Alamak! Demi Telefon Pintar, Sanggup Jual Anak?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Pada zaman dahulu, manusia berkomunikasi dengan pelbagai kaedah yang leceh dan lambat. Daripada menggunakan asap, burung, botol dan surat, setiap cara ini memakan tenaga dan masa yang sangat banyak. Namun sekarang, segalanya berada di hujung jari sahaja. Daripada berhubung, bersosial, berhibur atau bermain permainan video, anda boleh melakukan semua itu dengan hanya menggunakan satu peranti sahaja iaitu telefon pintar.

Alat telekomunikasi ini pula mempunyai pelbagai variasi dari segi saiz, bentuk, jisim dan jenama pada zaman kini. Masing-masing mempunyai keunikan dan kecanggihan yang tersendiri. Apa yang paling jelas, harganya juga berbeza mengikut kualiti dan populariti sesuatu produk itu. Paling membimbangkan, ada dalam kalangan kita yang sanggup untuk berbuat apa sahaja untuk memiliknya, termasuklah menjual anak sendiri!

Persoalannya, adakah telefon pintar sebenarnya mempunyai kebaikan yang melebihi kekurangannya? Jika Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.

Semakin canggih, semakin mahal

Seiring dengan peredaran zaman, alat telekomunikasi ini telah menjadi semakin canggih namun semakin mahal dari segi harganya. Paling menakutkan, harga sebuah telefon pintar yang terkini boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Namun apa yang menghairankan, masih ramai yang mampu menggunakannya. Adakah ini bermakna orang kita ramai yang kaya raya?

Cuba anda bayangkan, harga sebuah telefon pintar jenama X adalah RM 5,000. Manakala pendapatan bulanan anda pula adalah sekitar RM 2,000 sebulan. Jadi, adakah ia bermakna anda perlu menyimpan wang tanpa membelanjakan sebarang gaji anda itu selama berbulan-bulan lamanya semata-mata ingin mendapatkan alat telekomunikasi itu?

Jika difikirkan dengan mendalam, memang tidak berbaloi. Namun arus kemodenan dunia kini membuat kita berasa perlu untuk berada seiring dengan zaman agar terus relevan dan tidak dipandang rendah oleh komuniti. Mungkin disebabkan itu, ramai orang sanggu membuat kerja gila semata-mata untuk memiliki alat telekomunikasi serba canggih yang terkini. 

Wanita sanggup jual anak demi telefon pintar di China

Seorang wanita sanggup menjual bayi kembar lelaki yang baharu sahaja dilahirkannya semata-mata untuk membeli sebuah telefon pintar. Oddity Central melaporkan perkara itu telah terbongkar selepas wanita yang berusia 20-an itu telah ditahan polis dan ketika disiasat, wanita yang dikenali sebagai Ma itu mengaku menjual anak kembarnya itu kepada dua pasangan berasingan dari Suzhou dan Fuyang di wilayah Anhui dengan harga 65,000 yuan (RM38,000).

Keputusan itu katanya didorong oleh faktor ibu bapanya yang enggan menerima kehadiran bayi yang lahir secara luar nikah dan bukannya hanya kerana mahu membeli telefon pintar semata-mata. Selain itu, dia turut menyatakan bahawa bebanan hutang yang ditanggung oleh dia dan teman lelakinya juga merupakan salah satu faktor utama. Akibatnya, wanita itu dan pasangannya kini sedang berdepan hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Telefon pintar, baik atau buruk?

Sebenarnya, segalanya bergantung kepada individu. Ya, memang benar alat telekomunikasi ini boleh menghubungkan individu yang jauh namun ia juga sebenarnya mampu menjarakkan individu yang dekat. Bayangkan, jika 24 jam anda hanya menghadap skrin telefon pintar sahaja, sudah tentu anda boleh terputus hubungan dengan individu yang berada di sekeliling anda.

Selain itu, tidak salah untuk anda memilikinya. Namun, ukur baju di badan sendiri. Jika tidak mampu beli yang harga beribu, apa salahnya jika anda cuma beli yang harga beratus, bukan? Paling penting, jangan sesekali terfikir untuk menjual anak, isteri, anggota badan, organ atau apa sahaja yang anda boleh fikirkan semata-mata untuk memiliki telefon pintar yang canggih.

Jika anda rasa alat telekomunikasi ini hanya membebankan dan menyusahkan anda kerana teknologi dan harganya yang sangat tidak masuk akal, apa kata anda kembali semula ke zaman dahulu kala? Mungkin anda boleh kembali menggunakan surat yang ditulis menggunakan pen dengan tulisan tangan anda sendiri, ia pasti memberikan nilai estetik dan nostalgik yang tersendiri, bukan? 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: September 19, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut