Cecair Vape Mengandungi Morfin? Menanti Keputusan Ujian Kimia

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 26/06/2020 . 2 minit bacaan

Sebuah syarikat pengeluar cecair Vape tempatan, NSTY Holdings Sdn. Bhd. (NSTY Holdings) dilaporkan akan menghantar sampel produk terbarunya untuk menjalani ujian kimia selewat-lewatnya hari ini. Keputusan tersebut diambil selepas tersebarnya dakwaan dalam bentuk rakaman suara, mengatakan produknya, Nasty salt, mengandungi dadah jenis morfin. Rakaman yang telah dikenal pasti dibuat oleh seorang penjawat awam itu turut menganjurkan orang awam, khususnya pengguna vape, untuk lebih berhati-hati ketika membeli cecair vape.

Fitnah yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab

Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Nurul Fadtan Yusoff berkata, pihaknya sangat kesal dengan dakwaan bahawa produk terbarunya yang telahpun berada di pasaran sejak sebulan yang lalu itu mengandungi dadah jenis morfin.

“Dakwaan ini merupakan fitnah dan dilihat sengaja dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Semua produk kita melalui proses serta prosedur yang ditetapkan selain terjamin dengan piawaian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994), Good Manufacturing Practices (GMP) dan Sistem Pengurusan Berkualiti ISO 9001:2015.

“Oleh demikian, walaupun melalui prosedur, kita tetap akan menjalankan ujian kimia berikutan mahu membuktikan bahawa produk kita bebas daripada sebarang bahan terlarang,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Tiada maaf bagi penyebar fitnah

Sementara itu, peguam yang mewakili syarikat berkenaan, Datuk Dr. Aswandi Mohamed Hashim berkata, ekoran dakwaan itu, pihaknya telah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, pada hari yang sama.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang menyebarkan fitnah berhubung perkara itu.

“Walaupun individu ini meminta maaf, pihak kami tidak akan menerimanya. Kami bercadang untuk memfailkan saman sivil terhadap pelaku terbabit,” ujarnya.

Belum ada ujian air kencing yang positif setakat ini

Di sebalik penularan rakaman suara tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau kes berhubung cecair vape yang mengakibatkan pengguna rokok eletronik itu positif morfin selepas saringan ujian air kencing. Katanya, pihaknya sedia maklum berhubung isu berkenaan yang viral di media sosial namun belum menerima sebarang laporan berhubungnya.

Antara cecair yang dikenali terkandung dalam vape adalah propilen glikol (PG), bahan perasa dan juga nikotina. Kebelakangan ini, terdapat juga penyertaan bahan seperti THC dalam cecair vape yang digunakan di Amerika Syarikat. THC dikatakan bahan yang memainkan peranan penting dalam kes kematian pengguna vape dan kemasukan ke hospital untuk ratusan lain yang melanda negara tersebut baru-baru ini.

Bahaya penggunaan morfin yang tidak diselia

Morfin merupakan ubat terkawal yang digunakan oleh sektor perubatan bagi tujuan tahan sakit dan juga untuk bius pesakit ketika pembedahan. Penggunaan terkawal ini memastikan ia tidak disalah gunakan oleh pihak tertentu. Penggunaan terkawal juga penting bagi memastikan penerima tidak terdedah kepada kesan alahan yang teruk. Kesan sampingan daripada penggunaan morfin boleh melibatkan perkara seperti rasa loya dan muntah, sembelit, rasa ingin pitam dan juga pening kepala. Kesan daripada pengambilan yang berlebihan pula boleh menyebabkan gangguan pernafasan (respiratory depression) yang berpotensi menyebabkan kematian. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan