Bilitec, Inovasi Pemeriksaan Jaundis Tanpa Sampel Darah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Terkesan dengan suntikan pengambilan sampel darah bayi untuk tujuan pemeriksaan penyakit kuning (jaundis), seorang penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan inovasi baru iaitu bilitec (Bilirubin Detector) bagi mengukur tahap bilirubin tanpa menggunakan sampel darah.

Penggunaan teknologi ‘spectrophotometer’ yang ada pada bilitec, tahap bilirubin diukur dengan melakukan imbasan pada kulit bayi atau mata bayi.

Teknologi itu akan mengesan tahap bilirubin berdasarkan warna pada kulit atau mata bayi, sekali gus mengurangkan pengambilan sampel darah untuk tujuan pemeriksaan atau saringan.

Berdasarkan pemerhatian, bayi yang darahnya diambil berulang-ulang di tangan dan tapak kaki untuk mengukur tahap penyakit kuning akan mengalami trauma kerana kesakitan yang dialami ketika suntikan mengambil darah, manakala tempat suntikan itu pula boleh menjadi lebam atau bengkak.

Penyelidik, Nadiah Rozlan, pelajar alumni Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM dalam bidang reka bentuk perindustrian berkata, malahan bilitec direkabentuk untuk memudahkan penggunaan dan dikendali oleh pihak institusi kesihatan ataupun ibu bapa.

“Bentuknya yang kompak dan ringan, memudahkannya dipegang dan digunakan dengan cara sentuhan skrin. Ia didatangkan dengan aplikasi mobile (mobile app) yang membolehkan pengguna merekodkan tahap bacaan (bilirubin) terus ke penyimpanan cloud dan catatan rekod itu boleh dilihat semula oleh doktor atau pegawai perubatan mahupun ibu bapa.

“Doktor dan jururawat tidak perlu menulis atau mendokumentasikan data secara manual kerana semuanya direkod secara automatik dalam aplikasi berkenaan.

“Keputusan pemeriksaan juga diketahui dengan pantas. Dalam beberapa saat sahaja boleh mengetahui sama ada seseorang bayi itu menghidap penyakit kuning atau tidak, berbanding cara menggunakan sampel darah yang memerlukan temu janji dengan doktor beberapa hari kemudian untuk mengetahui keputusannya,” katanya.

Sumber: kampusuols.com

Menurutnya, perkhidmatan tele-kesihatan masa sebenar (real time telehealth service) antara pengendali bilitec dan doktor juga boleh dilakukan melalui aplikasi itu, yang membolehkan komunikasi antara kedua-dua pihak dan pemantauan dilakukan dari jauh.

Walau bagaimanapun, tambah Nadiah, penyelidikan untuk menambah baik dan membangunkan lagi produk itu sedang dilakukan.

Baru-baru ini Bilitec memenangi anugerah Best Internet of Things (IOT) di pameran Sustainable Environmental Exploration Design (SEED) 2018 anjuran UPM bersama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang bertemakan ‘Industrial Revolution 4.0’ dan terpilih menyertai pameran Sustainable Tropical Environmental Design Exhibition (STEdex) 2018 di Galeri Serdang, UPM.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 18, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut