backup og meta

Dagu Dan Leher Wanita Berbulu Lebat? Mungkin 5 Kondisi Ini Puncanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/06/2022

    Dagu Dan Leher Wanita Berbulu Lebat? Mungkin 5 Kondisi Ini Puncanya!

    Antara misteri besar di dalam dunia perubatan yang akan sering jadi persoalan adalah kenapa ada wanita berbulu lebat berbanding perempuan lain? Adakah ia perkara normal?

    Sebenarnya, ia bukan satu perkara yang perlu jadi persoalan atau perdebatan kerana memang ada segelintir wanita dengan bulu pada tubuh badan lebih lebat daripada yang lain.

    Ia mungkin masih boleh dikategorikan sebagai normal namun jika wanita ada bulu pada dagu dan leher, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Jom teruskan baca artikel ini.

    Hirsutisme, antara punca wanita berbulu lebat!

    Memiliki bulu atau rambut yang berlebihan boleh jadi perkara yang sangat memalukan serta menakutkan bagi kaum wanita lebih-lebih lagi jika ia tertumpu di kawasan muka.

    Ini kerana bukan sahaja ia akan menjejaskan keterampilan fizikal mereka malah juga kesihatan mental gara-gara keyakinan diri perempuan yang boleh jatuh dengan mendadak.

    Untuk pengetahuan anda semua, antara punca wanita berbulu lebat yang paling utama adalah kondisi hirsutisme yang berlaku angkara ketidakseimbangan hormon androgen.

    Wanita dengan kondisi ini cenderung untuk mengalami pertumbuhan bulu yang berlebihan di tubuh badan termasuklah pada kawasan terdedah seperti di bahagian dagu dan leher.

    wanita berbulu lebat

    Namun, anda mungkin tidak perlu risau kerana ia agak mudah diselesaikan hanya dengan teknik buang bulu seperti shaving, waxing, bleaching, penggunaan ubat atau laser.

    Apa pula punca wanita berbulu lebat yang lain?

    Sekiranya bulu pada tubuh badan terutama di dagu dan leher anda itu tidak terlalu lebat, maka ia mungkin boleh untuk diselesaikan dengan hanya menggunakan pisau cukur.

    Pun begitu, lain pula halnya jika ia adalah disebabkan oleh kondisi kesihatan seperti berikut:

    #1. Sindrom ovari polisistik (PCOS)

    Kondisi yang menyerang hampir 15% daripada wanita di seluruh dunia ini akan berlaku apabila mereka mengalami ketidakseimbangan hormon androgen di dalam tubuh badan.

    Selain mempunyai lebih banyak bulu pada tubuh badan, ia juga mungkin akan mengakibatkan masalah jerawat, sista ovari, proses mentruasi tidak teratur serta berat badan yang tidak terkawal.

    #2. Masalah kelenjar adrenal

    Masalah wanita berbulu pada dagu dan leher juga mungkin disebabkan oleh kelenjar adrenal yang biasa diakibatkan oleh tumor atau ketumbuhan di dalam kelenjar ini.

    Tumor ini akan menghasilkan hormon androgen berlebihan di dalam tubuh badan sekali gus menjadikan bulu tubuh badan lebih banyak dan lebat, suara garau serta naik berat badan.

    wanita berbulu lebat

    #3. Masalah sistem endokrin

    Walaupun ia sangat jarang berlaku, wujud juga beberapa gangguan pada sistem endokrin seperti sindrom Cushing yang boleh jadi punca pertumbuhan bulu pada dagu dan leher.

    Kondisi yang juga boleh terjadi kepada wanita ini akan meningkatkan risiko pertambahan berat badan, pembentukan tanda regang serta diabetes jenis 2 jika tidak segera dirawat.

    Wanita berbulu lebat akibat #4. Pengambilan ubat

    Rasanya, kita semua mungkin sudah tahu bahawa pengambilan ubat tertentu akan bawa kesan sampingan seperti mana kes ubat kanser yang akan membotakkan rambut kepala.

    Pengambilan ubat seperti steroid anabolik, testosteron, cyclosporine dan sebagainya juga mungkin boleh menyebabkan pertumbuhan bulu berlebihan pada dagu dan leher wanita.

    Wanita berbulu lebat akibat #5. Penuaan usia

    Seiring perjalanan usia kita semua, tubuh badan juga mungkin akan mengalami banyak perubahan dari masa ke masa termasuklah di dalam proses pertumbuhan bulu serta rambut.

    Bagi wanita yang hampir atau sudah menopaus, kadar hormon estrogen akan menurun lantas mengubah keseimbangan hormon sekali gus jadi punca bulu tumbuh pada dagu dan leher.

    wanita berbulu lebat

    Genetik juga akan main peranan penting….

    Selain daripada punca-punca wanita ada bulu pada dagu dan leher serta lain-lain bahagian tubuh badan di atas, anda mungkin tidak perlu terlalu risau dengan kondisi ini.

    Ini kerana memang ada sesetengah wanita yang mempunyai bulu berlebihan pada tubuh badan angkara genetik atau susur galur daripada ahli keluarga terdekat mereka sendiri.

    Sebagai contoh, wanita dari keturunan Asia Selatan, Timur Tengah atau Mediterranean memang popular dengan bulu lebat dan tiada apa yang perlu ditakutkan atau dimalukan.

    Dalam erti kata yang lebih mudah, situasi wanita berbulu itu masih lagi normal selagi ia bukan berpunca daripada penyakit berbahaya seperti mana yang kami nyatakan di atas tadi.

    Konklusinya, sila berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor untuk kepastian lebih lanjut!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan