Jadi, bolehkah cara merawat PCOS melalui metformin sahaja membantu anda hamil? Malangnya, ia mungkin tidak…
Walaupun kajian terdahulu mendapati metformin meningkatkan kemungkinan wanita untuk berovulasi, namun kajian yang lebih lanjut tidak menemui peningkatan kehamilan atau kadar kelahiran.
Dengan kata lain, peningkatan ovulasi tidak meningkatkan tahap kesuburan.
#2 Clomid
Clomid merupakan antara ubat kesuburan dan cara merawat PCOS yang paling banyak digunakan secara keseluruhan.
Ia juga dijadikan sebagai cara merawat PCOS yang paling kerap diguna pakai. Untuk makluman, ramai pesakit PCOS dapat hamil dengan bantuan Clomid.
Namun, hasil kejayaan ubat ini adalah berbeza-beza bagi setiap wanita, kerana sesetengah pesakit akan mengalami rintangan Clomid.
Ini terjadi apabila Clomid tidak mencetuskan ovulasi seperti yang diharapkan.
Pun begitu, kajian mendapati bahawa gabungan metformin dan Clomid dapat bantu mengatasi rintangan Clomid.
#3 Letrozole
Jika penggunaan ubat metformin dan Clomid masih tidak berjaya, doktor anda mungkin bakal mengesyorkan ubat Letrozole.
Untuk pengetahuan pembaca, Letrozole sebenarnya merupakan ubat yang digunakan untuk kanser.
Pun begitu, kajian mendapati bahawa ia mungkin lebih berkesan berbanding Clomid dalam merangsang ovulasi pada pesakit PCOS.
Jangan merasa takut pula jika ubat ini pada asalnya dicipta sebagai ubat barah.
Ini kerana kesan sampingannya agak ringan, dan telah dikaji secara mendalam pada wanita yang berusaha untuk hamil.
#4 Gonadotropin
Sekiranya pengambilan Clomid atau Letrozole juga masih tidak mendatangkan hasil, opsyen cara merawat PCOS yang seterusnya adalah ubat kesuburan atau gonadotropin yang boleh disuntik.
Gonadotropin dihasilkan daripada hormon FSH, LH, atau gabungan keduanya.
Doktor anda mungkin turut mencadangkan kombinasi ubat kesuburan oral dan suntikan sebagai cara merawat PCOS.
Atau, doktor mungkin mengesyorkan pengambilan gonadotropin dengan prosedur IUI (intrauterine insemination).
IUI melibatkan kemasukan air mani yang telah dicuci khas terus ke rahim melalui kateter. Air mani mungkin diperolehi daripada penderma sperma atau pasangan anda.
Salah satu risiko penggunaan gonadotropin adalah ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS), yang terjadi apabila ovari bertindak balas secara berlebihan terhadap ubat kesuburan.
Sekiranya tidak dirawat atau menjadi teruk, keadaan ini boleh mengundang bahaya. Pesakit PCOS juga mempunyai risiko terkena OHSS yang lebih tinggi.
Doktor anda mungkin bakal menggunakan dos suntikan kesuburan yang lebih rendah untuk mengelakkan risiko tersebut.
Sebaik-baiknya, doktor harus menggunakan dos terendah yang efektif.
Semasa rawatan, jika anda mempunyai gejala OHSS (seperti kenaikan berat badan yang mendadak, sakit perut, kembung, atau loya), segera maklumkan simptom dihadapi pada doktor.
Opsyen prosedur kesuburan untuk hamil

Jikalau pengambilan gonadotropin juga masih tidak berjaya, langkah seterusnya adalah IVF (persenyawaan in-vitro) atau IVM (pematangan in-vitro).
Anda pasti pernah terdengar mengenai prosedur IVF, kan?
Prosedur ini melibatkan penggunaan ubat kesuburan yang disuntik ke dalam urat untuk merangsang ovari menghasilkan sebilangan besar telur (ovum) yang matang.
Kemudian, telur diambil dari ovari semasa prosedur egg retrieval. Telur-telur matang tersebut kemudiannya dikumpulkan dan disenyawakan dalam tabung uji.
Jika semuanya berjalan lancar, sperma akan dapat senyawakan sebahagian telur, lantas membentuk embrio.
1 atau lebih embrio bakal dipindahkan ke dalam rahim melalui faraj isteri dan prosedur ini dikenali sebagai pemindahan embrio.
2 minggu kemudian, doktor akan meminta anda lakukan ujian kehamilan untuk mengetahui sama ada kitaran itu berjaya atau sebaliknya.
Salah satu risiko IVF terutamanya pada pesakit PCOS yang perlu diketahui adalah rangsangan ovari yang berlebihan. Di sinilah IVM memainkan peranan.
Berbanding memberikan anda ubat kesuburan berdos tinggi untuk memaksa ovari mematangkan telur, dengan IVM, anda sama ada tidak menerima ubat kesuburan atau diberikan dos yang sangat rendah.
Doktor akan mengambil telur yang belum matang dari ovari, dan kemudian mematangkannya di makmal.
Perlu juga anda tahu, rawatan IVM tidak ditawarkan di semua klinik kesuburan.
Demikian adalah antara pilihan ubat dan prosedur yang boleh wanita PCOS cuba dalam ikhtiar mendapatkan zuriat.
Sebelum anda membuat sebarang keputusan, pastikan untuk dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor atau pakar sakit puan terlebih dahulu ya!
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen