
Anda pernah dengar tentang sakit strok? Penyakit stroke adalah salur darah dalam otak tersumbat dan menyebabkan oksigen tidak sampai ke sel otak.
Namun, ia tidak berlaku terus dalam masa satu hari!
Hal ini kerana, ia memakan masa bertahun-tahun sebelum saluran darah boleh tersumbat dan menyebabkan sakit strok sebelah kiri mahupun sakit stroke sebelah kanan.
Mari kita dengarkan berita baik dalam usaha berkaitan dengan sakit strok atau angin ahmar ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Otak dan Saraf, anda boleh klik di sini.
Kejayaan dicapai dalam memperkukuh penjagaan pesakit strok
Pada 30 Oktober 2025 baru-baru ini, Taiping telah diiktiraf secara rasmi sebagai ‘Angels Region’ pertama di Malaysia, menandakan satu kejayaan penting dalam usaha berterusan negara memperkukuh penjagaan pesakit strok serta meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Anugerah Angels Region, yang disampaikan oleh Angels Initiative dengan kerjasama Organisasi Strok Sedunia (WSO), mengiktiraf kerjasama cemerlang antara hospital, perkhidmatan kecemasan, pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan di rantau ini yang bersatu dengan satu matlamat utama: menyampaikan rawatan yang lebih baik kepada pesakit strok.
Pensijilan Angels Region itu telah dianugerahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak sebagai pengiktirafan terhadap penyelarasan luar biasa dan sinergi berkesan antara Hospital Taiping, Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Pejabat Pendidikan Daerah LMS dan Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Taiping.
Dalam majlis yang sama, Hospital Taiping, sebuah hospital pakar dalam kluster hospital Utara Perak, turut menerima dua pengiktirafan berprestij – Anugerah Angels oleh Organisasi Strok Sedunia (WSO) bagi Suku Kedua 2025 dengan Status Platinum, serta Anugerah Angels bagi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) bagi Suku Kedua dengan Status Diamond. Anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf komitmen Hospital Taiping dalam menyediakan rawatan sakit strok yang berkualiti tinggi, tepat pada masanya.

“Sakit strok masih menjadi salah satu punca utama kematian dan kecacatan di Malaysia. Dianggarkan seramai 41,000 pesakit strok dimasukkan ke hospital kerajaan saban tahun dan ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem penjagaan pesakit strok yang lebih baik, dan bersepadu di seluruh negara. Di sebalik setiap angka itu ada seorang individu, sebuah keluarga dan komuniti yang terkesan akibat sakit strok.”
“Angels Initiative diwujudkan bagi memperkasa hospital untuk bertindak pantas dan berkesan, kerana setiap minit sangat berharga dan rawatan yang tepat pada masanya serta berkualiti tinggi boleh menjadi penentu antara pemulihan dan kecacatan seumur hidup,” kata Dr. Jamal Malik, Ketua Jabatan Perubatan, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia.
“Pengiktirafan yang diterima oleh Taiping ini membuktikan apa yang boleh dicapai apabila hospital, profesional kesihatan dan rakan strategik berganding bahu dengan matlamat yang sama, untuk memberikan setiap pesakit strok peluang terbaik untuk terus hidup dan pulih. Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak di Taiping atas komitmen dan kerjasama yang membawa kepada kejayaan ini.”

“Di Boehringer Ingelheim, kami komited untuk bekerjasama rapat dengan hospital, pasukan strok, serta Kementerian Kesihatan bagi memperluas pelaksanaan Angels Initiative ke lebih banyak hospital dan wilayah di seluruh Malaysia, seterusnya membentuk rangkaian pusat rawatan strok tersedia di seluruh negara,” tambah beliau.
Kempen FAST Heroes membantu memberikan kesedaran dan rawatan pesakit strok
Taiping juga telah berjaya melepasi sasaran berasaskan populasi bagi kempen FAST Heroes, salah satu kriteria utama bagi penganugerahan Angels Region, dengan kejayaan menyampaikan pendidikan kesedaran strok yang menyelamatkan nyawa kepada 777 orang kanak-kanak.
Diiktiraf oleh Organisasi Strok Sedunia (WSO), FAST Heroes adalah program berasaskan sekolah yang memenangi pelbagai anugerah, direka untuk memperkasa kanak-kanak agar mereka dapat berkongsi ilmu dengan ibu bapa serta datuk nenek, bagi membantu meningkatkan kesedaran awam tentang tanda-tanda amaran strok dan kepentingan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Bagi mengiktiraf penyertaan mereka, sebanyak 14 organisasi dan institusi pendidikan di Taiping telah menerima sijil kempen FAST Heroes, termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Pejabat Pendidikan Daerah LMS, Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Taiping, serta sebuah sekolah kebangsaan, tiga tadika swasta dan tujuh sekolah KEMAS.
“Kami amat berbangga kerana negeri kami telah diiktiraf sebagai ‘Angels Region‘ pertama di Malaysia. Pengiktirafan ini mencerminkan kemajuan yang telah dicapai dalam memperkukuh sistem penjagaan pesakit strok, selaras dengan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meningkatkan hasil rawatan bagi penyakit tidak berjangkit.
Melalui inisiatif seperti Angels Initiative, kami sedang membangunkan sistem penjagaan strok yang lebih responsif dan bersepadu. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara hospital, profesional kesihatan dan rakan strategik yang berkongsi matlamat yang sama: untuk memberikan peluang terbaik untuk pulih kepada setiap pesakit strok di Malaysia, di mana pun mereka berada,” kata Dr. Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Dilancarkan pada 2024, Strategi 100 Angels Region ialah usaha global untuk menjadikan penjagaan pesakit strok lebih selamat melalui transformasi 100 wilayah menjadi ekosistem penjagaan sakit strok yang lengkap dan bersepadu menjelang Disember 2027.
[embed-health-tool-bmi]
















