Cipta Organ Manusia Dalam Badan Binatang?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Bekalan organ untuk mereka yang memerlukan sering tidak mencukupi. Pada tahun 2009, jumlah individu di Amerika dalam senarai menunggu untuk mendapat buah pinggang adalah seramai 83,000 orang. Tahukah anda bahawa cuma 17,000 individu sahaja yang menerimanya? Jumlah mereka yang memerlukan organ semakin bertambah setiap tahun, namun solusi untuk masalah ini masih belum ditemui. Betul ke belum ditemui lagi? Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.

Kekurangan organ

Walaupun pemindahan organ dianggap sebagai satu kaedah rawatan yang mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit, namun ia hanya dipreskripsikan kepada mereka yang memerlukannya sahaja. Konteks “memerlukan” di sini bermaksud, tanpa prosedur tersebut, nyawa individu itu akan terancam. Ketidakseimbangan di antara jumlah mereka yang memerlukannya (ramai) dan mereka yang ingin mendermanya (sedikit) menjadikan proses ini memakan masa yang lama. 

Terdapat pelbagai jenis faktor yang menyumbang kepada kesukaran mendapatkan organ walaupun penderma sudah bersetuju untuk menderma:

  • Apabila seseorang individu itu mati atau disahkan sudah mengalami kematian otak (brain death), keputusan pemindahan organ terletak pada waris yang terdekat. Bergantung kepada agama dan budaya, sebahagian waris tidak membenarkan prosedur tersebut dijalankan.
  • Sebahagian besar hospital tidak mempunyai fasiliti yang cukup untuk melaksanakan prosedur pemindahan tersebut maka pesakit akan dihantar ke institut yang berkaitan. Organ yang ingin diderma boleh datang dari mana-mana hospital. Ia mempunyai tempoh masa yang singkat sebelum rosak atau dianggap tidak boleh digunakan lagi. Proses penghantarannya dari hospital ke hospital yang lain boleh memakan kos yang tinggi.
  • Fasiliti di pusat pemindahan organ yang mampu juga tidak boleh melaksanakan prosedur yang banyak dalam masa sehari. Kesannya, ia akan memakan masa dan pesakit lain perlu menunggu giliran. 

Kimerisme; Mungkinkah ia satu solusi?

Pada tahun 2017, Institut Salk, California telah menerbitkan kajian yang dijalankan oleh sekumpulan saintis yang mencipta organ manusia di dalam babi menggunakan kaedah penyuntingan genom. Setiap hari, secara purata, 22 orang mati semasa menunggu organ daripada penderma dan 6 nama baru akan ditambah ke dalam senarai menunggu per jam. Keadaan ini telah memberi inspirasi kepada sekumpulan saintis ini untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah kekurangan organ. Bayangkan, jika kita mempunyai metode lain yang mampu memberikannya tanpa berharap kepada penderma, ia berpotensi untuk menyelamatkan ramai individu.

Dalam kajian tersebut, mereka memadamkan gen yang mengekod kepada terbentuknya pankreas seekor tikus putih dan menggantikannya dengan gen pankreas tikus domestik. Dapatan kajian menunjukkan, setelah lahir, kesemua tikus putih tersebut mempunyai pankreas tikus domestik tanpa sedikit pun tanda yang menunjukkan gen mereka bertanggungjawab dalam membentuk pankreas tersebut. Ini merupakan penemuan yang menakjubkan kerana ia mempunyai potensi untuk menyelesaikan masalah kekurangan organ yang sedang kita hadapi di seluruh dunia.

Kajian tersebut diteruskan dengan menggantikan kod genetik pankreas babi dengan pankreas manusia. Setelah ia lahir dan membesar, babi tersebut mempunyai pankreas manusia. Menarik, bukan? Ia seperti kita sudah mempunyai alternatif lain bagi menurunkan kadar mortaliti dunia berkaitan dengan kekurangan organ.

Namun terdapat pelbagai jenis isu yang perlu diselesaikan memandangkan metode ini bakal berdepan dengan isu etika.

  • Perkembangan embriologi babi yang telah diubah gen pankreas kepada gen manusia adalah sangat perlahan. Mereka memerlukan dua ke tiga kali ganda lebih lama untuk membesar
  • Walaupun pankreas tersebut mempunyai komposisi majoriti sel manusia, sebahagian kecilnya adalah sel babi. Ini boleh menyebabkan penolakannya oleh sistem pertahanan tubuh memandangkan sel babi dilihat sebagai sel asing
  • Jika kita anggap pankreas tersebut mempunyai 100% komposisi sel manusia sekalipun, babi atau binatang yang digunakan perlu dibunuh untuk diambil pankreasnya. Ini merupakan isu etika yang membuatkannya sukar untuk diterima sebagai kaedah alternatif bagi mendapatkan pankreas tersebut
  • Bayangkan jika pankreas anda  pernah berfungsi di dalam badan babi. Ini boleh menyebabkan tekanan emosi, mental dan psikologikal kesan daripada kewujudan stigma budaya dan agama

Konklusi

Walaupun buat masa ini penyelesaian untuk masalah kekurangan bekalan organ masih kelihatan samar-samar, namun apabila teknologi semakin maju, tidak mustahil suatu hari nanti kita boleh mencipta organ tanpa menggunakan binatang sebagai perumah. Memahami konsep penyuntingan genetik ini adalah merupakan langkah terawal ke arah pencapaian matlamat yang lebih besar pada masa akan datang; penyelesaian kepada masalah kekurangan organ.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan