Wabak koronavirus masih lagi membelenggu seluruh dunia. Malah kes-kes mental dilihat semakin mencanak naik, tidak terkecuali gangguan stres pasca trauma (PTSD).
Wabak penyakit berjangkit ini boleh memberikan tekanan kepada mental dan emosi, terutamanya bagi individu yang sudah pun mempunyai PTSD.
Trauma mempengaruhi setiap orang secara berbeza, dan mereka yang mempunyai PTSD berpotensi untuk mengalami simptom lebih teruk dalam situasi dunia yang gawat ini.
Pengasingan sosial, ketakutan dijangkiti penyakit, kehilangan orang yang disayangi atau masalah kewangan yang mungkin berpunca daripada pandemik ini, mampu menambahkan trauma pesakit.
Apa itu gangguan stres pasca trauma (PTSD)?
Gangguan stres pasca trauma (post traumatic stress disorder, PTSD) merujuk kepada keadaan mental di mana individu mengalami episod panik yang dirangsang oleh pengalaman yang lalu.
Pengalaman melalui peristiwa traumatik boleh jadi sangat ‘menyakitkan’ bagi ramai individu.
Ini terutamanya bagi sebahagian individu yang menghidapi gangguan stres pasca trauma selepas mereka mengalami peristiwa yang menyakitkan atau mengejutkan seperti kemalangan jalan raya atau peperangan.
Rentetan itu, individu ini akan sentiasa berfikir tentang peristiwa traumatik tersebut dan ia boleh memberikan kesan kepada kehidupan.
Sukar sebenarnya untuk menyesuaikan diri dalam membuat perubahan tetapi terdapat cara-cara tertentu untuk membuatkan si penghidapnya berasa lebih baik.
Simptom-simptom PTSD
PTSD boleh mempengaruhi orang dengan cara yang berbeza. Seseorang individu mungkin mengalami trauma secara langsung atau melalui orang tersayang.
Gejala biasanya timbul sejurus selepas trauma, tetapi kadangkala boleh timbul beberapa bulan atau tahun kemudian.
Terdapat 4 jenis gejala yang bercirikan PTSD. Ini termasuk:
- Mengalami trauma: Seseorang mungkin mengalami mimpi buruk atau flashback mengenai memori yang traumatik
- Mengelakkan situasi tertentu: Seseorang individu boleh mengelakkan situasi atau orang yang mengingatkan mereka akan pengalaman traumatik yang dialami
- Mengalami perubahan negatif berkaitan emosi dan kepercayaan: Seseorang individu mungkin mengalami perubahan dalam cara mereka berfikir tentang diri sendiri dan orang lain di sekeliling
- Mengalami hyperarousal: Mereka yang menghidap PTSD mungkin mengalami kesukaran untuk tidur dan fokus. Pesakit juga menjadi mudah terkejut
Sekiranya salah satu daripada gejala ini berterusan selama lebih dari 4 minggu, doktor atau golongan profesional kesihatan akan mendiagnosis masalah ini sebagai PTSD.
PTSD & wabak koronavirus
Wabak koronavirus dapat memburukkan lagi masalah kesihatan mental yang sedia ada dengan tekanan-tekanan baharu yang dialami ketika pandemik ini.
Terdapat beberapa situasi yang boleh mencetuskan masalah kemurungan, kegelisahan malah PTSD kepada individu yang sudahpun menderita penyakit ini.
Antara kesan pandemik COVID-19 yang boleh memberi kesan adalah seperti:
- Tidak dapat melihat orang tersayang
- Terasa terasing dan sunyi apabila tidak boleh keluar rumah
- Berasa ‘lemas’ dengan kehidupan dan rutin harian
- Orang tersayang dijangkiti penyakit koronavirus
- Kesempitan wang akibat hilang pekerjaan
Bukan sahaja penderita PTSD dan masalah mental, malah mereka yang bekerja sebagai barisan hadapan seperti doktor, polis, posmen dan seangkatan dengannya juga boleh terkesan dengan situasi sebegini.
Sesungguhnya, wabak koronavirus telah mewujudkan tekanan dan ketegangan kepada seluruh penduduk dunia yang terjejas!
Bagaimana pesakit PTSD dirawat?
Merawat PTSD bermakna anda perlu mengawal semula hidup anda. Rawatan pertama ialah psikoterapi yang sering digunakan bersama ubat-ubatan.
Apabila anda menggabungkan rawatan ini, simptom boleh bertambah baik.
Selain itu, anda perlu belajar skil untuk menghadapi simptom dan membantu anda rasa lebih baik tentang diri sendiri.
Doktor akan mengajar anda cara-cara untuk mengatasi jika simptom tersebut kembali semula.
Tambahan itu, rawatan ini akan membantu merawat masalah yang berkaitan dengan pengalaman traumatik, seperti depresi, kebimbangan atau penyalahgunaan alkohol atau dadah.
Terdapat beberapa kaedah psikologi yang direka untuk membantu anda mengenal pasti dan mengurusnya dengan baik seperti terapi kognitif, terapi pendedahan dan desensitasi pergerakan mata.
Untuk terapi kognitif, ia membantu anda mengenal pasti apa yang membuatkan anda tersekat di dalam sesebuah memori tersebut.
Terapi pendedahan pula membantu anda menghadapi dengan selamat apa yang anda rasa menakutkan supaya dapat belajar cara mengatasinya dengan efektif.
Desensitasi dan pergerakan mata pemprosesan semula dengan satu rangkaian pergerakan mata terpandu membantu anda memproses memori traumatik dan mengubah cara anda bertindak balas terhadapnya.
Anda mungkin turut memerlukan beberapa ubat untuk merawat simptom-simptom PTSD.
Ia boleh jadi antidepresi untuk membantu simptom depresi, anti-anxiety untuk memperbaiki kebimbangan dan stres serta prazosin apabila simptom melibatkan insomnia atau mimpi ngeri berulang.
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya lakukan untuk menangani PTSD?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh dilakukan di rumah untuk mengatasi gangguan stres pasca trauma adalah:
- Ikut plan rawatan dan bersabar
- Belajar tentang PTSD. Ini boleh membantu anda memahami apa yang anda sedang rasa dan boleh menyediakan strategi untuk membantu anda bertindak balas dengan lebih efektif
- Dapatkan rehat yang cukup, makan makanan yang sihat dan ambil masa untuk relaks
- Elakkan kafien dan nikotin yang boleh memburukkan lagi masalah kebimbangan
- Jangan menyalahgunakan alkohol atau ubat untuk menghilangkan perasaan anda, kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak masalah dan menghalang proses pemulihan yang sebenar
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.