Setelah 19 Tahun, Dua Kes Polio Kini Telah Dilaporkan Di Filipina

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Selepas 19 tahun diiystiharkan bebas daripada jangkitan polio, negara Filipina kini telah diserang semula oleh musuh mereka dari masa lampau.

Polio di Filipina: Kedatangan yang tidak diundang

Penyakit yang sepatutnya hanya berada dalam sorotan sejarah dan dokumentari silam ini, kini telah kembali mengganas di bumi Filipina, mengakibatkan dua kes di negara Asia Tenggara tersebut. 

Minggu lepas, kes pertama telah dikenal pasti berlaku di Lanao del Sur, kawasan selatan pulau Mindanao. Ia dilaporkan berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun. Kes polio di Filipina yang kedua pula dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Filipina keesokan harinya. Kes kedua membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun daripada Laguna, selatan Manila. 

Sebelum ini, bersama negara-negara lain di rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Filipina telah diisytiharkan bebas polio menjelang tahun 2000 setelah merekodkan kes polio liar terakhir di negara tersebut pada tahun 1993. Malahan, akibat faktor geografi negara tersebut, Filipina bukanlah negara yang berisiko tinggi dalam perhatian WHO, menjadikan wabak ini sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya, negara-negara yang berisiko tinggi dan berada dalam perhatian pertubuhan itu adalah Afghanistan dan juga Pakistan. 

Polio, onarnya bukan kepalang

Polio, atau nama penuh penyakit tersebut, poliomyelitis, adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh poliovirus dan ia lazimnya menyerang kanak-kanak. Ia cukup digeruni bukan sahaja kerana keupayaannya untuk mengakibatkan kelumpuhan dan juga kematian, ia juga kerana tidak ada sebarang rawatan yang wujud bagi menyembuhkan seseorang setelah mereka dijangkiti. 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), setelah dijangkiti, sekitar 72 dari 100 orang kanak-kanak tidak akan menunjukkan sebarang simptom. Disebabkan itu, kanak-kanak tersebut tidak tahu pun bahawa mereka telah dijangkiti virus tersebut. 

1 daripada 4 daripada kanak-kanak lain yang dijangkiti pula akan mengalami simptom persis flu (seperti sakit tekak, demam, sakit kepala, loya dan juga sakit abdomen). Namun yang demikian, simptom-simptom ini tidak khusus untuk jangkitan polio sahaja. Untuk itu, golongan yang mendapat simptom ini juga kemungkinan tidak pasti bahawa mereka telahpun dijangkiti.  menyebabkan mereka tidak tahu status jangkitan mereka.

Malangnya, terdapat sebilangan kanak-kanak yang akan mengalami simptom saraf akibat daripada serangan virus ini terhadap sistem saraf tunjang mereka. Serangan ke atas sistem saraf ini boleh menyebabkan masalah seperti:

  1. Rasa kebas dan/atau rasa menyucuk di bahagian kaki (disebut sebagai paraesthesia). 
  2. Keradangan selaput otak (meningitis), membabitkan 1 dalam 25 penghidap.
  3. Lemah kaki dan/atau tangan yang boleh membawa kepada kelumupuhan yang progresif.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, sekitar 2 hingga 10 daripada 100 pesakit yang lumpuh akan meninggal dunia akibat daripada serangan ke atas saraf yang mengawal otot pernafasan. 

Apa yang lebih membimbangkan adalah dalam kalangan mereka yang tidak menghidap sebarang komplikasi setelah dijangkiti, mereka juga boleh terdedah kepada risiko untuk menghidap simptom kelemahan otot dan lumpuh sekitar 15 hingga 40 tahun selepas itu. Fenomena ini disebut sebagai Post Polio Syndrome

Ia juga merupakan satu jangkitan yang mudah untuk berjangkit. Apabila masuk ke dalam badan, ia akan berada di dalam bahagian tekak dan juga dalam bahagian usus manusia. Penyebaran boleh berlaku sama ada melalui pendedahan terhadap percikan air dalam udara yang dikeluarkan ketika batuk atau bersin; dan juga melalui sentuhan najis daripada mereka yang telah dijangkiti.

Dakyah bodoh sombong yang merugikan semua

Selain faktor kebersihan, gerakan antivaksin besar-besaran yang cukup hebat di rantau tersebut dikatakan sebagai punca kepada mengapa boleh terjadinya kedatangan semula virus berbahaya ini. Menurut Jabatan Kesihatan Filipina, liputan vaksinasi yang hanya berada pada paras 66 hingga 68% itu ibarat bom jangka yang menunggu waktu untuk meletus. Liputan vaksinasi yang baik adalah pada 95% kerana ia mampu untuk menghasilkan perlindungan yang baik terhadap suatu komuniti itu.

Vaksin dicipta untuk mencegah jangkitan berbahaya seperti ini. Ini kerana komplikasi jangkitan seperti ini adalah cukup teruk dan berupaya untuk mengakibatkan maut. Selain itu, penyakit yang dicegah oleh vaksin juga kebanyakannya tidak mempunyai penawar untuknya. Kedatangan semula polio di Filipina menunjukkan apa yang boleh berlaku jika liputan vaksin berada pada paras yang rendah. Lakukan pilihan yang bijak dan dapatkan suntikan imunisasi untuk anak-anak anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: September 24, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 27, 2019

Rujukan