backup og meta

Sakit Tumbuh Gigi Bongsu, Lagi-lagi Bila Anak Remaja Yang Alaminya, Ini Cara Nak Buat!

Sakit Tumbuh Gigi Bongsu, Lagi-lagi Bila Anak Remaja Yang Alaminya, Ini Cara Nak Buat!

Gigi geraham bongsu yang hendak tumbuh boleh jadi sangat menyakitkan dan menyiksakan bagi sesetengah individu, apatah lagi jika dialami oleh anak remaja.

Ia boleh mengakibatkan hilang selera makan, pening kepala, bengkak di muka malah demam.

Lazimnya, masalah gigi geraham bongsu ini dialami oleh remaja sekitar usia 17 hingga 25 tahun.

Dalam keadaan yang masih muda itu, anak anda mungkin berasa tidak tahan menanggung kesakitan akibat kehadiran gigi bongsu.

Jadi, ibu bapa sila fahami dahulu situasi-situasi ini sekiranya anak remaja anda ingin mencabut gigi geraham mereka.

gigi geraham bongsu

Bilakah waktu untuk mencabut gigi geraham?

Anak anda patut mencabut gigi geraham sekiranya:

  • Gigi geraham bongsu terperangkap: Gigi yang terperangkap dalam tulang rahang kerana ruang yang tidak mencukupi
  • Posisi gigi geraham bongsu yang berada dalam keadaan luar biasa dan mungkin mendatar: Ia boleh menekan gigi-gigi yang lain

Membuang gigi geraham ini bukanlah perkara asing. Ia sering dilakukan oleh individu terutama apabila meningkat dewasa.

Namun begitu, penjagaan kebersihan mulut dan arahan penjagaan kesihatan selepas pembedahan perlu dititikberatkan.

Ini supaya proses penyembuhan dapat dipercepat dan kadar komplikasi dapat dikurangkan.

Ketahuilah bahawa proses pembuangan gigi geraham ini kebiasaannya tidak rumit dan mampu sembuh dengan cepat.

Selalunya, selepas beberapa hari anak anda sudah boleh melakukan aktiviti harian seperti normal.

Prapembedahan gigi geraham

Dapatkan nasihat daripada doktor gigi anda mengenai hasrat untuk mencabut gigi geraham tersebut. Selalunya, doktor gigi akan periksa dan memaklumkan prosedur-prosedur yang bakal dilakukan.

Ketika pembedahan

Pembedahan kebiasaannya berdurasi selama 45 minit atau kurang.

  • Doktor akan melakukan pemotongan gusi dan tisu lembut di atasnya, ini supaya tulang dapat didedahkan
  • Tebukan akan dilakukan pada tulang bagi mengeluarkan tulang
  • Bahagian atas gigi yang terimpak atau terperangkap itu akan dinampakkan dengan menggunakan elevator
  • Namun dalam keadaan yang tertentu, gigi akan terpaksa dipotong sebelum dicabut
  • Bahagian sekeliling tulang akan dilicinkan serta kawasan cabutan dibersihkan dengan larutan salina
  • Kawasan cabutan akan dimasukkan agen pembekuan darah bagi menghentikan pendarahan
  • Gusi akan dijahit semula untuk menutup kawasan yang terdedah

Selepas pembedahan

Antara kesan yang dialami oleh para pesakit setelah pembedahan termasuklah sakit dan ketidakselesaan, pendarahan, kebengkakan, sukar untuk membuka mulut dengan luas dan sukar untuk makan serta bercakap.

Bagi ubat penahan sakit, ia diberi berdasarkan kepada jenis prosedur rawatan.

Sebagai contoh, rasa sakit selepas mencabut gigi boleh diatasi melalui penggunaan ubat jenis paracetamol.

Bagi pesakit yang menjalani pembedahan mulut minor pula selalunya diberikan ubat jenis anti inflamasi bukan steroid (NSAIDs).

gigi bongsu

Tip penjagaan di rumah

Penjagaan selepas pembedahan penting agar anak anda boleh sembuh dengan baik dan cepat.

Baca tip ini untuk mengetahui cara-cara penjagaan di rumah bagi pesakit pembedahan mulut.

  1. Kebersihan di dalam mulut

Kebersihan mulut perlu dilaksanakan pada tahap yang optimum terutamanya pada saat ini.

Mulut yang kotor akan mengundang jangkitan kuman terhadap kawasan pembedahan dan secara tidak langsung akan merencatkan proses pemulihan.

Penggunaan pemberus gigi dan cecair kumuran boleh digunakan, cuma anda harus berhati-hati pada tempat yang telah dibedah.

  1. Ubat-ubatan

Ubat yang diberi akan bergantung kepada tahap dan jenis pembedahan yang dilakukan.

Antibiotik hanya diberi pada kes tertentu, manakala bagi mengawal kesakitan, ubat penahan sakit akan diberikan.

Pesakit harus beringat untuk memaklumkan doktor mengenai ubat yang sedang diambil.

Ini kerana ubat yang diberikan boleh mempunyai kesan interaksi dengan ubat yang diambil pesakit.

  1. Pengambilan makanan

Pesakit harus mengelak daripada makan makanan yang keras, terutamanya pada hari pertama dan kedua selepas pembedahan.

Makanan yang lembut dan sejuk seperti yogurt dan aiskrim mampu membantu pesakit untuk mengunyah dan menelan.

  1. Merokok

Pesakit dilarang tegas daripada menghisap rokok atau vaping kerana ia boleh mengganggu proses penyembuhan.

  1. Aktiviti-aktiviti harian

Selepas pembedahan, pesakit diharuskan berehat di rumah dan mengelak daripada melakukan pekerjaan yang berat dan menggunakan banyak tenaga.

Rehat selama 2 hingga 3 hari mencukupi dalam proses mengembalikan kekuatan mental dan fizikal pesakit untuk melakukan rutin harian seperti biasa.

Jangan lupa untuk pesan anak anda agar melakukan arahan penjagaan luka yang diberikan oleh doktor.

Temujanji seterusnya akan menilai kesihatan pesakit secara keseluruhan.

Pastikan anak anda hadir ke temujanji susulan yang diberikan untuk pemeriksaan dan pembuangan jahitan jika perlu.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. http://www.myhealth.gov.my/gigi-geraham-bongsu-terimpak/
  2. http://www.myhealth.gov.my/penjagaan-di-rumah-selepas-prosedur-pembedahan-oral/

Versi Terbaru

14/09/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Bagaimana Untuk Berhenti Vaping Pada Tahun 2020?

Tak Makan Manis Jadi Tak Perlu Gosok Gigi? Pengamal Diet Keto Perlu Faham Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 14/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan