Majoriti individu pasti memasang impian untuk mempunyai senyuman dan gigi yang cantik, rata lagi tersusun bukan? Namun, bukan semua orang yang mampu mencapai hasrat tersebut ekoran ada banyak masalah gigi termasuk gigi jarang di depan!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.
Apa maksud gigi jarang depan?
Untuk pengetahuan anda semua, ia adalah kondisi di mana wujud ruang atau jarak di antara dua gigi depan atas. Kebiasaannya, masalah gigi ini akan berlaku ketika berada di usia kanak-kanak.
Kanak-kanak dengan kondisi diastema ini tidak perlu risau kerana itu adalah gisi susu yang akan tertanggal atau tercabut sendiri dewasa kelak dan terganti dengan gigi kekal yang lebih teratur.
Pun begitu, wujud risiko untuk individu dewasa masih mengalami masalah gigi ini dan menyebabkan gigi ada ruang atau jarak sekitar 0.5 milimiter yang sudah tentu menjejaskan fungsi serta imej diri.
Sebenarnya, diastema itu tidak ada kesan bahaya dan ramai juga yang cenderung menganggap ia sebagai ‘seksi’!
Buat mereka yang ada masalah gigi ini dan tidak pula rasa seperti itu, anda tidak perlu risau kerana ia begitu mudah selesai dengan teknologi kosmetik masa kini. Persoalannya, apa punca ia terjadi?
Berikut punca gigi jarang depan!
Selain genetik, mungkin ada beberapa lagi faktor risiko ia berlaku. Berikut adalah antara puncanya:
#1. Kaitan di antara saiz gigi dengan rahang
Pertama, anda perlu tahu bahawa gigi yang terlalu kecil di dalam rahang yang terlalu besar boleh jadi punca antara gigi kelihatan ada ruang atau jarak dan memang benar ia adalah akibat genetik.
Dalam pada itu, turut wujud kemungkinan untuk gigi yang patut ada itu tidak tumbuh sekali gus menyebabkan ada ruang atau jarak di antara gigi. Ia biasa melibatkan gigi di bahagian depan atas.
Punca gigi jarang #2. Kondisi gusi
Kondisi gusi seperti infeksi periodontitis boleh menyebabkan kerosakan pada tisu dan tulang yang menyokong pembentukan gigi.
Kesannya, ia mungkin akan tumbuh agak longgar dan jarang.
Selain wujud gigi jarang, berikut adalah antara simptom-simptom berkaitan kondisi gusi yang lain:
- Gusi merah atau ungu
- Pembengkakan pada gusi
- Pendarahan pada gusi
- Rasa sakit apabila mengunyah
- Nafas berbau
Punca gigi jarang #3. Tabiat buruk
Jangan cuma fokus pada keadaan kesihatan anda sahaja kerana ruang atau jarak pada gigi ini juga boleh dipengaruhi oleh tabiat-tabiat buruk yang anda sendiri jalani dalam kehidupan seharian.
Ada banyak tabiat buruk yang lama-kelamaan mungkin akan menjarangkan gigi anda sendiri iaitu:
- Mengetap gigi
- Menghisap jari
- Mengigit kuku
- Memasang tindik lidah
- Mengunyah objek keras
#4. Mengunyah dengan cara yang tidak betul
Bagi individu normal, refleks mengunyah sesuatu itu adalah dengan cara menekan lidah ke atas atau bawah mulut.
Namun, ada juga individu yang mengamalkan refleks mengunyah tidak betul iaitu dengan cara menekan lidah di belakang gigi sendiri.
Kesannya, ini akan membuat lidah menolak gigi secara berulang kali lantas jadi punca masalah gigi itu.
#5. Kewujudan sista
Cyst atau sista boleh tumbuh pada kebanyakan bahagian tubuh badan termasuk oral dan gusi juga tidak terkecuali.
Ia mungkin boleh tumbuh pada tisu di antara celah gigi atas dengan gusi atas.
Apabila ia tidak dirawat dengan kadar segera, lama-kelamaan ia boleh menjarangkan gigi individu.
#6. Kehilangan gigi
Sama ada melalui proses semula jadi atau cabutan secara paksaan, kehilangan gigi turut boleh jadi punca wujudnya ruang atau jarak di antara gigi terutama pada kawasan gigi yang ada di depan.
Disebabkan itu, doktor gigi tidak menyarankan anda cabut gigi melainkan jika sudah ada masalah gigi.
#7. Prosedur kosmetik yang disengajakan
Akhir sekali, ada individu yang mungkin beranggapan jika mempunyai ruang atau jarak pada gigi itu sebagai unik, cantik dan menarik sekali gus menjalani prosedur kosmetik untuk memilikinya.
Mereka mungkin boleh merealisasikan hasrat itu dengan cara memasang pendakap yang berfungsi menjarakkan gigi tersebut atau melakukan pembedahan minor. Namun, ia sangat tidak digalakkan.
Usah risau tentangnya, ia normal dan tidak bahaya!
Mungkin bagi orang dengan gigi jarang, ia akan menjejaskan fungsi dan imej diri namun ini sama sekali tidak benar.
Namun jika masih ingin merapatkan jurang yang ada di antara gigi-gigi itu untuk tujuan kosmetik, sila berjumpa dan berkonsultasi dengan doktor gigi yang bertauliah untuk elak kesan buruk.
[embed-health-tool-bmi]