Isu Doktor MENGAMUK Di Klinik Kesihatan Seremban, Apa Sebenarnya Yang Terjadi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Baru-baru ini, telah tular satu video yang menunjukkan seorang doktor mengamuk kepada pesakitnya ketika sedang menjalankan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Seremban, Negeri Sembilan. Ekoran itu, ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang terjadi?

Doktor mengamuk kepada pesakit, salah siapa?

Dalam beberapa situasi, agak sukar untuk kita sebagai pemerhati tahu siapa yang salah dan siapa yang betul, lebih-lebih lagi jika kita tidak berada di tempat kejadian itu sendiri.

Sebagai contoh, situasi di mana berlakunya kemalangan jalan raya. Kedua-dua pihak yang terlibat mungkin akan menyalahkan satu sama lain kerana tidak mahu bertanggungjawab.

Analogi ini tepat untuk menggambarkan satu video yang tular baru-baru ini berkaitan seorang doktor di klinik kerajaan yang dirakam sedang mengamuk kepada pesakitnya.

Buat anda yang ketinggalan, apa kata anda lihat dan nilai sendiri kejadian terbabit menerusi pautan video berdurasi 28 saat ini:

Kredit: Video Viral Malaysia

Jadi, apa pendapat anda mengenai isu doktor mengamuk di Seremban ini?

Apa cerita sebenar di sebalik isu doktor mengamuk ini?

Kejadian yang menggemparkan ini dipercayai terjadi di Klinik Kesihatan Seremban sekitar jam 7.10 malam pada tarikh 17 Februari 2020 dan melibatkan 3 orang iaitu seorang doktor, seorang pesakit wanita dan juga abang kepada pesakit.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times, pesakit wanita itu telah datang ke klinik tersebut untuk mendapatkan rawatan bagi masalah batuk yang dialaminya.

Setelah mendapatkan rawatan yang dikendalikan doktor terbabit, pesakit kemudiannya diarahkan untuk pergi ke bahagian farmasi untuk mendapatkan preskripsi ubat.

Namun, pesakit berasa agak hairan kerana ubat yang diterimanya adalah ubat untuk merawat flu dan cirit-birit sedangkan dia sebenarnya mengalami batuk.

Selepas bertanya kepada ahli farmasi yang bertugas di situ, mereka menyatakan bahawa doktor tidak meletakkan ubat batuk di dalam sistem. Jadi, mereka minta pesakit untuk kembali berjumpa doktor untuk menyelesaikan kekeliruan ini.

Apa yang mengejutkan, doktor terbabit telah mengarahkan pesakit untuk kembali ke farmasi untuk menyatakan sendiri pertukaran ubat itu. Ahli farmasi yang kebingungan itu kemudiannya pergi berjumpa doktor tersebut untuk mendapatkan pengesahan.

Selepas drama tolak-menolak ini, pesakit kemudiannya telah dipanggil kembali ke bilik rawatan untuk berjumpa doktor terbabit. Ketika inilah pesakit mula merakam video doktor yang mula meninggikan suara kepada pesakit dan abangnya.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh abang pesakit:

doktor mengamuk

doktor mengamuk

Jadi, siapa yang harus dipersalahkan dalam kes doktor mengamuk ini sebenarnya?

Tiada siapa yang bersalah dan harus dipersalahkan

Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) memandang serius isu ini namun turut menyatakan bahawa segalanya sudah diselesaikan dengan cara aman.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Faid Abd Rashid dalam ucapannya berkata, siasatan awal telah dijalankan serta-merta selain menghubungi pengadu bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Terkini, isu berkenaan diselesaikan melalui proses runding cara kedua-dua pihak, justeru JKNNS memohon orang ramai tidak membuat apa-apa andaian terhadap mana-mana pihak yang terbabit serta mendapatkan maklumat rasmi daripada JKNNS atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM)”, jelas beliau lagi.

Jadi, tiada siapa yang bersalah dan harus dipersalahkan. Ikuti kenyataan akhbar penuh oleh KKM berikut:

KKM

KKM

Sebagai netizen, usah panjangkan lagi isu doktor mengamuk ini

Seperti mana yang kita tahu, isu ini telah tular di media sosial dan rata-rata pendapat yang dikeluarkan oleh keyboard warrior kita adalah berbelah bahagi untuk menyokong atau mengecam tindakan doktor itu.

Ada yang mengatakan bahawa doktor itu tidak profesional kerana mencampur-adukkan emosi dengan urusan kerja. Namun, ada juga yang mengatakan bahawa perbuatan merakam video semasa menerima rawatan itu adalah salah dan hanya mahukan perhatian.

Ya, sebenarnya kita tidak boleh merekod video atau mengambil gambar ketika sedang menerima rawatan bersama doktor, itu adalah perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

Dalam pada itu, kita sebagai netizen tidak seharusnya menyalahkan sebelah pihak dan mengapi-apikan keadaan yang sudah sedia marak.

Sewajarnya, usah kita panjangkan lagi isu doktor mengamuk di Seremban ini kerana kesemuanya telah diselesaikan secara aman.

Sebagai netizen, lebih baik untuk kita berdiam diri jika tidak tahu keadaan yang sebenar dan mendoakan yang baik-baik sahaja kepada sesiapa yang terlibat dalam sesuatu isu.

Konklusi

Kesimpulannya, video yang tular tentang doktor mengamuk di Seremban ini harus dijadikan pengajaran. Pertama sekali, jangan sesekali merekod video atau menangkap gambar semasa menerima rawatan kerana anda boleh dikenakan tindakan undang-undang atas perilaku tersebut.

Lebih utama, ketahuilah bahawa insan yang bernama doktor ini juga adalah seorang manusia yang tidak lari daripada masalah hidup dan mereka juga pasti akan melakukan kesilapan. Akhir kata, tiada siapa yang sempurna di dunia ini melainkan pencipta kita.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 20, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 20, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut