Apabila tahun baru 2021 menjelma, diri sendiri mula memikirkan azam baharu untuk hidup dengan lebih sihat.
Walaupun kajian menunjukkan mereka yang mempunyai azam tahun baru cenderung untuk membuat perubahan, namun azam berkaitan topik kesihatan tersangatlah terhad.
Perkara ini menyebabkan setiap individu terpanggil untuk membuat azam yang sama setiap tahun.
Bagi membuat perubahan, kami ingin senaraikan 9 azam yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan anda sepanjang tahun 2021.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
#1 Kurangkan duduk dan jalani kehidupan aktif
Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang tidak aktif mudah untuk mendapat masalah kesihatan di samping meningkatkan risiko kematian terhadap sesuatu penyakit.
Perkara ini telah terbukti melalui kajian oleh pengkaji dari Universiti di Australia yang diterbitkan pada tahun 2016.
Azam untuk mengurangkan aktiviti duduk boleh mengubah corak kehidupan anda. Cuba untuk berjalan selama 5 minit pada setiap 1 jam.
#2 Kurangkan minuman bergula, azam tahun baru yang tampak mudah tapi sukar
Gula sering dikaitkan dengan pelbagai jenis masalah kesihatan seperti obesiti, hati berlemak, penyakit jantung, kerintangan insulin dan gigi berlubang pada kanak-kanak dan orang dewasa.
Perkara ini telah dibuktikan melalui pelbagai kajian saintifik.
Walaupun adalah lebih baik jika anda boleh berhenti secara serta-merta, namun untuk peringkat awal, anda boleh kurangkan kekerapan pengambilan minuman bergula.
#3 Dapatkan tidur yang lebih berkualiti untuk kesihatan fizikal dan mental
Semua orang tahu bahawa tidur adalah elemen penting dalam kelanjutan usia. Mereka yang mempunyai corak tidur yang porak-peranda berisiko mengalami pelbagai jenis masalah kesihatan.
Sebagai contoh, kajian menunjukkan mereka yang tidak mendapatkan jumlah jam tidur seperti yang disarankan berisiko untuk mengalami kenaikan berat badan, masalah jantung dan kemurungan.
Pastikan anda tidak menggunakan peranti elektronik sejam sebelum tidur bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.
#4 Kenal pasti aktiviti fizikal yang anda minati
Setiap awal tahun baru, jumlah pembelian bagi produk seperti keahlian gim, studio bersenam dan program turunkan berat badan di atas talian meningkat.
Ia menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai hasrat untuk hidup lebih sihat daripada tahun sebelumnya.
Namun, seperti kebanyakan azam yang lain, hasrat untuk hidup sihat boleh jadi tidak kesampaian memandangkan kebanyakan individu tidak meminati aktiviti yang didaftarkan.
Mereka cuma terikut-ikut dengan trend semasa bagi memenuhi azam tahun baru mereka.
Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, anda seharusnya memilih aktiviti fizikal yang anda minati.
Tidak semestinya anda perlu pergi ke gim untuk kurus.
#5 Menjelang tahun baru 2021, luangkan masa yang lebih untuk penjagaan diri
Ia bukan satu tindakan yang mementingkan diri sendiri. Malah tahap kesihatan anda meningkat jika anda mengamalkan teknik penjagaan diri yang betul.
Jika anda seorang yang sangat sibuk, anda perlu merancang jadual anda sebaiknya.
Pastikan anda mempunyai slot masa yang dikhususkan untuk penjagaan diri seperti masa untuk memasak makanan, bersiar-siar, tidur atau bermeditasi.
#6 Elakkan makanan ringan dan belajar memasak di rumah
Makanan ringan mengandungi gula dan lemak trans yang sangat tinggi.
Perkara ini boleh menyebabkan masalah obesiti dan penyakit kronik yang lain. Oleh sebab itulah setiap individu perlu belajar memasak sendiri.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Newcastle pada tahun 2017 menunjukkan individu yang makan masakan di rumah 5 kali seminggu boleh menikmati penurunan risiko sebanyak 28% untuk mendapat masalah berat badan berlebihan.
Cuba masak sehari sekali dan jika anda sudah biasa, tingkatkan kekerapan sehingga anda tidak lagi bergantung kepada makanan segera.
#7 Bermula tahun hadapan, luangkan lebih banyak masa di luar
Kajian oleh USDA yang diterbitkan pada tahun 2018 menunjukkan mereka yang meluangkan masa di luar mempunyai tahap stres yang rendah, mood yang baik dan tekanan darah yang rendah.
Anda boleh melakukan aktiviti ringan seperti berjalan-jalan, berkebun, pergi berkhemah dan pelbagai aktiviti lain yang melibatkan alam sekitar.
#8 Hadkan masa dengan peranti elektronik
Ramai individu yang mempunyai tahap kebergantungan tinggi terhadap peranti elektronik.
Walau bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan tabiat tersebut, terutamanya jika anda sering menggunakan media sosial, boleh menyebabkan masalah kemurungan, keresahan dan kesunyian.
Bersempena dengan tahun baru, mungkin sudah tiba masanya anda memutuskan hubungan dengan peranti elektronik demi kesihatan fizikal dan mental.
#9 Rancang semula pelan diet anda
Bukan semua pelan diet baik untuk anda dalam jangka masa panjang.
Kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang mengamalkan pelan diet dengan pelbagai jenis pantang berisiko untuk gemuk semula dalam masa 1 tahun.
Apa yang lebih teruk lagi, diet juga berupaya untuk menyukarkan proses penurunan berat badan kelak.
Tahun baru 2021, azam baru. Mungkin sudah tiba masanya anda fikir dan rancang semula pelan diet anda.
Pastikan ia realistik dan seimbang.
Konklusi
Memang sukar untuk kita penuhi azam baru memandangkan ia memerlukan perubahan pada rutin harian.
Dengan teknik perancangan yang betul, anda boleh menunaikan azam yang diimpikan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup.
[embed-health-tool-bmi]