Kempen For Your Sweetheart, Penyelamat Pesakit Diabetes!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Tanpa kita sedar, sebenarnya sangat ramai rakyat negara kita yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Secara statistiknya, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar kelaziman diabetes yang tertinggi di Asia iaitu sebanyak 17.5%. Disebabkan itu, sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera bagi memastikan peratusan ini menurun dan tidak meningkat lagi.

Pada tanggal 11 September, 2019, bersempena dengan Hari Jantung Sedunia, sebuah kempen kesedaran dan pemahaman tentang bahaya penyakit ini iaitu For You Sweetheart yang dilancarkan oleh Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) bersama dengan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan disokong oleh Boehringer Ingelheim, salah sebuah syarikat farmasi terbesar di dunia.

Persoalannya, apakah sebenarnya kempen For Your Sweetheart ini? Untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.

Apa tujuan kempen ini diwujudkan?

Buat anda yang tertanya-tanya, kempen ini diwujudkan ekoran masih ramai individu yang beranggapan bahawa diabetes hanya akan menyebabkan bahaya yang diketahui umum sahaja seperti masalah penglihatan, masalah buah pinggang dan kerosakan anggota badan yang akhirnya akan mengakibatkan amputasi sedangkan terdapat bahaya lain yang menanti!

Bahaya lain yang disebut-sebut ini adalah penyakit kardiovaskular yang akhirnya akan membawa kepada maut. Tahukah anda bahawa kira-kira 50.3 peratus kematian dalam kalangan pesakit diabetes adalah disebabkan penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari, kegagalan jantung dan kardiomyopati diabetes?

“Jurang kesedaran dan pemahaman berkaitan hubungan antara diabetes dengan penyakit kardiovaskular adalah sangat nyata dalam kalangan rakyat Malaysia. Disebabkan itu kempen seperti ini perlu diwujudkan untuk mendidik orang ramai di luar sana”. Kata Cik Siah Guan Jain, Presiden MDES dan Ketua Pendidik Diabetes di Institut Jantung Negara (IJN).

“Menerusi kempen ini, orang ramai di luar sana terutamanya penghidap diabetes boleh mendapat sedikit sebanyak maklumat yang diperlukan mengenai kaitan penyakit itu dengan penyakit kardiovaskular”. Ujar Dr. Zanariah Hussein, Presiden MEMS dan Perunding Endokrinologi di Hospital Putrajaya.

‘Jaga Diabetes, Lindungi Jantung’

Kempen yang disokong penuh oleh Fatimah Abu Bakar, pelakon serta bekas wartawan; Sharifah Aryana, pelakon dan penerbit; dan Sharifah Amani, pelakon, penulis dan pengarah ini sangat bermakna dan bermaklumat untuk diikuti oleh pesakit diabetes bagi mengetahui mengenai hubungan antara diabetes dan penyakit kardiovaskular serta menekankan kepentingan untuk mereka menjaga kesihatan jantung dalam usaha mencegah penyakit kardiovaskular dan kematian yang sangat berkait rapat dengannya.

Fasa pertama kempen ini akan dimulakan dengan pelancaran laman sesawang baharu, video kajian sosial, kisah-kisah pesakit diabetes serta kandungan media sosial. Bukan itu sahaja, poster kempen dan risalah dalam tiga bahasa akan dipamerkan serta diedarkan di klinik dan hospital berdekatan dengan anda.

Oleh itu, orang ramai di luar sana terutamanya yang menghidap diabetes perlu menyokong sepenuhnya kempen ini bagi menyelamatkan diri anda daripada menjadi mangsa serangan penyakit kardiovaskular yang boleh menyebabkan maut ini. Jadi, segera layari laman sesawang http://foryoursweetheart.my/ untuk info yang lebih lanjut!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut