backup og meta

Selalu Marah Tak Tentu Pasal? Itu Maksudnya Anda Perlukan 'Me Time' Untuk Seketika!

Selalu Marah Tak Tentu Pasal? Itu Maksudnya Anda Perlukan 'Me Time' Untuk Seketika!

Dalam kebanyakan masa, kita bersosial bagi memenuhi kehendak diri dalam perhubungan sesama manusia. Namun ada ketikanya, kita mungkin perlukan sedikit masa bersendirian untuk ketenangan diri sendiri.

Pernahkah anda menghadapi situasi di mana diri anda sudah berasa letih dengan keadaan sekeliling?

Sebagai contoh, anda mula berasa agak menyampah dengan orang sekeliling atau mungkin sudah tidak larat melayan kerenah orang lain.

Ia sebenarnya adalah antara tanda-tanda kecil anda memerlukan masa bersendirian untuk ketenangan diri sendiri. Ia ibarat satu slot masa untuk anda recharge diri anda semula.

Tanda-tanda anda sebenarnya perlukan ‘me time’ atau ketenangan diri

Di bawah ini, kami senaraikan antara 5 tanda di mana tubuh badan anda sedang memberi isyarat bahawa anda memerlukan waktu atau masa bersendirian.

Ia bukanlah sebagai satu tindakan untuk mengelakkan diri daripada bersosial, tetapi lebih kepada masa untuk berehat seketika dan mencari ketenangan diri sebelum kembali bersosial.

Lihat kepada 5 tanda di bawah ini:

#1. Anda sudah mula berasa bosan dengan perkara yang pernah menyeronokkan anda

ketenangan diri

Tanda pertama atau yang paling kerap berlaku adalah di mana anda mula tidak berasa seronok lagi dengan perkara di sekeliling anda.

Anda mudah berasa bosan dan tidak lagi berasa seronok melakukan perkara yang pernah anda sukai.

Selain itu, anda mungkin perasan bahawa anda tidak lagi menjadi kreatif seperti biasa atau menyumbang idea-idea bernas jika terdapat sebarang perbincangan.

Ia mungkin disebabkan anda sudah tidak mempunyai idea atau anda hanya tidak mahu melibatkan diri dengan perkara tersebut.

Apabila hal ini mula berlaku, ia adalah tanda bahawa anda perlukan ‘me time’ untuk seketika. 

#2. Anda banyak makan tanpa anda sedari

Ada sesetengah individu di mana dia mungkin akan lebih kerap makan jika emosinya terganggu.

Ada orang yang akan kerap makan sewaktu sedih atau sewaktu mengalami tekanan.

Kadangkala hal ini berlaku bukannya disebabkan oleh rasa lapar, tetapi disebabkan anda ingin mengalihkan perhatian daripada apa yang anda alami dengan menikmati makanan.

Oleh sebab itu, jika anda perasan bahawa anda selalu mencari makanan dan makan dengan banyak tidak seperti biasa, mungkin ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran anda kini. 

#3. Cepat berasa sedih atau putus asa walaupun terhadap perkara yang kecil dan remeh-temeh

ketenangan diri

Ada individu yang boleh menyeimbangkan diri dengan melakukan pelbagai perkara dalam satu-satu masa saat emosinya stabil.

Namun, jika ketenangan diri telah mula terganggu, anda mungkin akan cepat marah atau putus asa walaupun terhadap satu perkara kecil sahaja.

Apabila anda sedar perkara seperti ini berlaku, berhenti melakukan kerja anda dan berehat seketika dengan memanfaatkan masa bersendirian.

Cuba fikirkan apakah perkara yang sedang mengganggu anda dan apa yang perlu anda lakukan.

Selain itu, relakskan diri anda untuk mengembalikan tenaga tubuh badan anda. 

#4. Mula cepat marah dengan orang di sekeliling terutamanya keluarga terdekat

Pada saat ini, anda mungkin mengalami emosi yang terganggu dan cepat marah-marah kepada orang yang berada di sekeliling.

Adakalanya anda menengking dan mengherdik mereka walaupun disebabkan perkara yang kecil sahaja.

Anda tidak sedar bahawa anda sedang mengalami tekanan dan cuba melepaskannya kepada orang lain yang tidak bersalah.

Saat perkara seperti ini berlaku, apa yang perlu anda lakukan adalah menjauhkan diri anda seketika daripada orang lain dan gunakan masa bersendirian tersebut untuk menenangkan diri.

Antara perkara yang boleh anda lakukan adalah dengan menarik nafas panjang atau bermain dengan haiwan peliharaan.

Ia boleh membantu meredakan perasaan marah yang sedang anda rasakan.

#5. Mencari tempat untuk menyorok buat seketika bagi mendapatkan ketenangan diri

Salah satu perkara yang mungkin berlaku ialah anda cuba mencari satu lokasi di mana tiada orang lain yang akan mencari atau mengganggu anda buat seketika.

Anda mungkin memilih untuk berkurung di dalam bilik atau berada di dalam bilik air dalam tempoh yang lama.

Untuk mengatasi situasi ini, kelualah bersiar-siar atau berjalan-jalan di luar rumah. Luahkan perasan anda kepada individu yang anda percaya.

Kenal pasti perkara yang boleh memupuk ketenangan diri!

Jika cadangan yang dinyatakan di atas ini tidak begitu berkesan, anda boleh melakukan perkara lain yang dirasakan boleh menenangkan diri dan mengembalikan semula kestabilan emosi anda.

Sebagai contoh, pergi melepak dengan rakan yang lain, menonton wayang atau mungkin semudah tidur.

Kami percaya, selepas anda kenal pasti tanda anda perlukan ‘me time’ ini, anda tahu apa sebenarnya yang tubuh badan anda mahukan iaitu rehat secukupnya. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Coplan RJ, et al. (2014). The handbook of solitude: Psychological perspectives on social isolation, social withdrawal, and being alone. Chichester, West Sussex: John Wiley & Sons.
  2. White MP, et al. (2019). Spending at least 120 minutes a week in nature is associated with good health and wellbeing. DOI:10.1038/s41598-019-44097-3
  3. Health Benefits of having a routine.http://nm.org/healthbeat/healthy-tips/health-benefits-of-having-a-routine. Accessed 16 June 2022. 
  4. Ce corner isolation. http://apa.org/monitor/2019/05/ce-corner-isolation. Accessed 16 June 2022.  
  5. Medical care for mental health. https://californiahealthline.org/multimedia/more-adolescents-seek-medical-care-for-mental-health-issues/Accessed 16 June 2022. 

Versi Terbaru

16/06/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Mudah Rasa Cemas dan Gelisah? Ini Cara Hilangkannya, Jangan Sampai Jadi Stres

Stres Lepas Kena Buang Kerja? Ini 11 Langkah Yang Boleh Anda Ambil Untuk Move On


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan