Vaksinasi Kanak-kanak Menurun di Sebahagian Besar Negara-negara Afrika

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Satu penyelidikan yang dilaksanakan oleh University of Southampton, UK menunjukkan bahawa beberapa negara berpendapatan rendah dan sederhana, terutamanya di Afrika, memerlukan strategi vaksinasi kanak-kanak yang lebih berkesan untuk menghapuskan ancaman daripada penyakit-penyakit yang boleh dicegah.

Ahli geografi dari kumpulan University’s WorldPop mendapati paras vaksin difteria, tetanus dan batuk kokol (pertussis) di Nigeria, Republik Demokratik Congo (DRC), Ethiopia, Mozambique dan juga di Kemboja, Asia Tenggara, kurang daripada 80 peratus daripada tahap yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini bermakna potensi peredaran penyakit dan wabak di negara-negara ini tetap tinggi. Penemuan penyelidikan yang bertajuk ‘Mapping Vaccination Coverage to Explore the Effects of Delivery Mechanisms and Inform Vaccination Strategies’ ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.

Menggunakan data daripada Demographic and Health Surveys (DHS) yang dijalankan antara tahun 2011 dan 2016, para penyelidik meneliti prestasi imunisasi rutin (RI) melalui pemberian tiga dos diphtheria-tetanus-pertussis (DTP1-3) kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah, termasuk kadar drop-out antara dos. Mereka membandingkan perkara ini dengan pemberian measles-containing vaccine (MCV), yang mana ia adalah aktiviti imunisasi tambahan (SIAs) yang sering dilaksanakan. Peta terperinci (satu km persegi) yang menunjukkan tahap liputan vaksin bagi setiap negara dan mencerminkan prestasi relatif aktiviti rutin dan tambahan telah dihasilkan.

Kepentingan kempen vaksinasi dalam peningkatan liputan penyampaian vaksin

Peta tersebut menunjukkan jurang yang ketara dalam penyampaian dos pertama vaksin DTP, terutamanya di DRC, Nigeria dan Ethiopia – mencadangkan akses yang lemah kepada imunisasi rutin. Walau bagaimanapun, di mana pemberian rutin vaksin campak di negara-negara yang sama disokong dengan kempen SIA yang berulang, kadar liputannya lebih tinggi. Sebaliknya, bagi negara Mozambique dan Kemboja, mereka mempunyai kempen yang kurang dan tidak mengalami peningkatan yang nyata – walaupun kedua-dua negara mempunyai sistem pemberian rutin yang lebih kukuh.

Keputusan ini menunjukkan bahawa kempen tambahan yang disasarkan dapat memberi perbezaan yang besar kepada penyampaian perkhidmatan imunisasi, terutama di kawasan yang mempunyai liputan imunisasi rutin yang buruk. Penyelidik utama, Dr Chigozie Edson Utazi berkata, banyak perkara boleh membawa kepada tahap vaksinasi yang rendah, seperti akses yang tidak baik kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan yang lemah, stok vaksin yang rendah dan penolakan vaksin dan penyelidikan tersebut telah menunjukkan bahawa aktiviti tambahan, sebagai pendekatan jangka pendek, dapat membantu menangani beberapa masalah ini, meningkatkan imunisasi dan meningkatkan ketahanan penyakit.

Menurut beliau lagi, keberhasilan strategi penyampaian vaksin bukan sahaja terletak pada penyebaran geografi yang baik tetapi juga untuk memastikan tahap liputan dalam kalangan penduduk cukup tinggi untuk menghentikan penyebaran penyakit ini. Mereka berharap skala spatial dan peta serantau yang baik akan membantu negara-negara memahami dengan lebih terperinci di mana liputan rendah dan memutuskan apa lagi intervensi yang diperlukan di kawasan tertentu untuk bekerja ke arah penghapusan penyakit.

Para penyelidik kini berharap untuk melanjutkan penyelidikan ke negara-negara lain dan menjalankan kajian lanjut yang memasukkan data mengenai tingkah laku pencarian rawatan, masa perjalanan ke kemudahan kesihatan dan liputan rangkaian telefon bimbit. Diharapkan ini dapat membawa kepada reka bentuk dan pelaksanaan program penyampaian vaksin yang disesuaikan.

Kajian yang dijalankan tersebut disokong oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates, dan juga melibatkan para saintis dari PennState University, Princeton University, Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health dan London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut