Kejap Kurus, Kejap Gemuk: Selena Gomez “Diserang” 

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Serangan peribadi terhadap fizikal seseorang bukanlah satu perkara yang janggal atau baharu. Baru-baru ini, penyanyi terkenal Selena Gomez turut menerima tempias serangan peribadi tersebut. Dia menyatakan bahawa dia dikritik akibat perubahan berat badannya yang menyebabkannya berundur daripada media sosial untuk seketika. Selena mengalami “turun naik berat badan” disebabkan oleh ubat-ubatan yang diambilnya bagi penyakit lupus yang dialaminya. 

Lupus dan penyakit lain sebabkan turun naik berat badan

“Saya mempunyai penyakit lupus, berhadapan dengan masalah berkaitan buah pinggang dan tekanan darah tinggi. Sejak itu saya mula menyedari mengenai rupa bentuk badan saya yang mengalami perubahan”, kata Selena. Menurutnya lagi, penyakit lupus, masalah kesihatan lain dan ubat-ubatan yang diambilnya telah menyebabkan berat badannya mengalami perubahan. Dia juga menyatakan bahawa dia perlu mengambil ubat-ubatan tersebut sepanjang hidupnya memandangkan penyakit lupus tidak boleh dirawat buat masa sekarang, dan hanya boleh dikawal melalui pengambilan ubat-ubatan.

Penyakit autoimun mula menyerang

Pada tahun 2015, Selena Gomez mula memberitahu kepada umum buat pertama kali mengenai usahanya dalam melawan penyakit autoimun ini atau penyakit lupus. Dia juga mengakui bahawa dia menjalani rawatan pemulihan pada bulan Februari 2014. Setelah menghilangkan diri buat seketika pada tahun 2017, Selena muncul kembali dengan membawa perkhabaran mengenai keadaan semasa kesihatannya pada bulan September 2017. Dia memaklumkan dalam hantaran melalui Instagramnya bahawa, dia menerima pemindahan buah pinggang semasa musim panas daripada seorang rakannya yang juga seorang aktres, Francia Raisa. 

Walau bagaimanapun, setelah beberapa ketika, Selena mula menerima kritikan dan komen negatif yang dilontarkan mengenai “turun naik berat badannya” yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang dialami. Selena mula memberitahu bahawa komen-komen negatif tersebut yang menyebabkannya mengambil keputusan untuk meninggalkan media sosial buat seketika dan tidak mahu mengambil tahu terhadap komen-komen yang diberikan terhadapnya. 

Apakah itu penyakit lupus?

Penyakit lupus adalah sejenis penyakit autoimun sistematik yang berlaku ketika mana sistem imun tubuh menyerang organ dan tisu tubuh badan anda sendiri. Keradangan yang berlaku yang disebabkan oleh lupus ini boleh menjejaskan banyak sistem tubuh termasuklah sendi, kulit, buah pinggang, sel darah, otak, jantung dan paru-paru. Tanda paling mudah untuk mengenali lupus adalah melalui ruam pada kulit muka yang berbentuk kepak rama-rama pada kedua-dua belah pipi. Ia boleh berlaku dalam kebanyakan kes lupus. 

Penyebab penyakit lupus

Lupus boleh disebabkan oleh gabungan antara faktor genetik dan juga faktor persekitaran. Individu yang memiliki kecenderungan untuk memiliki lupus yang diwarisi, mungkin akan mengalami penyakit ini apabila mereka terdedah kepada sesuatu yang ada dalam persekitaran yang boleh mencetuskan lupus. Penyebab penyakit lupus dalam kebanyakan kes ini tidaklah diketahui. Walau bagaimanapun, sesetengah daripada pencetusnya termasuklah:

  • Cahaya matahari: Pendedahan terhadap cahaya matahari mungkin akan menyebabkan luka kulit lupus atau mencetuskan respon dalaman bagi individu yang mudah terdedah
  • Jangkitan: Jangkitan boleh memulakan penyakit lupus atau menyebabkan ia kembali berlaku
  • Ubat-ubatan: Lupus boleh dicetuskan oleh sesetengah jenis ubat tekanan darah, ubat anti-sawan dan antibiotik

Kesimpulan 

Komen-komen negatif atau cyber bullying seperti yang diterima oleh Selena Gomez sememangnya mampu memberikan kesan negatif terhadap kehidupan keseluruhan individu yang terbabit. Kadangkala, menjauhkan diri daripada media sosial seperti yang dilakukan oleh Selena adalah satu langkah yang baik bagi memelihara kesejahteraan mental anda. Media sosial telah terbukti dalam meningkatkan gangguan terhadap kesejahteraan mental seseorang, oleh itu tempoh berundur buat seketika adalah langkah terbaik terutamanya jika berhadapan dengan kelompok yang tidak begitu tahu mengenai keadaan kesihatan sebenar anda seperti penyakit lupus ini. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 20, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut