Tahukah anda, hormon tidak stabil boleh memberi impak negatif terhadap kesihatan badan wanita?
Keseimbangan hormon bukan sahaja penting untuk badan yang sihat, ia juga memainkan peranan tersendiri dalam kesihatan mental.
Manakan tidak, hormon membantu mengawal metabolisme badan, mood, fungsi reproduktif serta kesihatan seksual.
Dalam kalangan wanita, hormon tidak stabil boleh menyebabkan pelbagai masalah. Ia boleh menyebabkan kaum Hawa menjadi resah, sukar tidur malam, mengalami mood swing atau depresi.
Disebabkan hormon wanita sangatlah kompleks, kaum Hawa perlulah cakna tentang peranan hormon dalam badan dan bagaimana ia boleh menjejaskan kesihatan mental.
Kesihatan mental merupakan satu aspek yang sangat penting terhadap kesihatan.
Wanita perlu tahu bahawa badan yang sihat bukan terdiri daripada kesihatan fizikal semata-mata, kesihatan emosi dan mental juga memainkan peranan yang penting.
Sempena Hari Wanita Sedunia 2022 #IWD2022, jom ambil tahu mengenai perubahan hormon serta bagaimana ia boleh mempengaruhi emosi wanita.
Inilah masanya untuk wanita #StandStrong dan kenali diri sendiri dengan lebih mendalam!
Hormon tidak stabil dan wanita
Menurut Dr. Darren Salinger, ketua bahagian obstetrik dan ginekologi di KIDZ Medical Services, hormon seperti estrogen, progesteron dan testosteron mempunyai kaitan rapat dengan emosi wanita.
Tidak dinafikan, apabila hormon tidak stabil, wanita akan makin tertekan dan alami mood swing. Malah, kondisi mental mereka juga akan menjadi semakin teruk.
Penurunan hormon estrogen dan progesteron boleh membuatkan kaum Hawa menjadi mudah marah dan resah.
Hormon kortisol pula boleh menyebabkan wanita alami masalah kegelisahan dan depresi jika dibiarkan tanpa rawatan.
Menurut National Institute of Health, stress yang berpanjangan juga boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, termasuklah depresi.
Banyak masalah mental berasal daripada ketidakseimbangan hormon.
Malah, jika anda mempunyai masalah hormon, besar kemungkinan anda akan alami masalah kesihatan mental.
Kadangkala, simptom yang sama juga boleh terhasil disebabkan rawatan hormon.
Ketahui kesan hormon tidak stabil terhadap wanita. Di bawah, kami jelaskan lebih lanjut mengenai jenis hormon serta kesannya terhadap badan wanita.
Baca juga:
- Wanita Selalu Dikaitkan Dengan Hormon Tidak Seimbang, Lihat Tanda & Punca Ini
- Masalah Tidur & Memori, Ada Kaitan Dengan Ketidakseimbangan Hormon
1. Hormon estrogen
Hormon estrogen merupakan antara kumpulan hormon yang memainkan peranan yang penting terhadap wanita.
Dari segi kesihatan mental, estrogen meregulasi neurotransmiter seperti serotonin, dopamin dan epinefrin yang mempengaruhi mood wanita.
Hormon estrogen yang tidak seimbang akan menyebabkan kaum Hawa alami mood swing dan cepat marah.
Manakala, tahap estrogen yang rendah pula akan menyebabkan serotonin menjadi rendah, yang turut menyebabkan masalah emosi, kesukaran untuk fokus dan keresahan.
Selain itu, wanita yang mempunyai tahap estrogen dengan progesteron yang rendah selalunya akan alami depresi, masalah ingatan dan kegelisahan.
Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk memastikan hormon ini kekal seimbang. Rujuk infografik kami di bawah:
2. Testosteron tak seimbang buat hormon tidak stabil?
Walaupun testosteron lebih lazim dalam kalangan kaum Adam, namun wanita juga mempunyai hormon ini dalam jumlah yang sedikit.
Menurut kajian, hormon testosteron dapat menguatkan arteri dan saraf pada kawasan otak. Malah, hormon ini juga berkait rapat dengan penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson.
Hormon testosteron yang tidak seimbang boleh menyebabkan masalah mood, depresi, kesukaran untuk fokus dan ketiadaan motivasi sepanjang hari.
3. Progesteron
Tahap progesteron yang rendah boleh menyebabkan wanita alami keresahan, depresi dan banyak lagi masalah mood yang lain.
Hormon progesteron yang tinggi pula boleh menyebabkan satu bahagian pada otak yang dikenali sebagai amigdala menjadi lebih sensitif.
Sebab itulah, wanita yang mempunyai masalah ketidakseimbangan hormon progesteron akan alami depresi, kegelisahan dan insomnia.
Secara amnya, mereka akan rasakan hari mereka ‘mendung’. Malah, mereka juga sering tidak mempunyai mood sepanjang hari.
4. Androgen DHEA
Dehydroepiandrosterone (DHEA) merupakan sejenis hormon yang wujud secara semula jadi di dalam badan kita.
Sama seperti estrogen dan progesteron, DHEA juga penting untuk memastikan badan berfungsi dengan baik.
Hormon DHEA yang terlalu rendah berkait rapat dengan depresi. Malah, ada beberapa kajian yang menemui penggunaan suplemen DHEA dapat membantu pesakit depresi.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengetahui kesan DHEA terhadap badan. Malah, penggunaan suplemen DHEA juga didapati tidak efektif dan kesan sampingannya juga amat tinggi.
5. Kortisol banyak buat hormon tidak stabil?
Disebabkan kita hidup dalam zaman di mana semuanya bergerak dengan pantas, jadi kita terdedah dengan terlalu banyak tekanan.
Ini akan menyebabkan kelenjar adrenal merembeskan lebih banyak kortisol, sejenis hormon yang menyebabkan stres dan akan mengakibatkan inflamasi pada badan.
Untuk pengetahuan anda, hormon ini juga terlibat dengan respons lari atau lawan. Hormon tidak stabil boleh menyebabkan wanita berada dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.
Malah, hormon kortisol juga boleh menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah, tekanan darah dan penyimpanan lemak dalam badan.
Namun, penghasilan hormon kortisol yang terlalu banyak mungkin berlaku disebabkan tumor.
Oleh sebab itu, jika anda rasa tertekan yang amat sangat, berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Kesimpulan
Walaupun hormon dalam badan wanita boleh mendatangkan banyak kesan negatif, tapi ia sebenarnya mempunyai pelbagai fungsi lain dan membantu badan menjalankan tugas-tugas tertentu.
Sebagai contoh, estrogen, testosteron dan progesteron merupakan hormon seks wanita yang penting untuk kesuburan. Malah, ia juga mempunyai peranan tersendiri dalam kehamilan, akil baligh, libido dan banyak lagi.
Hormon ini dihasilkan di dalam ovari (untuk wanita) dan testis (untuk lelaki).
Wanita perlu berjumpa doktor sakit puan setahun sekali untuk pemeriksaan rutin. Jangan sesekali abaikan sebarang simptom. Jumpa doktor jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai kesihatan anda.
[embed-health-tool-ovulation]