home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Ketahui 6 Teknik Membuang Bulu Yang Anda Boleh Cuba!

Ketahui 6 Teknik Membuang Bulu Yang Anda Boleh Cuba!

Mungkin bagi sesetengah individu, bulu atau rambut yang wujud pada mana-mana bahagian tubuh badan adalah seksi, namun tidak semua berfikiran sedemikian. Disebabkan itu, amalan membuang atau menghilangkan bulu telah menjadi satu bahagian penting dalam rutin kecantikan individu tidak kira lelaki atau wanita.

Anda juga mungkin pernah atau akan berfikir tentang pembuangan rambut secara kekal untuk memudahkan rutin penjagaan diri anda.

Sebenarnya, anda mempunyai banyak pilihan untuk membuang atau menghilangkan bulu, jadi anda boleh cuba pelbagai cara yang berbeza untuk membuat kulit anda kekal licin.

Memahami jenis bulu

Tetapi sebelum itu, anda perlu kenal jenis bulu atau rambut yang tumbuh pada tubuh badan anda terlebih dahulu. Ini kerana setiap jenis bulu mempunyai kaedah penyingkiran yang tersendiri.

Disebabkan itu, adalah penting untuk mengetahui jenis rambut pada tubuh badan anda sebelum membuangnya.

Pertama sekali, anda perlu memahami teksturnya. Rambut tumbuh dari folikel iaitu seperti tiub kecil di bawah permukaan kulit anda.

Semua rambut diperbuat daripada keratin, yang merupakan salah satu daripada kumpulan protein yang mempunyai struktur berserat.

Terdapat dua jenis bulu pada badan anda:

Bulu roma: Ia lembut, halus, dan pendek. Kebanyakan individu mempunyai rambut seperti ini pada dada, belakang badan dan muka. Ia memastikan kestabilan suhu badan anda.

Bulu terminal: Ia bersifat lebih kasar, lebih gelap, dan lebih panjang berbanding bulu roma. Ia tumbuh di kepala anda (rambut). Sekitar waktu akil baligh, ia akan tumbuh pada wajah dan bahagian-bahagian tubuh badan yang lain seperti dada, kaki, dan belakang badan. Ia memainkan peranan penting sebagai kusyen dan perlindungan.

Sesetengah wanita mungkin menghadapi masalah bulu atau rambut yang tidak diingini, juga dikenali sebagai hirsutisme, yakni sebuah keadaan pertumbuhan rambut yang tidak diingini dalam kalangan wanita dengan corak pertumbuhan bulu badan seperti lelaki.

Ia disebabkan oleh beberapa keadaan perubatan tertentu seperti sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain yang menyebabkan rambut gelap dan kasar berkembang di muka, terutamanya atas bibir dan dagu, serta pada dada, perut, dan belakang.

Sesetengah ubat-ubatan, seperti steroid anabolik, juga sangat berkemungkinan membawa kepada hirsutisme.

Punca pertumbuhan bulu yang tidak diingini

Bulu yang tidak diingini mungkin tumbuh pada muka atau bahagian tubuh badan yang lain. Bulu ini mungkin tidak akan mengancam nyawa tetapi mampu memberi kesan kepada penampilan dan keyakinan diri jika tidak dibuang, terutamanya kepada wanita.

Berikut merupakan beberapa punca rambut tumbuh pada muka dan tubuh badan yang tidak diingini dan bagaimana untuk menanganinya.

#1. Sejarah keluarga

Punca utama rambut pada muka dan tubuh badan yang berlebihan adalah genetik keluarga.

Jika ibu atau kakak anda pernah mengalami hirsutisme sebelum ini, anda mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat rambut pada muka atau tubuh badan yang berlebihan atau yang tidak diingini. Penyakit ini diwarisi dalam keluarga dan dianggap biasa, bukan tanda gangguan.

#2. Sindrom ovari polisistik (PCOS)

Sindrom ovari polisistik yang menyebabkan kemandulan dan pertambahan berat badan juga boleh menyebabkan rambut pada muka atau tubuh badan yang tidak diingini.

Penyakit keturunan ini berpunca daripada pengeluaran hormon LH yang berlebihan yang merangsang hormon androgen berlebihan, menyebabkan ketidakseimbangan hormon seks di dalam badan.

Selain itu, PCOS juga boleh berlaku disebabkan masalah sistem pengawalan gula dalam darah.

#3. Hirsutisme idiopatik

Apabila hirsutisme berlaku tanpa sebarang punca, ia dipanggil hirsutisme idiopatik. Hirsutisme jenis ini tidak akan dijejaskan oleh sebarang sebab yang lain seperti ketidakseimbangan hormon, penyakit tertentu atau DNA keluarga.

Dalam kes ini, para saintis mempercayai satu-satunya sebab adalah kerana folikel rambut anda yang lebih sensitif terhadap rangsangan androgen yang berada pada tahap yang normal.

Mungkin akan ada wanita yang tidak kisah mengenai pertumbuhan rambut yang tidak diingini, namun kebanyakan mereka pasti mahu menyingkirkannya dari muka atau tubuh badan sama ada secara sementara sahaja mahupun secara kekal.

Jadi, apakah yang mereka boleh lakukan untuk mencapai hasrat itu?

hair-loss-husband-causes-tips-manage

Kaedah membuang bulu yang anda boleh cuba!

Sebenarnya, terdapat banyak kaedah membuang bulu pada muka atau tubuh badan anda yang anda perlu tahu. Mungkin ramai yang hanya tahu menggunakan pisau cukur sahaja, sedangkan terdapat banyak lagi cara lain untuk melakukannya, seperti:

#1. Bercukur

Bercukur adalah cara kos rendah yang boleh anda lakukan di rumah.

Apa yang anda perlukan hanyalah pencukur, sedikit air sama ada suam atau panas, sedikit sabun, busa cukur (shaving foam) atau gel.

Atau anda boleh menggunakan pisau cukur elektrik, yang lebih mudah untuk digunakan dan kurang berkemungkinan mencederakan kulit berbanding pencukur biasa.

Memandangkan pisau cukur tajam, jadi anda mungkin terluka, terutamanya apabila anda baru belajar bagaimana untuk menggunakannya. Kulit anda juga mungkin terengsa atau menghadapi masalah lain, seperti kulit pedih (razor burn), lebam, tertoreh, luka, jangkitan kulit, atau rambut tumbuh ke dalam.

#2. Membuang bulu dengan melilin (Waxing)

Melilin adalah kaedah penyingkiran rambut sementara yang membuang rambut dari akar. Rambut baru tidak akan tumbuh semula pada bahagian yang tersebut selama tiga hingga lapan minggu. Hampir semua bahagian badan boleh menjalani rawatan ini termasuklah kening, muka, kawasan bikini, kaki, lengan, belakang, perut dan kaki.

Rawatan melilin profesional adalah lebih mahal tetapi anda boleh mengambil pengalaman dengan mendapatkan rawatan melilin pertama di salon untuk melihat bagaimana profesional melakukannya.

#3. Mencabut (threading dan tweezing)

Mencabut menggunakan benang atau pinset untuk mengeluarkan rambut satu demi satu, menarik seluruh folikel bulu dari akar.

Kesannya boleh bertahan sehingga enam minggu dan dalam beberapa kes, menjadi kekal: mencabut rambut dengan kerap boleh menyebabkan folikel menjadi rosak dan berhenti tumbuh.

Mencabut lebih menjimatkan wang anda. Walau bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa yang lebih lama kerana anda hanya boleh mengeluarkan sehelai rambut pada satu masa.

Selain itu, mencabut rambut mungkin menyakitkan. Selepas mencabut, anda mungkin perasan benjolan merah sementara kerana folikel rambut membengkak dan terengsa.

#4. Depilatori untuk menghilangkan bulu

Depilatori adalah bahan kosmetik yang digunakan untuk menghilangkan rambut yang tidak diingini buat sementara waktu. Ia mengandungi bahan-bahan yang digunakan untuk melarutkan rambut di atas permukaan kulit memandangkan proses ini tidak menarik rambut pada akar seperti kaedah lain.

Depilatori boleh didapati dalam bentuk krim, losyen, atau semburan. Losyen lebih sesuai digunakan untuk kawasan tubuh badan yang lebih besar seperti kaki, tangan, ketiak, atau kawasan “bikini”. Krim boleh digunakan untuk kawasan tertentu dengan lebih baik kerana ia lebih tebal.

Depilatori bertindak cepat, mudah didapati di kedai-kedai ubat dan kedai runcit, dan kosnya rendah. Walau bagaimanapun, menggunakan depilatori mempunyai beberapa faktor risiko. Mereka yang mempunyai kulit sensitif mungkin alah kepada bahan kimia di dalamnya, lalu menyebabkan ruam atau keradangan.

#5. Elektrolisis

Arus elektrik digunakan dengan elektrod yang sangat halus berbentuk jarum, atau prob logam ke dalam setiap folikel rambut untuk memusnahkan akar. Kaedah ini boleh menawarkan hasil yang kekal. Tetapi pertumbuhan semula rambut mungkin berlaku kepada sesetengah orang.

Terdapat tiga jenis elektrolisis: galvani, termolisis dan kombinasi.

Elektrolisis biasanya hanya digunakan pada kawasan yang lebih kecil seperti atas bibir, kening, dan di bawah lengan. Bagi kebanyakan orang, proses ini agak menyakitkan dan menyebabkan kulit kering, keruping, parut, dan keradangan. Ia mudah menyebabkan jangkitan jika jarum dan alatan lain tidak disterilkan dengan betul.

#6. Menghilangkan bulu dengan rawatan Laser

Sinar cahaya yang digunakan dalam rawatan laser merosakkan folikel rambut. Disebabkan tenaga laser tertarik dengan pigmen bulu, sinaran laser dengan tepat boleh menyasarkan rambut gelap, kasar tanpa merosakkan kawasan sekitarnya.

Memandangkan folikel tersebut telah dimusnahkan, rambut anda tidak akan tumbuh kembali. Keberkesanan rawatan laser boleh bertahan selama-lamanya. Tetapi bergantung kepada keadaan anda sendiri, anda mungkin dikehendaki untuk mengambil beberapa sesi lagi untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Kerana manfaatnya, rawatan laser adalah lebih mahal berbanding kaedah lain. Kesan sampingan terdiri daripada keradangan dan kemerahan.

hair removal

Konklusi

Konklusinya, rambut pada muka atau tubuh badan yang tidak diingini atau hirsutisme dianggap sebagai kondisi biasa yang boleh dihidapi wanita atau lelaki. Mujurlah rawatan sampin tersedia agak mudah dan berkesan dalam membantu membuangnya. Ini sekali gus meningkatkan keyakinan dan penampilan diri anda.

Jika anda sudah penat bercukur, melilin atau mencabut atau menghilangkan bulu pada muka atau tubuh badan, anda mungkin boleh cuba beberapa teknik yang lebih drastik seperti depilatori, elektrolisis atau rawatan laser. Ya, ia mungkin sedikit mahal.

Namun ia mungkin berbaloi untuk anda yang mengutamakan kecantikan, bukan?

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Hair Removal. http://kidshealth.org/teen/your_body/skin_stuff/hair_removal.html?tracking=T_RelatedArticle#. Accessed on August 14, 2019.
  2. Get Rid Of Facial Hair. http://www.womenshealthmag.com/beauty/get-rid-of-facial-hair. Accessed on August 14, 2019.
  3. Weird Hair Growth And Removal. http://www.prevention.com/beauty/weird-hair-growth-and-removal. Accessed on August 14, 2019.
  4. Understand Excessive Hair. http://www.healthline.com/health/excessive-or-unwanted-hair-in-women#Overview1. Accessed on August 14, 2019.
  5. 8 Reasons For Unwanted Hair Or Hirsutism. http://www.thehealthsite.com/diseases-conditions/8-reasons-for-unwanted-hair-or-hirsutism/. Accessed on August 14, 2019.
  6. Reasons for Unwanted Hair in Women and Homeopathy Medicines. http://www.naturehomeopathy.com/reasons-for-unwanted-hair-in-women-and-homeopathy-medicines.html. Accessed on August 14, 2019.
  7. 11 Simple Ways to Remove Upper Lip Hair Naturally. http://www.stylecraze.com/articles/simple-ways-to-remove-upper-lip-hair-naturally/#gref.   Accessed on August 14, 2019.
  8. How To Remove Unwanted Hair Naturally From Face, Legs And Hands. https://beautyhealthtips.in/best-tips-to-remove-unwanted-hair-naturally/. Accessed on August 14, 2019.
Gambar penulis
Ditulis oleh Helma Hassan pada 17/04/2018
Maklumat perubatan disemak oleh Dr. Joseph Tan
x