Kenapa Nama Virus Korona Baharu Ditukar Kepada COVID-19?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Jika anda mengikuti perkembangan berita mengenai wabak virus korona baharu sejak kebelakangan ini, anda pasti tahu nama yang diberikan bagi merujuk kepada virus tersebut adalah 2019-nCov.

Ia merupakan singkatan kepada novel coronavirus yang bermaksud virus korona baharu. Namun, semakin lama nama itu digunakan, ia menjadi semakin kurang relevan. Ini berikutan perkataan novel itu merujuk kepada strain yang baru ditemui.

Kini, sudah 2 bulan, virus korona baharu tersebut menular di seluruh dunia.

Bukan semua Badan Kesihatan di seluruh dunia menggunakan nama 2019-nCoV. Tambahan pula, ada nama yang digunakan berunsurkan stigma dan mewujudkan ketakutan dalam kalangan populasi dunia.

Dalam usaha untuk mengelakkan stereotaip dan stigma ini daripada terus berleluasa, satu nama perlu dipersetujui bagi mengelakkan kekeliruan.

Teruskan membaca jika anda ingin mengetahui selanjutnya. 

Pertukaran nama kepada COVID-19

Apabila virus ini ditemui pada penghujung tahun 2019, nama yang acap kali digunakan oleh ahli akademik dan pengkaji adalah 2019-nCoV yang membawa maksud virus korona baharu.

Walau bagaimanapun nama tersebut tidak digunakan secara meluas. Ini berikutan terdapat media dan organisasi kesihatan yang menggunakan nama lain bagi merujuk kepada virus tersebut.

International Committee on Taxonomy of Viruses telah menggunakan nama SARS-CoV-2 bagi merujuk kepada virus korona baharu. Segelintir individu turut memviralkan penggunaan nama yang berunsur stigma seperti virus China dan virus korona Wuhan. 

Penggunaan nama yang pelbagai ini bakal mewujudkan kekeliruan dan huru-hara kesan daripada stereotaip dan kekeliruan.

Melihat kepada keperluan semasa bagi mengelakkan komplikasi tersebut daripada berlaku, nama virus korona baharu, 2019-nCoV, telah ditukar kepada COVID-19.

COVID merupakan gabungan perkataan Corona, Virus dan Disease. Ia membawa maksud penyakit virus korona. Perkataan tersebut juga diikuti dengan tahun ia mula dikesan iaitu 2019. 

COVID-19 telah diperkenalkan oleh Pengerusi WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa sidang media di Geneva.

Ia merupakan nama yang tidak merujuk kepada mana-mana lokasi, binatang, individu atau populasi di samping merujuk kepada penyakit yang disebabkan oleh virus korona.

Perubahan nama ini penting bagi membentuk satu format sekiranya wabak virus korona berlaku kelak.

Kes virus korona kini telah menjangkiti hampir 50,000 individu di seluruh dunia. 

Penyebaran wabak ini agak agresif berbanding dengan virus korona yang lain namun mempunyai kadar kematian yang agak rendah.

Perlu ke tukar nama nCoV kepada COVID? 

covid

Tindakan WHO menukar nama virus bukanlah satu perkara yang asing. Tujuan utama adalah untuk memastikan tiada salah faham atau stigma yang boleh membuatkan individu takut untuk mendapatkan rawatan.

Contoh pertukaran nama penyakit disebabkan oleh stigma

Ketika  Human Immunodeficiency Virus (HIV) ditemui, nama Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) adalah GRID – Gay-Related Immune Deficiency. Nama tersebut mewujudkan stigma dalam kalangan homoseksual di Amerika Syarikat. 

Tambahan pula, mereka yang heteroseksual juga boleh mendapat jangkitan tersebut. Oleh sebab nama tersebut tidak menggambarkan proses patologi penyakit yang sebenar, maka ia telah ditukarkan kepada AIDS. 

Begitu juga dengan HIV. Disebabkan wujudnya stigma terhadap pesakit HIV, mereka seringkali malu dan tidak mahu mendapatkan rawatan. Bagi menyelesaikan dilema ini, nama HIV telah ditukar kepada RVD (retro viral disease).

Apa nama virus korona baharu sebelum COVID-19?

Sebelum timbulnya nama COVID-19, pelbagai jenis nama telah diusulkan kepada WHO:

  • Nama SARS-CoV-2 yang telah diberikan kepada virus korona baharu adalah bersempena dengan nama virus SARS-CoV yang menyebabkan sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Ia berikutan kedua-dua virus tersebut mempunyai persamaan struktur genetik
  • Pihak berkuasa China pernah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan nama Novel Coronavirus Pneumonia (NCP)
  • Pada Januari 2020, terdapat juga beberapa nama yang bersifat stereotaip telah diusulkan seperti South East Asia Respiratory Syndrome dan Chinese Acute Respiratory Syndrome

Persepakatan dalam kalangan ahli akademik untuk menamakannya sebagai COVID-19 memudahkan urusan pelbagai pihak dalam menangani wabak virus korona baharu.

Selain membantu ahli akademik untuk memahami topik yang diperbincangkan, ia juga boleh menggalakkan pesakit untuk mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala positif. 

Langkah yang diambil ini secara tidak langsung akan membantu mengurangkan beban wabak di seluruh dunia.

Adakah wabak ini akan berakhir?

covid

Tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Badan Kesihatan Global berkenaan dengan persoalan ini. 

Namun laporan yang dibuat oleh Kolej Imperial London telah menunjukkan bahawa jumlah mereka yang dijangkiti berkemungkinan lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa yang dilaporkan oleh media.

Ramalan ini dibuat berdasarkan pola keluar masuk pelancong dari Wuhan. Jadi, mengapa jumlah laporan rasmi yang terbaru masih rendah? Ini berikutan terdapat kebarangkalian bahawa segelintir individu tidak menunjukkan sebarang simptom walaupun telah dijangkiti.

Laporan angka individu yang dijangkiti hanya berdasarkan kes positif yang telah didiagnosis. Oleh sebab itulah, wabak ini masih tidak mempunyai gambaran yang jelas.

Walau bagaimanapun, menurut penasihat perubatan kanan negara, jumlah kes baru semenjak 31 Januari 2020 semakin berkurangan. Jika corak penularan ini terus menurun, wabak ini dijangka akan berakhir pada April 2020.

Konklusi

Pertukaran nama virus korona baharu kepada COVID-19 dapat mengelakkan salah faham dan stigma kepada mereka yang mendapat jangkitan tersebut. 

Ini merupakan langkah yang penting bagi membendung penularan wabak virus korona baharu yang semakin agresif. Jika anda mengalami simptom selesema atau baru pulang dari China, dapatkan pemeriksaan kesihatan dari fasiliti kesihatan terdekat.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronavirus

Baca juga:

Tarikh Reviu Februari 13, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 18, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut