apa yang menyebabkan H1N1? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Mengenai H1N1

H1N1 merupakan strain virus influenza A yang muncul pada tahun 2009. Ia dikenali sebagai selesema babi berikutan pada waktu tersebut, kebanyakan individu yang mendapat jangkitan influenza mempunyai sentuhan secara langsung dengan babi. Namun, beberapa tahun selepas itu, kebanyakan individu yang mendapat jangkitan tersebut tidak bersentuhan atau berada berdekatan dengan babi sekalipun.

Perkara ini menunjukkan potensi virus tersebut untuk tersebar dalam kalangan manusia adalah pantas. Ia kemudiannya diisytiharkan sebagai jangkitan pandemik yang berlaku di seluruh dunia, pada kebanyakan benua dan dalam tempoh masa yang sama. Mereka yang dijangkiti akan diletakkan di dalam unit jagaan rapi untuk pemantauan dan pada tahun 2010, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa jangkitan pandemik tersebut telah pun tamat.

Adakah ia bermakna kita tidak akan menemui sesiapa yang dijangkiti dengan virus tersebut? Tidak sama sekali. Anda juga boleh dijangkiti dengan virus tersebut namun ia mempunyai presentasi yang lebih kurang sama dengan virus selesema biasa. Cumanya, bagi mereka yang mempunyai masalah pada sistem imun badan seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan penyakit kronik yang lain, lazimnya simptom mereka akan lebih teruk.

Mereka yang terbabit digalakkan untuk mengambil vaksin influenza memandangkan insidennya berlaku sepanjang tahun. Ini tidak seperti negara yang beriklim sederhana dan sejuk yang mempunyai tren jangkitan influenza bermusim. Vaksin tersebut boleh didapati pada kebanyakan klinik swasta di Malaysia.

Penularan jangkitan influenza A H1N1 di Sabah

Sehingga 29 Disember 2019, seramai 15 orang kanak-kanak telah dijangkiti dengan virus H1N1. Keadaan tersebut menyebabkan keriuhan pendapat di media sosial dan kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa bimbang terhadap fenomena tersebut. Ada juga maklumat yang mengatakan bahawa penyakit H1N1 menular di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.

Datuk Frankie Poon yang merupakan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat berkata, kesemua pesakit melibatkan kanak-kanak yang berusia di antara 1 hingga 12 tahun namun mereka berada dalam keadaan stabil. Sukar untuk kita letakkan sesuatu pusat sebagai lokasi khusus berlakunya jangkitan virus tersebut memandangkan cara penyebarannya adalah melalui titisan yang berjangkit. 

Mereka yang batuk, bersin dan tidak membasuh tangan sebelum menyentuh muka berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan tersebut. Poon juga menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan penyakit tersebut daripada menular. 

Mereka yang mengalami simptom seperti batuk, demam dan selesema digalakkan untuk berehat di rumah. Jika anda perlu bergerak ke mana-mana, pastikan anda memakai penutup mulut dan menjaga etika ketika bersin atau batuk dalam khalayak ramai. Pemeriksaan awal dapat memberikan kesedaran awal kepada pesakit dan menyedarkan mereka bahawa apa yang dialaminya boleh berjangkit.

Justeru adalah penting bagi orang ramai yang mengalami simptom seperti berikut untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada mana-mana hospital kerajaan atau swasta negara.

  • Demam
  • Batuk
  • Sejuk menggigil
  • Sakit tekak
  • Hidung tersumbat 
  • Sakit badan
  • Kelesuan
  • Cirit-birit
  • Loya 
  • Muntah-muntah

Ada rawatan khusus ke untuk jangkitan H1N1?

Jika anda tidak mempunyai masalah imun badan, kebiasaannya penyakit tersebut tidak akan menyebabkan gejala yang serius. Anda boleh berehat di rumah namun jika anda merasakan simptomnya semakin teruk, dapatkan rawatan dengan kadar segera. Tiada ubat yang kebiasaannya akan dipreskripsikan kepada pesakit untuk merawat H1N1 secara khusus.

Anda mungkin akan diberikan ubat demam, ubat batuk atau air garam (jika anda mengalami simptom muntah dan cirit-birit) namun rawatan untuk virus itu sendiri kebiasaannya tidak diberikan. Dua jenis ubat yang sangat berkesan dalam merawat jangkitan H1N1 adalah ubat antiviral oseltamivir (Tamiflu) dan zanamivir (Relenza). 

Namun ubat tersebut hanya diberikan kepada pesakit yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang mengancam nyawa. Hal ini disebabkan oleh keupayaan virus selesema itu untuk mengalami mutasi dan menjadi rintang terhadap ubat yang diberikan. Buat golongan individu yang sihat seperti anda, percayalah kepada sistem pertahanan tubuh badan anda kerana mereka berupaya untuk melawan virus tersebut.

Apa yang anda perlu buat adalah:

  • Jangan pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti konsert, pusat beli-belah dan pasar. Berehatlah di rumah dan jika anda perlu keluar, gunakan penutup hidung dan mulut
  • Pastikan anda menutup hidung dan mulut menggunakan tisu ketika batuk atau bersin. Tisu yang telah digunakan tidak boleh dikitar semula untuk kegunaan akan datang dan perlu dibuang dengan kadar segera
  • Elakkan daripada berkongsi peralatan peribadi dengan individu lain. Virus influenza juga boleh merebak melalui sentuhan dengan barang yang tercemar
  • Berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera jika gejala sedia ada menjadi bertambah teruk

Komplikasi jangkitan selesema

Selesema mungkin kelihatan seperti tidak berbahaya namun bagi populasi tertentu, ia boleh mengundang komplikasi yang merumitkan lagi keadaan kesihatan penyakit tersebut. Berikut merupakan antara komplikasi yang boleh dialami oleh mereka yang mengalami selesema:

Jangkitan telinga – Perasan tak kadangkala doktor akan memeriksa telinga semasa anda mengalami selesema. Jangkitan di dalam telinga boleh disebabkan oleh selesema atau menjadi penyebab kepada penyakit tersebut. Keradangan yang berlaku boleh merebak ke telinga dan menyebabkan pengumpulan cecair di dalam telinga. Situasi ini boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat jangkitan bakteria di dalam telinga (otitis media)

Jangkitan pada sinus (sinusitis) – Seperti jangkitan pada telinga, mereka yang mengalami selesema juga berisiko untuk mendapat jangkitan pada rongga muka yang bersambung dengan hidung (sinus). Virus influenza boleh menyebabkan keradangan dan pengumpulan cecair pada sinus bagi menggalakkan jangkitan oleh mikroorganisma lain

Asma yang teruk Keradangan yang dihasilkan oleh virus influenza boleh menyebabkan simptom asma menjadi semakin teruk. Kehadiran virus tersebut akan meningkatkan tahap sensitiviti salur pernafasan anda terhadap alergen dan pencetus asma yang lain

SawanKebanyakan selesema yang dialami oleh kanak-kanak boleh menyebabkan sawan. Namun kajian oleh Universiti Utah mendapati bahawa sawan yang disebabkan oleh selesema babi boleh menyebabkan lebih banyak komplikasi neurologikal. Jika anak anda mengalami sawan semasa demam, bawa anak anda ke hospital dan jangan panik. Keadaan tersebut dikenali sebagai febrile seizure atau sawan demam dan kebiasaannya tidak akan menyebabkan kecacatan kekal.

Kelahiran pramatang Wanita hamil yang mendapat jangkitan selesema berisiko untuk mendapat komplikasi yang serius. Mereka yang dijangkiti dengan virus atau bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru berisiko untuk mengalami kelahiran pramatang dan masalah berat lahir rendah

Konklusi

Jika anda mendapat sebarang simptom yang menyerupai selesema, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga agar kesihatan sejagat terpelihara. Virus influenza boleh merebak dengan mudahnya daripada satu individu kepada individu yang lain. Berjumpalah dengan doktor jika anda merasa bimbang atau mengalami simptom selesema yang agak teruk.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 2, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 3, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut