Apa itu Warfarin?
Warfarin merupakan ubat antikoagulan yang digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah berbahaya daripada terbentuk atau bertambah teruk. Pembekuan darah diperlukan untuk mencegah atau menghentikan pendarahan, tetapi pembekuan darah berbahaya boleh menyebabkan serangan jantung, strok, trombosis vena atau embolisme paru-paru. Warfarin bertindak mengganggu pembentukan gumpalan darah. Ramai orang merujuk kepada antikoagulan sebagai “pencair darah”; tetapi Warfarin sebenarnya bukanlah mencairkan darah, sebaliknya menyebabkan darah mengambil masa lebih lama untuk membentuk gumpalan.
Siapa yang Perlu Mengambil Warfarin
Warfarin digunakan oleh pesakit yang mempunyai masalah atau risiko berlakunya pembekuan darah tidak normal, seperti:
- Atrial Fibrillation : Degupan jantung tidak teratur
- Prosthetic Heart-Valve : Gantian injap jantung
- Deep Vein Thrombosis : Darah beku di kaki
- Pulmonary Embolism : Darah beku di paru-paru
Matlamat terapi warfarin adalah untuk mengurangkan kecenderungan pembekuan darah, bukan untuk mengelakkan pembekuan sepenuhnya. Oleh itu, kesan warfarin perlu dipantau dengan teliti menggunakan ujian darah yang menunjukkan bacaan INR.
Adakah Puasa Ramadan menjejaskan Kesan Warfarin
Bacaan INR menerangkan kadar berlakunya pembekuan darah dalam badan. Dos Warfarin bergantung kepada sasaran INR yang dikehendaki supaya berada dalam julat yang disyorkan. Kebiasaannya julat INR yang dikehendaki adalah antara 2.0 hingga 3.0. Ujian darah perlu dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh rawatan bagi memantau bacaan INR. Sekiranya INR terlalu rendah, darah beku tidak akan dicegah, tetapi jika INR terlalu tinggi, terdapat peningkatan risiko pendarahan.
Dalam satu kajian terhadap pesakit berpuasa yang mengambil Warfarin, berpuasa didapati boleh meningkatkan julat INR dalam pesakit yang mengambil warfarin dalam keadaan stabil. Oleh itu bagi pesakit yang memang ditetapkan untuk mempunyai INR yang tinggi, langkah pengawasan dan penyesuaian dos mungkin diperlukan semasa berpuasa.
Langkah Keselamatan sewaktu Puasa
Memandangkan puasa boleh meningkatkan INR atau dalam erti kata lain boleh meningkatkan risiko anda mengalami pendarahan, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang berpuasa. Antara langkah yang patut anda lakukan:
- Mengambil warfarin seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Jangan gandakan dos hari ini jika terlupa mengambilnya semalam.
- Melakukan ujian darah seperti yang diarahkan.
- Memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi mengenai ubat-ubatan, ubat tradisional, herba-herba dan makanan tambahan (suplemen) yang diambil.
- Memastikan pemakanan seimbang sepanjang berpuasa. Bincang dengan doktor atau pakar pemakanan tentang saranan yang patut anda amalkan.
- Berjumpa doktor jika sakit atau mengalami luka atau pendarahan yang lebih teruk daripada biasa.
- Memberitahu doktor/doktor gigi/ahli farmasi bahawa anda sedang dalam rawatan dengan ubat Warfarin.
[embed-health-tool-bmi]