Tiada Siapa Terselamat Dari Buli Siber, Termasuklah Orang Kenamaan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 23/01/2020

Di sebalik arus kemodenan jaringan sosial dalam talian tanpa had kini, ada satu sisi gelap yang mungkin akan menghantui individu yang tidak bernasib baik iaitu, buli siber. Paling menakutkan, ia bukan sahaja boleh terjadi kepada orang kebanyakan seperti kita, malahan ia juga sudah berlaku kepada salah seorang individu yang sangat mulia kedudukannya di Malaysia.

Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, Raja Permaisuri Agong negara kita iaitu Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memiliki akaun Twitter rasmi dan sering dilihat membicarakan sesuatu perkara dari sudut pandangannya yang tersendiri. Pun begitu, baginda baru-baru ini telah menutup akaunnya itu! Apakah sebabnya?

Raja Permaisuri Agong Tutup Akaun Twitter

Buat yang mengenalinya, baginda adalah seorang yang terkenal dengan sifat ramah, bersopan santun dan berjiwa rakyat. Disebabkan itu, baginda sering menggunakan akaun media sosialnya itu untuk berinteraksi serta berkongsi dengan rakyat mengenai momen-momen istimewa baginda dari perspektif kedudukannya sebagai Permaisuri Agong.

Namun demikian, masih ada individu yang tidak gemar dengan perkongsiannya lalu mengeluarkan pelbagai komen negatif yang kurang sopan pada ruangan komen akaun baginda. Inilah yang akan berlaku apabila seseorang individu itu tidak sedar kedudukannya sebagai rakyat biasa dan cuba mencabar institusi diraja negara kita.

Ekoran itu, baginda akhirnya mengambil keputusan untuk menutup akaun Twitter rasmi miliknya. Disebabkan itu, netizen lain yang aktif dalam media sosial itu mengutuk segala kelakuan individu yang kononnya bijak dan petah dalam mengeluarkan ‘hujah’ berdasarkan perasaan sendiri tanpa langsung memikirkan soal sensitiviti.

Pun begitu, baginda kembali menghidupkan akaunnya beberapa hari selepas itu setelah dipujuk dan dirayu oleh orang ramai. Melalui laman Twitter miliknya, baginda menjelaskan situasi sebenar di mana akaun tersebut telah ditutup kerana alasan peribadi dan bukannya kerana komen negatif yang diterima daripada netizen di luar sana.

Jika difikirkan sejenak, ini adalah antara kes buli siber berprofil tinggi yang sebenarnya sedang berlaku di segenap arena media sosial. Mungkin benar ada yang mengatakan negara kita bebas untuk bersuara, namun adakah kebebasan itu boleh digunakan untuk tujuan menyebarkan kebencian dan mengundang kemarahan? Fikirkan semula.

Buli siber jejas kehidupan sosial individu

Media sosial sememangnya sangat membantu kita memiliki jaringan sosial yang sihat. Dengan akaun media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram, Whatsapp dan lain-lain, anda dan kaum kerabat anda masih dapat berhubungan walaupun berada jauh dari masing-masing. Namun begitu, ia juga mungkin disalahgunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Antara kesalahan penggunaan media sosial adalah buli siber. Seperti yang telah kita ketahui, orang kenamaan juga tidak terlepas daripada kecaman netizen yang ‘cerdik pandai’ ini. Oleh itu, sudah pasti orang kebanyakan seperti kita juga boleh mengalaminya terutamanya golongan remaja yang baru berjinak-jinak dengan media sosial.

Menurut Ketua Kemampanan Syarikat Komunikasi Digi iaitu Philip Ling, sebanyak 20.5 peratus kanak-kanak sekolah mengatakan mereka dibuli dalam talian, manakala 42.1 peratus mengakui tahu siapa dalam kalangan mereka dibuli, berdasarkan kajian Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition Survey 2018.

Melihat kepada data, hampir satu daripada lima kanak-kanak menjadi mangsa buli siber. Jika ditanya, mereka sendiri tidak faham mengapa mereka disindir, dihina dan dimalukan di ruangan komen media sosial mereka. Jika disiasat, ia mungkin disebabkan oleh perasaan cemburu, inginkan perhatian dan populariti dalam kalangan teman di media sosial.

Jika dilihat secara umum, media sosial ini mempunyai pro dan kontranya. Ia sangat bergantung kepada anda sendiri untuk menggunakannya dengan baik atau tidak.

Dalam erti kata yang lain, buli siber bukan hanya boleh berlaku kepada kanak-kanak sekolah atau remaja sahaja malahan juga boleh dialami oleh orang dewasa. Bahkan itu, orang kenamaan yang berkedudukan tinggi seperti Permaisuri Agong kita turut mengalaminya. Ini adalah petanda di mana negara kita terlalu bebas dalam penggunaan internet dan media sosial.

Jadi, kita semua wajar mengambil iktibar daripada perkara ini dengan tidak lagi menggunakan media sosial untuk menyebarkan kebencian dan mengundang kemarahan orang ramai. Sebaliknya, gunakan setiap media yang ada untuk kita bersatu menjadi komuniti yang aman dan harmoni.

Buli siber juga ganggu tidur individu

Bukan sahaja ia akan mengganggu kehidupan sosial individu yang terpalit di dalamnya. Buli siber turut mendatangkan pelbagai keburukan yang lain, antaranya adalah ia akan menyebabkan waktu dan kualiti tidur individu terganggu.

Persoalannya, bagaimanakah perbuatan ini akan mengganggu tidur individu?

Menurut sebuah kajian yang pernah dijalankan di University of Buffalo di  Amerika Syarikat, remaja yang pernah atau sedang dibuli secara atas talian lebih cenderung untuk mengalami tidur yang kurang baik, yang seterusnya akan mengakibatkan masalah mental yang lain seperti kemurungan dan kegelisahan.

Kajian ini telah meninjau lebih daripada 800 orang remaja bagi melihat perkaitan di antara kualiti tidur dengan buli siber. Didapati bahawa hampir 15 peratus pelajar sekolah tinggi di Amerika Syarikat melaporkan bahawa mereka pernah atau sedang dibuli secara atas talian!

Lebih menakutkan, gejala ini turut menjadi dalang kepada kejatuhan prestasi persekolahan lantas mendorong kepada kejadian membunuh diri. Selain itu, mereka yang dibuli ini turut menyatakan bahawa tidur pada waktu malam mereka seringkali terganggu akibat daripada ini.

Menurut pengarang utama kajian ini iaitu Misol Kwon serta beberapa orang lagi pelajar kedoktoran di University of Buffalo School of Nursing, buli siber di internet dan media sosial adalah salah satu dari bentuk pembulian rakan sebaya yang semakin membimbangkan terjadi di dunia masa kini.

Tambah beliau lagi, kita semua tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa sebarang tindakan diambil. Lihat sahaja di negara kita. Bukan sahaja golongan remaja yang terkena, malah individu yang ternama seperti kerabat diraja atau pemimpin negara turut menjadi mangsa buli siber.

Konklusi

Kesimpulannya, buli siber adalah satu perkara yang sangat menakutkan boleh terjadi kepada individu. Lebih membimbangkan, ia bukan sahaja boleh terjadi kepada individu biasa, malah juga boleh berlaku kepada individu kenamaan. Kesannya, ia akan merosakkan kehidupan sosial individu yang dibuli lantas mungkin mendorong mereka membuat keputusan yang salah, seperti membunuh diri. Jadi, berhentilah membuli secara fizikal atau atas talian.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Lanjutan Kes Ustazah Merangkak Tular, Ibu Bapa WAJIB Ajar Anak Hormat Guru!

    Zaman sekarang tidak lagi macam dahulu. Kini, murid-murid dan ibu tidak lagi takut dan taat kepada guru. Ibu bapa, ajar cara hormat guru ini kepada anak!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Farid

    Alamak! Instagram Buat Anda Teringin Nak Makan Makanan Tidak Sihat?

    Pernah tak apabila rakan anda berkongsi gambar makanan tengah harinya di media sosial, tiba-tiba, anda juga teringin memakannya. Sudah terpengaruhkah anda?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Suami Kena Caras Dengan BFF, Bagaimana Elak Curang Dalam Perkahwinan?

    Telah tular di media sosial cerita Yaya Mooncake yang dikatakan berkahwin dengan suami kawan baiknya sendiri. Adakah ia benar?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Farid

    Friends & Followers Di Media Sosial Tak MENJANJIKAN Kebahagian – Kenapa?

    Kajian mendapati, kualiti rakan anda di media sosial adalah kunci untuk kebahagiaan hidup yang sebenar, bukannya terletak pada bilangan yang ramai.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz