Pemeriksaan kesihatan penting untuk dilakukan terutamanya bagi kaum Hawa untuk kenal pasti sebarang kelainan. Antara ujian yang sering disarankan adalah ultrabunyi pelvis.
Namun, sebelum kita kupas perkara ini dengan lebih lanjut, fahami terlebih dahulu apa itu ultrabunyi pelvis serta kaedah yang bakal digunakan. Jom baca!
Apa itu ujian ultrabunyi pelvis?
Ultrabunyi pelvis adalah ujian diagnostik noninvasive yang menghasilkan imej yang digunakan untuk menilai organ dan struktur dalam pelvis wanita.
Ujian ini membolehkan visual organ serta struktur pelvis wanita termasuk rahim, serviks, faraj, tiub fallopio dan ovari dapat dilihat dengan cepat.
Ia turut menggunakan transducer yang menghantar gelombang ultrabunyi pada frekuensi yang terlalu tinggi untuk didengari.
Transducer ultrasound diletakkan di kulit, dan gelombang ultrabunyi akan bergerak melalui badan ke organ dan struktur di dalamnya.
Kemudian, gelombang bunyi akan dipantulkan dari organ seperti gema dan kembali ke transducer.
Transducer bakal memproses gelombang yang dipantulkan, yang kemudiannya diubah oleh komputer menjadi gambaran organ atau tisu yang diperiksa.
Selain itu, gelombang bunyi bergerak pada kelajuan yang berbeza bergantung pada jenis tisu yang dituju, paling cepat melalui tisu tulang dan paling lambat melalui udara.
Kelajuan dan berapa banyak gelombang bunyi yang dikembalikan ke transducer akan diterjemahkan oleh transducer sebagai pelbagai jenis tisu berbeza.
Gel ultrabunyi diletakkan pada transducer dan kulit untuk membolehkan pergerakan yang lancar dan menyingkirkan ruangan udara antara kulit dan transducer untuk pengaliran bunyi terbaik.
Ultrabunyi pelvis boleh dilakukan menggunakan satu atau kedua-dua jenis kaedah berikut:
- Transabdominal (melalui perut): Transducer diletakkan di perut menggunakan gel konduktif
- Transvaginal (melalui faraj): Transducer nipis yang panjang disaluti dengan gel pengalir dan sarung plastik/lateks, dimasukkan ke dalam faraj
Jenis prosedur ultrabunyi yang dilakukan bergantung pada sebab tertentu.
Hanya 1 atau kedua-dua kaedah digunakan untuk memberikan maklumat yang diperlukan bagi diagnosis dan rawatan.
Ultrabunyi transvaginal
Ultrabunyi transvaginal, juga disebut ultrasound endovaginal, adalah jenis ultrabunyi pelvis yang digunakan oleh doktor untuk memeriksa organ pembiakan wanita. Ia merangkumi rahim, tiub fallopio, ovari, serviks, dan faraj.
Transvaginal bermaksud through the vagina atau ‘melalui faraj,’ dan ia adalah pemeriksaan dalaman.
Tidak seperti ultrabunyi perut atau pelvis yang biasa, di mana transducer digunakan di bahagian luar pelvis, prosedur ini melibatkan doktor atau pakar memasukkan ultrasound probe kira-kira 2 atau 3 inci ke saluran faraj anda.
Ultrabunyi transvaginal biasanya digunakan untuk menilai:
- Fibroid rahim
- Endometrial polyps
- Pendarahan faraj yang tidak normal
- Parut rahim
- Masalah kesuburan
- Sista ovari atau tumor
- Kondisi faraj, serviks, pundi kencing, atau tiub fallopio
- Jangkitan pelvis
- Pemakaian IUD
- Kehamilan ektopik atau keguguran
- Placental placement
Ujian transabdominal
Ini adalah prosedur yang digunakan untuk memeriksa organ di sekitar perut dengan cara kulit perut ditekan dengan kuat oleh transducer.
Di samping itu, gelombang bunyi bertenaga tinggi dari transducer akan dipantul dari tisu dan menghasilkan gema.
Gema kemudian dihantar ke komputer, yang menghasilkan gambaran disebut sebagai sonogram, juga dikenali sebagai ultrasound abdominal atau perut.
Bagaimana doktor memilih ujian yang bakal dilakukan?
Bagi doktor, jenis ujian ultrabunyi yang disyorkan bergantung sepenuhnya pada maklumat yang dicari.
Pemeriksaan transabdominal memberikan gambaran luas mengenai organ pelvis, manakala ujian transvaginal mampu memberikan perincian yang lebih tepat di kawasan yang lebih kecil.
Dalam sesetengah kes, ultrabunyi transabdominal mungkin dilakukan pada mulanya dan kemudian diikuti oleh transvaginal jika gambaran lebih terperinci diperlukan.
Sekiranya anda tidak pernah menjalani ujian dalaman sebelum ini, atau jika pemikiran untuk menjalani ujian transvaginal menyebabkan anda tertekan, berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui jika ada kaedah lain yang boleh digunakan.
Apa yang harus anda tahu sebelum melakukannya?
Sama seakan pemeriksaan pelvis tahunan, ultrabunyi transvaginal biasanya dilakukan dengan pesakit yang berbaring telentang di atas meja dengan posisi kakinya dikangkang.
Bergantung pada maklumat yang diperlukan, anda mungkin diarahkan untuk minum air sebelum pemeriksaan dilakukan untuk mengisi penuh atau sebahagian pundi kencing.
Mana-mana jenis ujian boleh menjadi tidak menyelesakan dengan pundi kencing yang penuh.
Jika ia diperlukan, juruteknologi harus memaklumkan anda secepat mungkin masa berehat untuk menggunakan tandas tanpa menjejaskan keputusan ujian.
Tambahan itu, keseluruhan pemeriksaan tersebut biasanya mengambil masa sekitar 15 ke 30 minit.
Dalam beberapa kes pula, ujian ultrabunyi pelvis mungkin merangkumi sonohysterogram.
Larutan saline steril akan dimasukkan ke dalam rahim melalui kateter semasa pemeriksaan, dan imej bakal diambil sebelum dan selepas larutan saline dimasukkan.
Dengan itu, larutan tersebut menjadikan proses visualisasi ciri-ciri endometrium (lapisan rahim) lebih mudah.
[embed-health-tool-ovulation]