backup og meta

Aplikasi Telefon Pintar Mempunyai Ketepatan Hampir dengan ECG dalam Mengesan Serangan Jantung

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    Aplikasi Telefon Pintar Mempunyai Ketepatan Hampir dengan ECG dalam Mengesan Serangan Jantung

    Sebuah aplikasi telefon pintar baru menunjukkan harapan baru dalam menentukan masalah jantung serius daripada sakit dada yang dialami oleh seseorang. Satu kajian yang dijalankan ke atas ketepatan aplikasi tersebut menemui bahawa ia menghampiri ketepatan elektrokardiogram (ECG) biasa dalam mengenal pasti serangan jantung yang serius.

    Sistem aplikasi tersebut memberikan fokus terhadap mengenal pasti bentuk serangan jantung yang spesifik dan mengancam nyawa, dikenali sebagai ST-Elevation Myocardial Infarction (STEMI). Serangan jantung ini berlaku apabila pembuluh darah utama pada jantung tersumbat. Kematian atau kecacatan boleh berlaku jika ia tidak dirawat segera.

    “Jika seseorang mengalami sakit dada buat kali pertama, dia mungkin akan berfikir bahawa ia disebabkan perkara kecil dan tidak akan pergi ke jabatan kecemasan di hospital,” kata salah seorang yang terlibat dalam kajian tersebut, J. Brent Muhlestein. Beliau menambah, “Itu sangat bahaya kerana lebih cepat kita membuka pembuluh darah yang tersumbat itu, lebih baik hasilnya.”

    ECG biasa boleh mengesan dengan efektif serangan jantung STEMI menggunakan 12 kabel lead. Setiap posisi kabel lead adalah penting untuk mengesan aktiviti elektrik jantung di lokasi berbeza. Aplikasi telefon pintar baru tersebut hanya menggunakan 2 kabel lead ECG yang digerakkan di seluruh badan sambil membuat bacaan. Jadi, ia boleh merekod bacaan di kesemua 12 kabel ECG biasa.

    Perkembangan terkini dalam teknologi penjejak kecergasan (fitness tracker) memasukkan bacaan ECG ke dalam alat yang mudah digunakan oleh orang ramai. Jam pintar Apple yang terbaru malah menggunakan satu kabel lead ECG sebagai data kesihatan tambahan.

    Ketepatan aplikasi baru ini diuji ke atas 204 orang pesakit yang mengalami sakit dada. Semua subjek menjalani ECG biasa dan ECG telefon pintar baru tersebut. Hasil kajian mendapati aplikasi telefon pintar tersebut adalah hampir efektif seperti ECG biasa dalam membezakan antara serangan jantung STEMI dan bukan STEMI.

    “Kami mendapati bahawa aplikasi ini membantu mengenal pasti serangan jantung dengan efektif,” kata Muhlestein.

    Sejauh mana aplikasi baru ini tersedia di pasaran adalah masih belum jelas. Namun, pengkaji berharap agar ia bukan sahaja mampu membuatkan akses kepada data ECG lebih cepat tetapi juga lebih mudah bagi doktor dalam negara di mana alat ECG biasa susah diakses. Sistem yang paling ideal ialah pesakit menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan bacaan ECG, kemudian memuat turunnya di atas talian untuk dilihat oleh doktor serta merta.

    Hasil kajian tersebut telah dibentangkan di American Heart Association’s 2018 Scientific Session di Chicago pada minggu lepas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan