backup og meta

Movember, Kesihatan Mental Lelaki Dan Maskuliniti Toksik

Movember, Kesihatan Mental Lelaki Dan Maskuliniti Toksik

Selamat datang ke Movember! Sepanjang bulan ini, kenalan lelaki anda akan mula membiarkan muka mereka yang dahulunya bersih dipenuhi oleh jambang, misai dan juga bulu-bulu wajah yang lain. Persoalannya, apa kaitan Movember dengan kesihatan mental lelaki?

Bukan sekadar penggayaan misai dan jambang

Movember atau turut dikenali sebagai ‘No-shave November’, merujuk kepada gabungan singkatan bagi perkataan Moustache (Mo) dan juga bulan November. Pergerakan ini melibatkan kaum lelaki membiarkan bulu-bulu di wajah mereka tumbuh mekar tanpa dicukur di sepanjang bulan November. Pelbagai gaya misai dan jambang yang dapat dilihat dalam bulan ini seperti goatees, Fu Manchus dan juga mutton chops. Selain memperagakan kebolehan untuk mempunyai bulu pada wajah dengan gaya yang berbeza-beza, tujuan utama Movember disambut adalah untuk mewujudkan kesedaran yang lebih kuat dalam masyarakat berkaitan dengan masalah kesihatan lelaki. 

Antara isu masalah kesihatan lelaki yang diperjuangkan dalam bulan ini adalah isu kesihatan mental lelaki, masalah kemurungan dan bunuh diri, masalah prestasi seks dan juga kanser prostat dan testis. Mungkin anda tertanya-tanya, mengapa perlu ada bulan kesedaran untuk penyakit-penyakit ini dalam kaum lelaki? Bukankah kanser, bunuh diri dan juga masalah mental turut berlaku dalam kalangan wanita? Sememangnya itu adalah persoalan yang baik. Movember memperjuangkan isu-isu ini kerana ketebalan stigma yang menyelubunggi kaum lelaki.

Menyokong kesihatan mental lelaki

Movember menggalakkan kaum Adam untuk mendapatkan bantuan bagi masalah kesihatan mental mereka. Ini kerana impak stigma yang terlalu mendalam terhadap kaum lelaki sekian lama telah merumitkan isu kesihatan mental mereka. Seperti kaum wanita, kaum lelaki turut dibelenggu stigma mereka yang tersendiri. Jika anda seorang lelaki, anda pasti pernah dengar beberapa stigma dan stereotaip yang pernah dilemparkan terhadap anda. Perkataan seperti ‘tough’, ‘sado’, ‘kuat’, dan juga ‘hati kental’ pasti pernah dihamburkan kepada anda sama ada daripada kaum lelaki sendiri mahupun daripada kaum wanita. Dalam masyarakat, antara stereotaip yang kerap dilemparkan terhadap kaum lelaki adalah: 

  • Lelaki perlu menjadi kuat 
  • Lelaki perlu rintang terhadap rasa sakit apabila cedera 
  • Lelaki kena bertubuh sasa baru macho
  • Lelaki perlu jiwa kental dan tak boleh menangis 
  • Lelaki perlu tunjuk keupayaan untuk menangani stres
  • Lelaki tak boleh meminta tolong, tak jantanlah kalau macam tu!

Walaupun kadang-kadang ayat-ayat di atas dilontarkan dengan nada bergurau atau dengan bersahaja, ia mempunyai kesan yang mendalam dan juga berpanjangan terhadap mentaliti kaum lelaki. Masyarakat beranggap kaum lelaki perlu memenuhi ‘peranan-peranan’ tersebut tanpa gagal. Mereka dikhendaki untuk tidak meminta bantuan, perlu menyelesaikan semua perkara dan urusan dengan sendiri, tidak menunjukkan kesedihan mereka di khalayak ramai dan juga perlu ‘menadah’ tubuh badan mereka jika ada orang meminta tolong dari sudut fizikal walaupun mereka tidak berada dalam keadaan yang sihat atau kuat sepenuhnya.

Penulis sendiri pernah berhadapan dengan situasi ini walaupun berada dalam komuniti perubatan yang profesional. Ketika menghidap penyakit yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad, penulis pernah diberitahu untuk ‘tahan sedikit rasa sakit itu, anda kan lelaki’ apabila meminta untuk mendapatkan ubat tahan sakit. Hairan, jantina tidak termasuk dalam indikasi untuk ubat tahan sakit. Lagipun, penulis sedang mengalami kesakitan pada skala 7/10, apa perlunya penulis ‘menjadi kuat’ di saat itu sedangkan ada ubat untuknya? Kenapa wanita sahaja yang dibenarkan untuk tidak terus menderita menahan sakit dengan sendirinya?

Oh saya tahu kenapa – sebab saya kan lelaki.

Akibat stigma dan stereotaip ini, kaum lelaki kurang cenderung untuk berkongsi tentang masalah kesihatan mereka (termasuk kesihatan mental) atau untuk mendapatkan rawatan dan pertolongan. Kesannya, mereka terpaksa menderita lebih lama dan berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan yang lebih teruk. Fenomena yang mencirikan bagaimana stereotaip maskulin lelaki ini menyebabkan mereka lebih berisiko untuk jatuh sakit, menderita dan juga terkorban ini disebut sebagai maskuliniti toksik.

Stereotaip yang tersebar luas di seluruh dunia

Awal tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan kaum wanita hidup lebih lama berbanding kaum lelaki di seluruh dunia. Jurang umur antara dua jantina ini adalah lebih tinggi dalam negara dunia ketiga dan negara membangun berbanding negara maju.

Dalam memperhalusi punca mengapa terjadinya perbezaan ini, beberapa perkara telah dikenal pasti. Menurut Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Pengarah WHO, selain faktor biologi faktor persekitaran dan juga faktor budaya memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi statistik ini. Terdapatnya perbezaan tingkah laku (dalam mendapatkan rawatan) antara kaum lelaki dan wanita, dan perbezaan ini sedikit sebanyak didorong oleh peranan sosial yang diberikan terhadap kaum lelaki. Sebagai contoh, dalam negara yang mengalami epidemik HIV yang menyeluruh, kaum lelaki didapati kurang cenderung atau terbuka untuk ujian HIV ataupun rawatan antiretroviral berbanding wanita. Kesannya, mereka lebih cenderung untuk mati akibat penyakit-penyakit berkaitan AIDS.

Kesan maskuliniti toksik ini juga tidak terhad untuk penyakit fizikal. Dari sudut penyakit mental, lelaki lebih cenderung untuk mengalami penyakit mental yang teruk dan mendominasi peratusan kematian akibat daripada kemurungan. Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan UK, lebih daripada tiga per empat daripada kes bunuh diri adalah daripada kaum lelaki. Selain itu, bunuh diri adalah punca kematian utama dalam kalangan kaum lelaki berusia 35 tahun dan ke bawah. Statistik ini bukanlah sesuatu yang menghairankan – apabila anak lelaki diajar bahawa mereka adalah insan yang lemah jika mereka sedih, tertekan atau meminta bantuan, tekanan perasaan yang dipendam itu akan perlahan-lahan membesar menjadi satu ‘kanser’. Sampai satu tahap di mana ia tidak lagi mampu dipendam, mereka akan menjadi mangsa penyakit mental.

Kesimpulannya, walaupun terdapat kecenderungan biologi tertentu untuk penyakit fizikal, tiada siapa yang imun daripada penyakit mental. Malahan, lelaki adalah mangsa utama penyakit mental dan mendominasi angka kematian akibat daripadanya. Jelas sekali isu kesihatan mental lelaki bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Tidak kira apa jantina sekalipun, kita semua boleh disakiti, boleh cedera dan berhak untuk meminta tolong. 

Berhenti memberitahu orang lelaki bahawa mereka tidak perlukan bantuan atau mereka perlu kuatkan diri di saat mereka telah gersang daripada sebarang kekuatan. Sempena dengan Movember ini, hulurkan tangan dan bantu kawan-kawan atau keluarga lelaki anda untuk mendapatkan bantuan.

 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

WHO-DAD-2019.1-Eng.Pdf.

What Is Toxic Masculinity? – The New York Times https://www.nytimes.com/2019/01/22/us/toxic-masculinity.html (accessed Nov 5, 2019).

Wanita Hidup Lebih Lama Berbanding Lelaki Tetapi Mengapa? Hello Doktor, 2019.

Toxic masculinity: A primer and commentary | www.xyonline.net https://xyonline.net/content/toxic-masculinity-primer-and-commentary (accessed Nov 5, 2019).

Suicides in Great Britain – Office for National Statistics https://www.ons.gov.uk/peoplepopulationandcommunity/birthsdeathsandmarriages/deaths/bulletins/suicidesintheunitedkingdom/2016registration (accessed Nov 5, 2019).

Bahar, N.; Wan Ismail, W. S.; Hussain, N.; Haniff, J.; Bujang, M. A.; Hamid, A.; Yusuff, Y.; Nordin, N.; Ali, N. Suicide among the Youth in Malaysia: What Do We Know? Asia-Pacific psychiatry : official journal of the Pacific Rim College of Psychiatrists 2014, 7. https://doi.org/10.1111/appy.12162.

NIMH » Men and Mental Health https://www.nimh.nih.gov/health/topics/men-and-mental-health/index.shtml (accessed Nov 5, 2019).

Key data: mental health https://www.menshealthforum.org.uk/key-data-mental-health (accessed Nov 5, 2019).

News, A. B. C. Everything You Ever Wanted to Know About Movember and No-Shave November https://abcnews.go.com/Health/wanted-movember-shave-november/story?id=26654042 (accessed Nov 5, 2019).

 

Versi Terbaru

12/06/2020

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Jangan Biarkan Jika Rasa Penat Otak! Ini 5 Cara Efektif Bantu Atasi Keletihan Mental

Kenali Ciri Ciri Anxiety, Adakah Ia Stres Biasa Atau Kegelisahan Melampau?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 12/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan