Biasanya, kita akan tahu jika seseorang itu sedang mengalami penyakit strok melalui beberapa keadaan. Namun, tahukah anda, ada satu keadaan yang disebut sebagai strok senyap.
Apakah ia dan bagaimanakah keadaan ini berlaku? Sempena Hari Strok Sedunia tanggal 29 Oktober ini, kami kongsikan dengan anda mengenai penyakit strok senyap.
Adakah terdapat kemungkinan untuk seseorang itu mengalami penyakit strok senyap?
Ya. Anda boleh mengalami strok senyap, di mana anda sendiri tidak sedar yang anda sedang mengalaminya.
Apabila menyebut berkenaan penyakit strok, kita pasti membayangkan keadaan di mana seseorang itu mempunyai percakapan yang tidak jelas, menjadi kaku atau muka dan tubuh yang tidak mempunyai sebarang pergerakan.
Seperti mana strok iskemia, strok senyap berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak anda tiba-tiba terputus, lalu menyebabkan kehilangan oksigen otak dan merosakkan sel otak.
Namun, bagi penyakit strok senyap, ia agak sukar untuk dikenal pasti.
Ini kerana strok senyap mengganggu bekalan darah ke bahagian otak anda yang tidak mengawal fungsi yang boleh dilihat, seperti bercakap atau bergerak.
Oleh itu, anda mungkin tidak mengetahui bahawa anda sebenarnya sedang mengalami strok.
Kebanyakan individu sedar yang mereka sedang mengalami strok senyap setelah menjalani pengesanan MRI atau CT disebabkan oleh penyakit lain.
Adakah penyakit strok senyap ini kurang berbahaya berbanding jenis strok lain?
Walaupun ia berlaku tanpa anda sedari, namun tidak bermakna ia kurang berbahaya atau kurang menjejaskan tubuh badan anda.
Strok senyap biasanya hanya menjejaskan kawasan yang kecil pada otak anda, tetapi kerosakannya adalah kumulatif.
Sekiranya anda beberapa kali mengalami strok senyap, anda mungkin akan mula menyedari sesetengah gejala berkaitan neurologi.
Contohnya, anda mungkin mula menghadapi masalah untuk mengingat sesuatu, atau anda mungkin menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian.
Menurut American Stroke Association, strok jenis ini juga boleh meningkatkan risiko anda mengalami strok bersimptom pada masa akan datang.
Penyelidik telah mengetahui sejak sekian lama bahawa strok senyap sebenarnya agak kerap berlaku.
Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2003 menunjukkan bahawa, ⅓ individu yang berusia lebih daripada 70 tahun mengalami sekurang-kurangnya satu strok jenis ini dalam hidup mereka.
Terbaharu, para penyelidik mengesahkan bahawa jika anda mengalami strok ini sebanyak beberapa kali, anda berisiko untuk mendapat demensia vaskular, yang juga dikenali sebagai demensia multi-infark.
Antara gejala-gejala demensia vaskular ini ialah:
- Mempunyai masalah ingatan
- Mempunyai masalah emosi, seperti ketawa atau menangis pada masa yang tidak sesuai
- Perubahan cara berjalan anda
- Tersesat di kawasan yang biasa anda kunjungi atau ketahui
- Mempunyai masalah dalam membuat keputusan
- Kehilangan kawalan terhadap usus dan pundi kencing
Ini ciri-ciri penyakit strok senyap yang perlu anda tahu
Strok jenis ini berbeza dengan jenis-jenis strok lain.
Antara penyebab atau punca kepada strok senyap ialah pembekuan darah, tekanan darah tinggi, arteri yang menjadi sempit, kandungan kolesterol yang tinggi dalam tubuh selain penyakit diabetes.
Untuk simptom atau gejala berkaitan, strok jenis ini tidak menunjukkan sebarang simptom jelas yang boleh dilihat.
Kerosakan pada otak akibat strok ini juga bersifat kekal dan kesannya juga pelbagai.
Bagaimana hendak tahu jika saya menghidap strok ini?
Anda mungkin perlu melakukan pengesanan MRI atau CT bagi mengesahkan keadaan ini.
Sekiranya anda melakukan imbasan CT atau MRI, gambar akan menunjukkan bintik-bintik putih atau luka di mana sel-sel otak anda telah berhenti berfungsi.
Inilah cara paling tepat untuk doktor mengetahui bahawa anda sedang mengalami strok jenis ini.
Tanda-tanda lain adalah sangat kecil sehingga ia sering disalah anggap sebagai tanda penuaan seperti:
- Mempunyai masalah untuk menyeimbangkan tubuh badan
- Sering terjatuh
- Air kencing yang kerap terkeluar dengan sendirinya
- Sering berlaku perubahan emosi
- Penurunan kemampuan berfikir
Ini cara untuk mencegah diri anda daripada mendapat strok senyap
Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan strok jenis ini. Antaranya ialah:
- Kawal tekanan darah anda. Para penyelidik mendapati bahawa tekanan darah tinggi boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami strok jenis ini
- Melakukan senaman. Satu kajian pada tahun 2011 menunjukkan bahawa senaman secara sederhana selama 30 minit, lima hari seminggu dapat mengurangkan kemungkinan anda untuk mengalami strok senyap hingga 40%. Sekiranya anda aktif secara fizikal, anda juga akan mengalami lebih sedikit komplikasi strok berbanding dengan jika anda tidak aktif
- Kurangkan pengambilan garam. Persatuan Strok Amerika mengesyorkan agar anda mengurangkan pengambilan garam untuk menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko mengalami strok
- Kawal berat badan anda. Indeks jisim badan (BMI) dari 18.5 hingga 24.9 dianggap sebagai BMI yang normal
- Turunkan tahap kolesterol anda. Untuk mengurangkan risiko strok, tahap kolesterol keseluruhan anda harus lebih rendah daripada 200 mg / dL. Kolesterol HDL (baik) anda semestinya 60 mg / dL atau lebih tinggi. Kolesterol LDL (buruk) anda mestilah di bawah 100 mg / dL
- Hentikan tabiat merokok. Sekiranya anda masih merokok, anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat strok dengan berhenti merokok. Selain strok, merokok juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung
- Kurangkan minuman diet. Satu kajian baru-baru ini menyatakan bahawa minum minuman manis dengan pemanis buatan boleh meningkatkan risiko untuk mendapat demensia dan strok
- Makan sayur-sayuran. Ambil lima atau lebih hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
- Perhatikan keadaan diabetes anda. Diabetes merupakan salah satu faktor risiko bagi penyakit strok
[embed-health-tool-bmi]