backup og meta

Penyakit Cemburu Membabi Buta: Kenali Sindrom Othello

Penyakit Cemburu Membabi Buta: Kenali Sindrom Othello

Kata orang, cemburu itu tanda sayang tetapi bagaimana pula dengan amalan cemburu membabi buta sehingga menyebabkan tekanan emosi?

Kenali sindrom Othello

Bagaimana perasaan dan reaksi anda jika diajukan pelbagai soalan dan dilemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas oleh pasangan anda? Kalau sekali dua mungkin masih boleh bersabar dan bertindak positif tetapi bagaimana jika ia berlaku hampir setiap hari? Inilah masalah yang dihadapi oleh seseorang yang menjalinkan hubungan dengan penghidap sindrom Othello.

Othello ya, bukan oh telo!

Sindrom Othello yang turut dikenali sebagai ‘pathological jealousy’, adalah sejenis gangguan delusi di mana seseorang itu cenderung untuk membuat pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap pasangan mereka tanpa sebarang bukti yang kukuh. Dakwaan mereka ini boleh dibuat berdasarkan perkara yang tidak masuk akal ataupun perkara yang tidak signifikan. Berbeza dengan penyakit delusi yang lain, penghidap sindrom ini cenderung untuk menghendap (stalking), melakukan sabotaj dan juga berupaya untuk bertindak ganas. 

Nama Othello datangnya daripada seorang watak dalam pementasan Shakespeare bertajuk ‘Othello’. Dalam pementasan tersebut, watak utama (seorang lelaki) telah membunuh isterinya kerana mempercayai bahawa dia telah berlaku curang. 

Bentuk sindrom Othello

Penyakit ini boleh wujud dalam beberapa bentuk  seperti obsesi dan juga delusi. Berikut merupakan penjelasan untuk setiap bentuk penyakit ini:

Obsesi – Bentuk obsesi ini disertai oleh pemikiran cemburu yang melampau diikuti oleh satu set tindakan yang dilakukan berulang kali (kompulsif) demi memuaskan pemikiran obsesif tersebut. Sebagai contoh, akibat sering hadir pemikiran negatif terhadap pasangan dan rasa cemburu yang membuak – buak, seseorang itu mungkin akan menelefon pasangannya berkali-kali untuk mengetahui perihal mereka. 

  • Antara perbuatan kompulsif yang mungkin dilakukan oleh penghidap sindrom ini adalah: Memeriksa mesej dalam telefon pasangan 
  • Menyaring setiap interaksi dalam akaun media sosial pasangan 
  • Menuduh pasangan berlaku curang jika cuba mengelak daripada diserang
  • Mengekori atau menghendap pasangan dari masa ke semasa
  • Mengehadkan pergaulan pasangan walaupun dengan kawan rapat atau ahli keluarga

Delusi – Definisi delusi adalah kepercayaan salah yang kukuh tentang suatu perkara walaupun bukti jelas menunjukkan bahawa kepercayaan mereka adalah salah. Sebagai contoh, seseorang itu yakin bahawa artis ternama sedang bercinta dengannya walaupun artis tersebut tidak tahu menahu akan kewujudan mereka. Bagi penghidap sindrom ini, delusi yang mereka alami adalah delusi kecurangan (delusion of infidelity). 

Bagaimana boleh berlaku penyakit cemburu membabi buta ini?

Terdapat beberapa sebab atau faktor risiko yang dikaitkan dengan sindrom ini. Antaranya

1.Gangguan fungsi seksual

Bagi seseorang yang mempunyai gangguan prestasi seksual akibat masalah kesihatan tertentu, mereka cenderung untuk dihantui bayangan pasangan mereka curang dengan orang lain demi mendapatkan kepuasan seksual. Walaupun pasangan mereka tidak curang, tanggapan ini akan mendorong mereka untuk membentuk perasaan cemburu yang melampau dan mula membuat tuduhan yang tidak berasas. 

2.Faktor persekitaran dan budaya

Sesetengah budaya cukup mengangkat martabat satu jantina berbanding jantina yang lain. Pengukuhan peranan dominan lelaki dan sifat menyerah wanita dapat dilihat dalam pelbagai budaya konservatif di sekitar Timur Tengah dan Asia Tengah. Dalam kebanyakan kes, penekanan peranan ini boleh menjadi terlalu ekstrim sehinggakan wanita itu dianggap sebagai hak milik suami mereka. Ini mendorong kepada sikap cemburu membabi buta, pergaduhan dan juga tindakan agresif. 

3.Penyalahgunaan dadah atau pengambilan alkohol

Terdapat kajian yang telah mengenal pasti bahawa penyalahgunaan alkohol dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidap sindrom ini. Selain itu, penggunaan dadah amfetamin dan kokain turut dikaitkan dengan kecenderungan yang sama. 

4.Faktor psikologi dan peranan penyakit mental lain

Sindrom Othello boleh disebabkan oleh sifat ‘insecure’ semula jadi yang dimiliki seseorang, atau melalui pengalaman lampau mereka. Ia juga boleh dijumpai dalam kalangan penghidap penyakit mental tertentu. Antara penyakit yang dikaitkan dengan masalah cemburu membabi buta ini adalah schizophrenia dan juga penyakit bipolar.

 

Akibat perasan cemburu yang melampau, penghidap sindrom ini cenderung untuk melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap pasangan mereka. Jika anda mempunyai pasangan yang mempunyai masalah ini, segera dapatkan bantuan agar anda tidak terus merana. Seperti mana-mana penyakit, terdapat rawatan dan pengurusan yang boleh dilakukan oleh doktor. Selain perasaan cemburu, bersangka baik dan saling mempercayai  juga adalah tanda sayang seseorang terhadap pasangan mereka.

 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Othello syndrome. Preventing a tragedy when treating patients with delusional disorders. – PubMed – NCBI https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20669866 (accessed Oct 9, 2019).

CLINICAL AND IMAGING FEATURES OF OTHELLO’S SYNDROME https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3144984/ (accessed Oct 9, 2019).

BJPsych advances. (Journal, magazine, 2015) [WorldCat.org] https://www.worldcat.org/title/bjpsych-advances/oclc/905493179 (accessed Oct 9, 2019).

Aspects of morbid jealousy | Advances in Psychiatric Treatment | Cambridge Core https://www.cambridge.org/core/journals/advances-in-psychiatric-treatment/article/aspects-of-morbid-jealousy/06CBB7BF78CC43C785AE6F7C0F0046C9 (accessed Oct 9, 2019).

Versi Terbaru

16/06/2020

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Pesakit Kronik Perlu Ada Motivasi Hidup, Minda Positif- Pakar Kongsi Tip Cekal Uruskan Kanser

Jangan Biarkan Jika Rasa Penat Otak! Ini 5 Cara Efektif Bantu Atasi Keletihan Mental


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 16/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan