Hari pertama datang haid di tempat kerja? Aduh, masalah pula jika disertai senggugut. Bagi wanita, sakit perut senggugut ketika bekerja merupakan sesuatu yang biasa. Namun, gangguan ini boleh menjejaskan konsentrasi dan produktiviti. Jadi, apakah langkah mengatasi senggugut, terutamanya bagi wanita bekerjaya?
Period merupakan sesuatu yang normal bagi wanita. Setiap bulan, wanita pasti akan datang haid. Selalunya, minggu ‘berdarah’ ini akan berlaku disertai dengan simptom-simptom lain seperti sakit perut, pening kepala dan mual-mual.
Bukan itu sahaja, pada waktu ini jugalah mood wanita sangat tidak stabil.
Mereka juga akan rasa lapar 24 jam dan ingin tidur sepanjang hari. Macam manalah hendak terus bekerja kalau senggugut, kan?
Jangan risau, kami ada jawapannya.
Wanita, jangan biarkan diri anda ‘dipenjara’ senggugut! Sebenarnya, ada banyak cara untuk kaum Hawa atasi senggugut, terutamanya di tempat kerja.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Langkah mengatasi senggugut di tempat kerja
Tahukah anda, masalah haid di tempat kerja adalah sesuatu yang tabu untuk diperkatakan?
Pada tahun 2016, YouGov telah melakukan tinjauan ke atas 940 wanita mengenai senggugut yang mereka alami di tempat kerja.
Hampir 57% wanita mengakui senggugut mengganggu kerja mereka.
Namun, jika wanita bersuara mengenai kesakitan yang mereka alami, mereka akan dicop lemah dan tidak boleh diharap.
Sebab itulah, hanya 27% sahaja wanita yang period di tempat kerja selesa untuk memberitahu bos mereka mengenai kesakitan yang dialami.
Hampir 33% pula akan mereka-reka alasan seperti demam atau ada masalah lain yang mengganggu kerja mereka.
Haid boleh mempengaruhi kesihatan wanita secara mental dan fizikal.
Mereka bukan sahaja mudah marah, malahan period akan turut menyebabkan sakit perut, rasa loya dan bengkak di kawasan payudara. Namun, simptom ini berbeza mengikut individu.
Tetapi, jika anda datang haid di tempat kerja, ada langkah mengatasi senggugut yang mungkin dapat melegakan kesakitan yang dialami. Antaranya:
1. Pastikan anda bersedia sebelum haid
Bukan semua wanita mempunyai period yang teratur. Namun, dengan bantuan aplikasi period tracker, kaum Hawa boleh mengagak bila mereka akan datang haid.
Pertama sekali, pastikan anda lebih bersedia. Kita semua pasti tidak mahu panik jika ‘hari berdarah’ ini datang secara tiba-tiba, bukan?
Jadi, simpan tuala wanita di tempat yang selamat. Sediakan sekali ubat tahan sakit, pad pemanas dan snek ringkas sebagai langkah mengatasi senggugut di tempat kerja.
[embed-health-tool-ovulation]
2. Peka dengan kitaran haid anda
Tempoh masa haid bagi setiap wanita berbeza, samalah dengan kesakitan yang dialami. Jika anda kerap alami senggugut, anda perlu lebih peka dengan kitaran haid sendiri.
Walau bagaimanapun, jika anda kerap tidak datang haid, ini mungkin merupakan tanda penyakit. Jika anda mempunyai sebarang masalah, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
3. Ringankan badan dan bergerak
Walaupun rasa sakit, percayalah, simptom anda akan berkurangan jika anda bergerak dengan lebih kerap.
Kalau boleh, bergerak sedikit semasa datang haid, walaupun untuk membeli barang di kafe atau kedai berdekatan.
Senaman ringan ketika period sudah terbukti dapat mengurangkan senggugut. Malah, jika anda berbaring sahaja sambil memandang skrin, besar kemungkinan badan akan jadi semakin penat. Mood swing juga semakin sukar untuk dikawal.
4. Cari cara yang berkesan untuk redakan masalah senggugut
Antara langkah mengatasi senggugut yang berkesan ialah minum air dengan mencukupi, banyakkan rehat dan elakkan minuman berkafein.
Namun, bukan semua cara ini dapat mengurangkan kesakitan yang anda alami. Ia berbeza mengikut individu.
Ambil ubat tahan sakit, lakukan senaman ringan atau mandi air hangat untuk kurangkan kesakitan yang disebabkan senggugut.
5. Jangan lupa rehat ketika haid
Ketika haid datang, jangan paksa diri untuk bekerja terlalu keras. Lakukan kerja yang anda sukai terlebih dahulu sebelum bergerak ke kerja yang sukar.
Rehatlah secukupnya supaya anda tidak stres atau mudah marah. Minum air coklat panas atau dengar lagu kegemaran anda ketika bekerja untuk lebih relaks.
Sedang mencari langkah mengatasi senggugut lain? Artikel ini mungkin membantu.
Baca juga:
- 9 Vitamin & Mineral Ini Bantu Atasi Masalah Senggugut Wanita
- Apa Sebenarnya Punca Senggugut? Bagaimana Cara Ubatinya? Ikuti Penjelasan Ini!
6. Jangan takut untuk minta tolong
Ada banyak doktor di luar sana yang dapat membantu mengurangkan simptom PMS yang dialami.
Selain itu, peranan orang sekeliling seperti kawan sekerja juga amat membantu, lebih-lebih lagi jika anda alami kesukaran untuk menyesuaikan diri di tempat kerja.
Jika anda mempunyai sebarang simptom yang abnormal, jangan malu untuk berjumpa doktor. Kadangkala, senggugut yang teruk berpunca daripada penyakit.
Oleh sebab itu, dapatkan pemeriksaan pakar. Doktor boleh melakukan diagnosis dan memberikan rawatan yang bersesuaian dengan simptom yang anda alami.
Kesimpulan
Sebenarnya, ada banyak langkah mengatasi senggugut yang boleh kaum Hawa praktikkan di tempat kerja. Tetapi, paling penting, jangan paksa diri jika kesakitan yang dialami itu sukar untuk ditangani.
Berbincanglah dengan bos jika senggugut memberi impak negatif terhadap kerja anda. Pada masa yang sama, ambil ubat tahan sakit jika anda datang haid secara tiba-tiba.