backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Awas, Keradangan Pada Tiub Falopio PERLU Dirawat Atau Boleh Jejaskan Kesuburan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/07/2022

    Awas, Keradangan Pada Tiub Falopio PERLU Dirawat Atau Boleh Jejaskan Kesuburan!

    Salpingitis adalah keradangan yang berlaku pada struktur anatomi yang dikenali sebagai tiub falopio – tiub yang menyambungkan kepada organ reproduktif wanita.

    Keadaan kesihatan ini merupakan sejenis penyakit radang pelvis (PID) yang merujuk kepada jangkitan bagi organ pembiakan wanita

    Salpingitis boleh berlaku apabila laluan tiub falopio yang terkesan dijangkiti oleh bakteria.

    Proses keradangan yang terjadi pada satu tiub boleh tersebar dengan mudah kepada tiub yang lain.

    Jika keadaan ini tidak dirawat sebaiknya, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka masa panjang sehingga menjejaskan kesuburan.

    Artikel ini akan membincangkan perihal salpingitis dan rawatan bagi mengelakkan komplikasi daripada berlaku.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Kenali simptom jangkitan tiub falopio

    Bukan semua individu yang mengalami masalah penyakit radang pelvis akan mengalami simptom.

    Keadaan kesihatan ini mempunyai tahap keterukan yang berbeza. Ia boleh jadi akut (simptom teruk namun jangka masa pendek) atau kronik (sedikit atau tiada simptom, namun jangka masa panjang).

    Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan simptom seperti:

    1. Keluar bau daripada organ reproduktif wanita – faraj.
    2. Keluar cecair faraj yang berwarna kuning.
    3. Sakit semasa mengalami proses ovulasi, haid atau ketika melakukan seks.
    4. Alami tompokan darah di antara dua fasa pendarahan haid.
    5. Rasa sakit pada bahagian belakang badan.
    6. Sakit abdomen.
    7. Loya.
    8. Muntah.
    9. Demam.
    10. Kerap kencing.

    organ reproduktif wanita

    Apa yang lebih menakutkan berkenaan dengan masalah kesihatan ini adalah simptom yang dialami pesakit boleh hilang tanpa rawatan perubatan.

    Keadaan ini boleh memberikan tanggapan yang salah terhadap pesakit dan individu di sekeliling mereka.

    Jika jangkitan tersebut tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih serius.

    Apa yang menyebabkan berlakunya jangkitan organ reproduktif wanita dan bagaimana ia didiagnosis?

    Lazimnya, salpingitis berlaku akibat jangkitan bakteria melalui hubungan seksual.

    Terdapat juga punca lain yang lebih jarang seperti radang apendiks dan penggunaan alat cegah hamil dalam rahim (IUD). Namun secara umumnya, anda lebih berisiko jika:

    1. Pernah mendapat jangkitan kelamin.
    2. Membuat hubungan seks tanpa menggunakan perlindungan.
    3. Mempunyai ramai pasangan seksual.
    4. Mempunyai pasangan yang mengadakan hubungan seksual dengan ramai pasangan lain.

    organ reproduktif wanita

    Langkah mendiagnosis jangkitan ini hampir sama dengan masalah jangkitan lain.

    Ia dilakukan secara sistematik bermula daripada pengambilan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal oleh doktor dan akhir sekali, ujian makmal bagi mengesahkan diagnosis.

    Antara maklumat makmal yang perlu diambil kira dalam mengenal pasti jangkitan tiub falopio adalah seperti berikut:

    • Ujian darah dan air kencing. Ia bertujuan bagi melihat jika terdapat tanda-tanda jangkitan
    • Ujian swab faraj dan serviks. Perkara ini membolehkan doktor untuk mengenal pasti bakteria apa yang menjangkiti pesakit
    • Pemeriksaan ultrabunyi abdomen atau faraj. Ia bagi melihat keadaan di dalam tiub falopio dan kawasan lain sepanjang saluran reproduktif manusia
    • Hysterosalpingogram. Ini merupakan x-ray khas yang melibatkan penggunaan pewarna iodin. Teknik ini boleh membantu doktor untuk mengenal pasti sekiranya terdapat halangan di dalam tiub falopio anda

    Jenis ujian yang akan disarankan oleh doktor bergantung kepada situasi klinikal semasa anda datang membuat pemeriksaan.

    Ada masanya doktor akan menyarankan pemeriksaan laparoskopi (prosedur pembedahan minor) bagi melihat secara langsung keadaan tiub falopio dan organ reproduktif yang lain.

    Baca juga:

    Rawatan dan komplikasi merawat masalah pada organ reproduktif wanita

    Rawatan utama bagi mana-mana jangkitan bakteria adalah antibiotik.

    Cuma apa yang membezakan rawatan bagi jangkitan yang berlainan adalah jenis antibiotik yang digunakan.

    Oleh sebab itulah penting bagi setiap doktor untuk mengetahui jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan sebelum mempreskripsikan rawatan antibiotik.

    organ reproduktif wanita

    Pasangan seksual anda juga perlu menjalani pemeriksaan untuk memastikan mereka tidak mendapat jangkitan yang sama.

    Sekiranya positif, rawatan antibiotik perlu dipreskripsikan kepada mereka.

    Apa yang lebih rumit adalah jika bakteria tersebut menyebabkan komplikasi seperti:

    1. Jangkitan tersebar ke rahim dan ovari – organ reproduktif wanita penting
    2. Sakit abdomen dan pelvik jangka masa lama.
    3. Parut tubal, lekatan dan halangan pada laluan reproduktif hingga menyebabkan masalah kesuburan.
    4. Sekumpulan nanah di dalam tiub falopio.
    5. Kehamilan luar rahim.

    Bergantung kepada jenis komplikasi yang tercetus, doktor mungkin akan mempreskripsikan kaedah rawatan selain daripada antibiotik.

    Sebagai contoh, jika jangkitan tersebut menyebabkan nanah terkumpul di dalam tiub falopio, prosedur laparoskopik boleh dilakukan untuk menyedut keluar nanah tersebut.

    Konklusi

    Walaupun penyakit radang pelvis nampak seperti tidak berbahaya, jangkitan tiub falopio boleh menyebabkan komplikasi sehingga mempengaruhi kualiti hidup pesakit.

    Jika anda didiagnosis dengan masalah ini, adalah lebih baik untuk anda menggalakkan pasangan bagi menjalani ujian jangkitan seksual.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan organ reproduktif wanita, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah untuk maklumat lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan