Darah Pada Luka Anak Sukar Membeku? Ibu Ayah Yang Ada Anak Hemofilia, Ambil Tahu Perkara Ini!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 06/10/2020 . 3 minit bacaan
Share now

Hemofilia merupakan sejenis penyakit darah yang menyebabkan penghidapnya mempunyai darah yang sukar untuk membeku.

Selalunya pesakit hemofilia mempunyai masalah kekurangan protein yang dikenali sebagai faktor VIII (8) atau faktor IX (9). 

Protein inilah yang bertanggungjawab untuk membekukan darah dalam tubuh badan manusia. Tanpa protein ini, darah pesakit ambil masa untuk membeku dan berhenti mengalir.

Hemofilia merupakan sejenis penyakit darah yang bersifat genetik. Ia diturunkan daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka. Lazimnya, hemofilia berlaku dalam kalangan lelaki.

Wanita pula boleh menjadi pembawa hemofilia. Walaupun mereka hanyalah pembawa, mereka boleh mengalami simptom pendarahan yang sederhana dan berupaya menurunkan gen hemofilia kepada anak-anak mereka.

Kanak-kanak yang menghidap hemofilia boleh hidup normal seperti biasa. Walau bagaimanapun, jika mereka terluka, mereka akan mengalami pendarahan yang lebih lama.

Luka kecil dan lebam mungkin bukan masalah untuk kanak-kanak hemofilia. Namun, luka yang lebih dalam yang menyebabkan pendarahan mungkin akan mencetuskan masalah besar dalam kalangan pesakit.

Individu yang menghidap hemofilia perlu mendapatkan rawatan dalam kadar yang segera jika berlakunya pendarahan. Jika tidak, mereka boleh mengalami kecacatan kekal ataupun kematian jika dibiar tanpa rawatan.

Adakah semua pesakit hemofilia berdarah dengan cara yang sama?

penyakit hemofilia

Ibu bapa yang mempunyai anak hemofilia pasti akan rasa risau terhadap kesihatan dan keselamatan anak mereka.

Anda mungkin rasa berat hati untuk membenarkan mereka bermain ataupun turut sama bertanding dalam acara olahraga disebabkan penyakit ini.

Selain itu, anak anda juga tidak boleh mempunyai masalah pergigigan kerana mencabut gigi mungkin akan menjadi masalah untuk mereka.

Ada tiga jenis hemofilia berbeza yang mungkin berlaku kepada anak anda iaitu ringan, sederhana dan teruk.

Untuk pengetahuan anda, perbezaan ini mungkin menyebabkan kanak-kanak hemofilia mempunyai pendarahan yang berbeza-beza.

Kanak-kanak yang mempunyai hemofilia ringan selalunya hanya akan alami masalah pendarahan selepas mereka mengalami kecederaan teruk, trauma ataupun pembedahan.

Selalunya, individu mempunyai hemofilia ringan tidak menyedari tentang keadaan mereka hinggalah mereka terpaksa melakukan pembedahan ataupun mencabut gigi.

Kanak-kanak yang menghidap hemofilia sederhana pula selalunya mendapat pendarahan selepas mengalami apa-apa kecederaan.

Mereka juga boleh mengalami pendarahan yang tidak diketahui puncanya. Keadaan ini dikenali sebagai episod perdarahan spontan.

Mereka yang menghidap hemofilia yang teruk pula sudah pasti akan mengalami pendarahan teruk setelah mendapat apa-apa kecederaan. 

Namun, mereka mengalami pendarahan spontan yang lebih teruk dan kerap berbanding pesakit yang menghidap hemofilia sederhana.  

Berapa kerap anak saya perlu dirawat?

penyakit hemofilia

Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak hemofilia, anda pasti tertanya-tanya berapa kerap mereka perlu dirawat.

Pada awalnya, anak anda mungkin perlu dirawat hanya jika mereka terlibat dengan apa-apa kecederaan yang menyebabkan mereka mengalami pendarahan.

Walau bagaimanapun, setelah anak anda membesar dan jadi semakin tua, kebarangkalian untuk mereka tercedera akan jadi semakin besar.

Oleh itu, doktor menyarankan agak rawatan dilakukan secara berkala untuk elakkan episod pendarahan daripada berlaku.

Kadangkala, ada pesakit hemofilia (dalam 20% hingga 30%) yang mempunyai perencat ataupun inhibitor kepada faktor pembekuan darah.

Rawatan yang diberikan mungkin tidak akan berkesan jika anak anda mempunyai inhibitor. Pesakit yang mempunyai inhibitor atau perencat ini perlu melakukan pelan rawatan lain untuk merawat pendarahan yang dialami.

Perencat ini merupakan sejenis protein yang bertindak memusnahkan faktor pembekuan darah sebelum ia sempat membekukan darah.

Punca badan seseorang itu menghasilkan perencat adalah tidak diketahui. Namun, perkara ini mungkin menjadi masalah dalam masa 5 tahun pertama pesakit menerima rawatan.

Selepas 90 ke 100 rawatan, pesakit selalunya tidak lagi mempunyai masalah untuk menerima rawatan.

Bolehkah penghidap penyakit hemofilia bersenam dan bersukan?

penyakit hemofilia

Tidak ada masalah jika anak anda ingin bersenam dan bersukan. Malah, doktor amat menggalakkan pesakit hemofilia untuk kekal sihat dan bertenaga.

Melalui senaman, pesakit hemofilia boleh membina otot yang lebih kuat untuk melindungi sendi. Apabila otot mereka menjadi lebih kuat, mereka lebih terlindung daripada mengalami pendarahan spontan.

Jika anda risau akan keselamatan anak anda, cuba lakukan aktiviti seperti berenang, menunggang basikal, menari, menangkap ikan dan bermain boling.

Walau bagaimanapun, pesakit perlulah mengelakkan sukan yang melibatkan sentuhan seperti bola sepak, hoki, dan tinju.

Sebagai ibu bapa, anda dan anak anda mungkin perlu bereksperimen untuk mencari senaman apa yang paling sesuai untuk keluarga anda.

Anak anda mungkin ingin melakukan sesuatu yang popular dalam kalangan rakan-rakannya. Namun, anda perlu terangkan kepada mereka jika aktiviti tersebut merupakan sesuatu yang berbahaya yang boleh membawa maut.

Selain itu, pastikan anak anda tahu untuk menjaga diri jika berlakunya sebarang kecemasan.

Mereka perlu tahu:

  1. Cara untuk mengenal pasti tanda pendarahan.
  2. Bagaimana untuk merawat pendarahan daripada luka kecil.
  3. Bila perlu berjumpa dengan doktor.
  4. Bila perlu ke bahagian kecemasan.

Kesimpulan

Hemofilia merupakan sejenis penyakit darah yang boleh membawa maut. Walau bagaimanapun, dengan cara penjagaan yang betul, pesakit hemofilia boleh hidup sama seperti insan lain.

Ibu bapa kepada anak-anak hemofilia tidak perlu terlalu paranoid jika anak gemar bermain bersama teman-teman mereka. Sebaliknya, terangkan kepada mereka tentang keadaan kesihatan mereka.

Pastikan mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan tatkala kecemasan.

Penting untuk ibu bapa kekal positif walaupun anak menghidap hemofilia. Mereka perlukan semangat daripada anda untuk terus melawan penyakit ini seumur hidup mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Artikel lain untuk anda

penyakit hemofilia

Jika Nak Anak Sihat, Ini Antara Syarat Sebelum Berkahwin, Pastikan Tiada Penyakit Darah Ini!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Nana Muhammad
Diterbitkan pada 14/09/2020 . 3 minit bacaan
penyakit hemofilia

Darah Cair, Tak Boleh Membeku, BAHAYA! Ini Tip Jika Anda Atau Orang Tersayang Alaminya

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
Ditulis oleh Fatin Zahra
Diterbitkan pada 03/08/2020 . 3 minit bacaan