“Jagalah tubuh badan tu, nak guna lama kan?”. Peringatan yang mungkin agak mudah ini sebenarnya sangat penting untuk diingati kita semua. Ini kerana tubuh badan yang telah dikurniakan adalah satu amanah yang wajar dijaga dengan baik agar senantiasa sihat untuk menjalani kehidupan seharian. Sebenarnya, penjagaan tubuh badan bukanlah sesukar mana kerana petua sihat yang paling utama adalah dengan jaga makanan dan buat senaman!
Namun, masih ramai yang tidak amal petua sihat ini…
Meskipun petua sihat ini kelihatan dan kedengaran mudah sahaja, namun masih ramai yang tidak amalkan pengambilan makanan dan senaman yang sihat.
Ini tentu sekali telah didalangi oleh faktor di mana pilihan individu itu sendiri memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
Tabiat seperti menghisap rokok, meminum alkohol serta banyak menghabiskan masa di hadapan skrin gajet dilihat sebagai normal masa kini.
Sedangkan mereka mungkin sedar akan akibatnya, namun ia masih diamalkan dan ini merupakan sesuatu yang perlu diubah dengan kadar segera.
Bagaimana? Caranya adalah untuk anda semua cuba tinggalkan segala tabiat buruk yang dimiliki dan cuba amalkan 2 petua sihat yakni jaga makanan dan buat senaman!
Petua sihat pertama: Makanan!
Maksud makanan sihat adalah pengambilan atau pengamalan diet seimbang dari segenap nutrisi diperlukan oleh tubuh badan.
Jangan hanya sekadar ambil banyak protein untuk otot yang sasa, sebaliknya fokuskan juga kepada kumpulan makanan yang lain.
Justeru sila ubah diet anda dengan kadar segera dengan berpandukan kepada formula ‘suku-suku-separuh‘ yang menjadi saranan pakar diet.
Selain kesihatan tubuh badan anda yang pasti akan meningkat, berikut adalah manfaat kesihatan jika anda jaga makanan serta minuman:
#1. Anda akan lebih bertenaga
Makanan yang sihat akan membekalkan tenaga untuk sepanjang hari yang sangat penting untuk meningkatkan produktiviti anda.
#2. Anda akan gemar bereksperimen
Sekali anda sudah cuba makan secara sihat, maka keterbiasaan itu akan menjadikan anda lebih gemar bereksperimen dengan menu sihat yang lain.
#3. Anda tidak lagi bergantung kepada fast food
Makanan ringan atau segera memang sedap namun tidak sihat dan ia mampu dilupakan hanya dengan amalan diet yang lebih seimbang.
#4. Anda berubah tanggapan tentang makanan
Jika sebelum ini ‘anda hanya akan makan jika makanan itu sedap’, tetapi ia mungkin berubah kepada ‘anda hanya akan makan jika makanan itu sihat’.
#5. Orang di sekeliling juga akan terima manfaat
Meskipun hanya anda seorang yang makan secara sihat, ia akan membuatkan orang di sekeliling menjadikan anda sebagai seorang role model.
Petua sihat kedua: Senaman!
Maksud senaman sihat adalah kesanggupan dan kekerapan anda melakukan senaman bagi tujuan menyihatkan tubuh badan.
Tanpa mengira ia adalah sukan lasak, yoga, aerobik, zumba, poco-poco atau sebagainya, anda perlu bersenam sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Ya, mungkin agak sukar untuk mengamalkannya terutama jika anda sudah terbiasa dengan gaya hidup sedentari. Walau bagaimanapun, perkara ini wajar diubah segera.
Dengan senaman yang sihat, berikut adalah manfaat kesihatan yang boleh diperolehi:
#1. Anda lebih menghargai tubuh badan
Dengan bersenam, anda akan sedar kekuatan dan ketahanan tubuh badan bakal meningkat sekali gus menjadikan senaman itu lebih bermakna.
#2. Kesihatan diri akan meningkat
Tidak perlu dihuraikan lagi, aktiviti senaman yang sihat sudah tentu akan membuat kesihatan tubuh badan secara umumnya akan meningkat.
#3. Keyakinan diri akan bertambah
Lebih sihat, kuat dan cantik tubuh badan anda, maka keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat juga akan menjadi lebih tinggi.
#4. Kehidupan seks lebih hebat
Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa mereka yang kerap bersenam akan lebih hebat di ranjang bersama pasangan berbanding mereka yang tidak.
#5. Anda akan menjadi inspirasi
Ahli keluarga, sahabat atau orang di sekeliling mungkin akan menjadikan anda sebagai inspirasi untuk mencuba gaya hidup yang lebih sihat.
Petua sihat ini mudah asalkan kalian berani berubah!
Akhir kata, sebenarnya adalah tidak sukar untuk menjayakan dua petua sihat ini asalkan kalian berani berubah!
Mulai hari ini, sila buang segala tabiat buruk anda dan mula jaga makanan dan buat senaman secara sihat ya?
[embed-health-tool-bmi]