Lanjutan Kes Ustazah Merangkak Tular, Ibu Bapa WAJIB Ajar Anak Hormat Guru!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Dulu, pelajar sekolah sangat takut dan taat akan guru mereka. Kini, segalanya telah berubah. Baru-baru ini, telah tular satu kes seorang ustazah yang dipaksa merangkak oleh seorang ibu kepada anak muridnya. Mengapa ini terjadi? Di mana hilang kemuliaan seorang guru? Ibu bapa, ketahuilah bahawa anda wajib ajar anak tentang cara hormat guru!

Seorang ustazah dipaksa merangkak oleh ibu anak murid

Biadab dan kurang ajar! Inilah konklusinya untuk menggambarkan perbuatan ini. Persoalannya, apakah sebenarnya terjadi dalam kes video ustazah merangkak yang sedang tular ini? Ke mana hilang rasa hormat guru?

Menerusi video berdurasi lebih kurang dua minit ini, kelihatan seorang guru bergelar ustazah telah ‘diserang’ dan dipaksa untuk merangkak oleh seorang wanita yang juga adalah ibu kepada salah seorang murid di sekolah agama itu.

Puncanya, dipercayai bahawa ibu ‘prihatin’ berkenaan bertindak sedemikian ekoran tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan ke atas anaknya sebelum ini. 

Terdahulu, anak kepada ibu terbabit telah balik ke rumah dan mengadu bahawa ustazah di sekolahnya mendenda dia merangkak di dalam kelas kerana tidak menyiapkan tugasan.

Kata anak itu lagi, denda itu telah mengakibatkan lututnya bengkak dan luka. Jadi, inilah yang membuatkan si ibu kanak-kanak berkenaan ‘menuntut bela’ dan ‘membalas dendam’.

Pun begitu, perbuatan ini sama sekali tidak wajar untuk dilakukan kerana ia tidak hormat guru!

Adakah kewajipan hormat guru sudah terkubur kini?

hormat guru

Sebenarnya, kewajipan hormat guru bukan sahaja terletak kepada kanak-kanak, malahan ibu bapa juga. Pun begitu, ia kelihatan sebagai bukan lagi menjadi budaya kita kini.

Bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Maszlee Malik baru-baru ini menyatakan kekesalan dan kekecewaan berkenaan kes ustazah yang dipaksa merangkak di hadapan murid-murid di sebuah sekolah yang tidak dapat dikenal pasti.

“Hati saya berasa kecewa setelah melihat video tersebut,” kata Maszlee dalam ciapan di akaun Twitter miliknya. Beliau turut menambah bahawa tidak rugi sekiranya pelaku (ibu kanak-kanak terbabit) mengambil masa merenung dan bersabar sedikit.

Ini kerana pada akhirnya, apa juga tindakan kita seharusnya adalah untuk satu tujuan yakni mendidik anak-anak bangsa kita agar menjadi manusia berguna di masa hadapan. Jadi, tidak perlu kita sebagai ibu bapa ‘menghukum’ guru anak kita.

Ibu bapa wajib ajar anak cara hormat guru!

Apa yang boleh kita simpulkan mengenai isi yang terjadi ini adalah kemuliaan seorang guru itu perlu diutamakan. Jadi, ibu bapa wajib ajar anak cara hormat guru bagi mengelakkan perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

Menurut Dr. Sarvepalli Radhakrishnan yang merupakan ahli akademik dari India, terdapat banyak cara hormat guru yang boleh diajar oleh ibu bapa kepada murid sekolah, termasuklah:

#1. Ajar anak memberi salam sebagai tanda hormat guru

Sudah menjadi norma masyarakat kita terutamanya yang beragama Islam untuk memberi salam setiap kali berjumpa dengan orang lain, lebih-lebih lagi orang yang lebih tua dan mulia kedudukannya dari kita.

Jadi, tentu sekali perbuatan memberi salam kepada guru perlu diajar oleh ibu bapa kepada anak sejak dari kecil lagi. Namun, ajar juga kepada mereka mengenai aurat bagi memastikan mereka tidak terkeliru kelak.

#2. Beri perhatian sepenuhnya dalam kelas

Lanjutan kes ustazah yang dipaksa merangkak ini, haruslah kita tahu pencetus utamanya terlebih dahulu. Sebenarnya, kes ini tidak akan berlaku jika murid itu beri perhatian sepenuhnya dalam kelas dan tidak menimbulkan kemarahan ustazah terbabit.

Jadi, kata kuncinya di sini adalah murid sekolah sebenarnya perlu beri perhatian sepenuhnya dalam kelas. Ia bukan sahaja akan mewujudkan suasana yang aman dan harmoni di dalam kelas, malah prestasi si kecil juga boleh meningkat.

hormat guru

#3. Bersopan dan hormat guru sebagai seorang manusia biasa

Hakikatnya, guru juga seorang manusia biasa yang mungkin melakukan kesilapan. Oleh itu, tidak mustahil jika mereka terlepas amarah lantas menjatuhkan hukuman kepada anak anda.

Namun, harus ditekankan juga bahawa semua ini takkan terjadi jika anak anda bersopan terhadap guru mereka. Jika mereka kurang ajar, jangan salahkan guru ya?

Lagipun, sudah tercatat dalam Rukun Negara kita yang kelima iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan. Jadi, sila patuh dan jadi rakyat yang bersopan dan bertatasusila!

#4. Jangan bergosip dengan anak mengenai guru mereka

Kanak-kanak adalah umpama kertas putih yang boleh diconteng atau dilukis dengan baik, tertakhluk kepada teknik pengajaran ibu bapa mereka.

Oleh itu, jangan ajar anak anda untuk bergosip mengenai guru mereka dengan anda atau dengan sesiapapun kenalan mereka.

Ia adalah perbuatan yang buruk dan jika dibiarkan, ia akan berlanjutan sehingga mereka dewasa kelak. Risau mereka akan menjadi ‘makcik atau pakcik bawang’ pula bila sudah besar nanti.

Konklusi

Kesimpulannya, kes ustazah yang dipaksa merangkak ini tidak seharusnya terjadi. Sewajarnya, ia diselesaikan dengan cara yang baik. Jika anda sebagai ibu bapa ada tidak berpuas hati dengan guru, berjumpa dan berbincanglah dengan aman.

Tidak perlu untuk rekod video dan tularkannya ke dalam media sosial untuk meraih simpati. Hakikatnya, anda sebenarnya yang sedang menonjolkan aib diri anda.

Sebagaimana yang kita dapat lihat, semasa ustazah itu merangkak, anak-anak murid yang lain turut sama melakukannya sebagai tanda solidariti menyokong guru kesayangan mereka itu.

Jadi, ibu bapa sila ajar cara hormat guru kepada anak anda agar mereka membesar menjadi modal insan yang berguna kelak!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Februari 27, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 11, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut