Tidak dinafikan, makanan yang kita ambil setiap hari dapat mempengaruhi kesihatan kita. Namun, tahukah anda, ia juga boleh membuatkan period kita lebih berat daripada biasa? Bagi wanita yang mempunyai masalah darah haid banyak dan berketul, mungkin dalangnya selama ini adalah diet anda!
Dalam artikel kali ini, kami akan kupas lebih lanjut mengenai makanan yang boleh mengganggu kitaran haid anda. Ingin tahu lebih lanjut, jom baca artikel kami di bawah!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Apa yang menyebabkan darah haid banyak dan berketul?
Haid setiap wanita adalah berbeza. Ada yang banyak, ada juga yang sedikit. Semua ini dipengaruhi oleh keseimbangan hormon dalam badan wanita. Semakin terganggu keseimbangan hormon, semakin beratlah period anda!
1 daripada 5 wanita mengalami masalah menorrhagia iaitu haid yang berat. Ia boleh menyebabkan pesakit alami pengeluaran darah haid banyak dan berketul.
Walaupun masalah ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, namun ia boleh mengganggu kehidupan seharian penghidapnya. Penatlah kalau kena tukar pad 6-7 kali sehari!
[embed-health-tool-ovulation]
5 makanan yang perlu wanita hindari untuk elak darah banyak!
Sebenarnya, ada banyak makanan yang boleh menyebabkan haid wanita menjadi semakin parah.
Makanan ini bukan sahaja boleh sebabkan senggugut yang lebih teruk, namun ia juga boleh mengganggu pengaliran darah dan menyebabkan wanita datang haid lebih berat daripada biasa.
Antara makanan yang perlu dielakkan ialah:
1. Elak makanan yang masin
Rasa nak makan benda masin semasa period? Jangan dilayankan…
Makanan yang masin bukan sahaja boleh buatkan anda rasa tidak selesa, ia juga boleh menyebabkan perut kembung dan ketidakselesaan semasa haid.
Jadi, elakkan makan terlalu banyak keropok, kentang goreng dan juga makanan dalam tin ketika period ya!
2. Kurangkan kopi
Sama seperti makanan yang masin, kopi juga boleh buatkan darah haid banyak dan berketul. Kopi mengandungi kafein. Ia boleh menyebabkan salur darah mengecut, terutamanya salur darah yang menghala ke rahim.
Jika anda perlukan tenaga tambahan, cuba minum teh. Ia tidak mengandungi kafein sebanyak kopi dan tidak akan buatkan perut anda memulas pada hari-hari pertama haid!
3. Jangan makan makanan pedas!
Bagi kaum Hawa yang sukakan makanan pedas, janganlah makan terlalu banyak cili ketika haid.
Pengambilan makanan yang pedas bukan sahaja akan membuatkan perut anda sakit, ia juga boleh menyebabkan pembentukan ulser.
Sudahlah sakit sebab period pain, kena tahan pula sakit disebabkan ulser. Aduhai…
Baca juga:
- Benarkah Period Lewat Seminggu Tanda Mengandung? Ketahui 10 Punca Lain Haid Lambat!
- Darah Haid Keluar Sikit-sikit? 7 Perkara Ini Boleh Jadi Penyebabnya, Semak Sekarang!
4. Gula buatkan darah haid banyak dan berketul
Gula dan coklat merupakan makanan yang boleh buatkan wanita rasa gembira. Walaupun ia boleh buatkan mood kita menjadi semakin baik, namun gula sebenarnya boleh membuatkan pengaliran darah ketika haid jadi semakin berat!
Bukan itu sahaja, pengambilan gula yang banyak boleh menyebabkan bacaan glukosa dalam darah meningkat dan menurun secara drastik.
Walaupun kedua-dua makanan ini rasanya sedap, ia boleh menyebabkan senggugut jadi semakin teruk.
5. Elakkan makanan yang diproses
Makanan sejuk beku, segera dan diproses mengandungi banyak bahan dan pengawet yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan. Ia juga boleh mengganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan masalah haid yang teruk.
Malah, makanan yang diproses juga mengandungi banyak garam. Seperti yang dijelaskan di atas, garam merupakan musuh ketat wanita yang sedang datang haid. Ia boleh menyebabkan retensi air dan perut kembung.
Jadi, elakkan makanan yang diproses semasa haid jika inginkan period yang lancar.
Tip: Ambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan ketika haid untuk elak period yang berat.
Benarkah nanas boleh sebabkan darah haid banyak dan berketul?
Pasti ramai antara kita yang takut-takut untuk makan nanas ketika haid. Ada orang kata, nanas boleh buatkan haid semakin berat. Namun, sejauh manakah kebenarannya?
Nanas mengandungi sejenis enzim yang dikenali sebagai bromelain. Enzim ini boleh meningkatkan darah haid sebanyak 50%.
Walaupun begitu, makan nanas ketika haid bukanlah sesuatu yang berbahaya. Namun, ia mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan!
Namun, jika anda mengalami pendarahan yang luar biasa ketika haid, berjumpalah doktor dengan segera. Mereka yang alami haid berat berisiko mengalami anemia jika tidak dirawat.