Tidur satu katil bersaiz king atau queen merupakan simbol kepada kehidupan selepas berkahwin.
Walaupun ia kadangkala menjadi tidak selesa, terutamanya jika terdapat persengketaan di antara suami dan isteri, mereka masih tidur bersebelahan.
Sebab apa ya? Sebab ia boleh mengukuhkan kasih sayang. Betul ke ni?
Jom aca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.
Konsep sleep divorce
Tidur bersendirian bukanlah satu konsep yang asing.
Malahan, menurut satu kaji selidik atas talian yang melibatkan 14,000 responden, 60 peratus lebih cenderung kepada idea tidur bersendirian berbanding tidur bersama-sama.
Perkara ini selaras dengan kaji selidik yang pernah dijalankan oleh National Sleep Foundation di Amerika Syarikat.
Menurutnya, 1 daripada 4 pasangan di Amerika tidur di katil yang berasingan atau bilik berasingan.
Jika dilihat pada konsep tidur berasingan, ia seperti mereka tidak menyayangi satu sama lain.
Hakikatnya, terdapat situasi di mana tidur berasingan boleh memberikan kebaikan daripada sudut kesihatan terutamanya jika satu pihak mempunyai masalah kesihatan.
Ada individu yang mengigau pada waktu malam, ada yang berdengkur dan ada juga pasangan yang mempunyai gaya tidur yang berlainan.
Sebagai contoh, satu suka memeluk dan satu lagi tidak suka dipeluk.
Perkara ini boleh mengganggu tidur individu lain dan seperti apa yang pernah disebutkan dalam konsep kelanjutan usia, tidur merupakan faktor utama yang perlu dijaga kerana ia mempengaruhi kesihatan secara menyeluruh.
Sleep divorce bukanlah satu penceraian perkahwinan meskipun terdapat perkataan divorce yang bermaksud cerai dalam terma tersebut.
Ia merupakan situasi di mana pasangan suami isteri tidur berasingan.
Kajian yang dijalankan oleh Mattress Clarity telah menunjukkan bahawa 31% daripada 3,000 responden mahu mempraktikkan konsep sleep divorce dalam kehidupan mereka.
Menurut Dr Mehmet Oz, seorang pakar bedah kardiotorasik yang juga merupakan personaliti televisyen, jika tidur tidak dijaga, ia bakal merosakkan perkahwinan anda.
Kesan tidak cukup tidur terhadap hubungan suami isteri
Pada tahun 2005, Dr Neil Stanley, seorang pakar tidur telah menjalankan satu kajian berkenaan dengan gangguan sewaktu tidur dalam kalangan pasangan suami isteri.
Subjek yang terlibat akan dipasangkan dengan peranti yang dapat memantau pergerakan sewaktu tidur dan memberitahu pengkaji jika pasangan terjaga.
Menurutnya, pergerakan satu pasangan ketika tidur akan menyebabkan pasangannya turut bergerak.
Perkara ini boleh mengganggu waktu tidur seseorang malahan ⅓ gangguan sewaktu tidur berpunca daripada pasangan anda.
Jika dilihat dari sudut hubungan antara suami isteri, masalah tidak cukup tidur kronik boleh menyebabkan permasalahan berkaitan hubungan tersebut.
Pada tahun 2016, analisis yang dikeluarkan bagi melihat semula kajian berkenaan dengan topik ini menunjukkan bahawa mereka yang mengalami gangguan tidur kebiasaannya mempunyai masalah hubungan.
Ia juga disokong oleh kajian lain pada tahun 2010 oleh Wendy et al yang menyatakan bahawa kualiti tidur yang tidak elok mempunyai kaitan dengan peningkatan pada kadar penceraian.
Jelas di sini menunjukkan selain daripada mempengaruhi kesihatan am, tidak cukup tidur juga boleh memberikan impak negatif terhadap keintiman hubungan suami isteri.
Menurut Dr Stanley lagi, selain daripada kesan negatif yang disebutkan di atas, kualiti tidur yang tidak baik juga boleh menyebabkan peningkatan berat badan, kencing manis jenis 2, kemurungan dan peningkatan pada risiko kemalangan jalan raya.
Kesan tidak cukup tidur boleh menyebabkan fungsi badan pada tahap sel terganggu memandangkan ia mempunyai jam dalaman yang tersendiri.
Jika tidur merupakan komponen penting dalam mengekalkan kehangatan rumah tangga, maka ia perlu diberi perhatian sepenuhnya.
Hubungan seks lebih spontan
Adakah dengan penetapan tempat tidur berasingan akan memberikan kesan negatif terhadap perkahwinan seseorang?
Tidak semestinya.
Malahan, mereka yang tidur berasingan kebiasaannya mengalami hubungan kelamin yang lebih spontan.
Menurut Dr Stanley, apabila pasangan suami isteri tidur berdua, hubungan seks kebiasaannya berlaku kerana itu merupakan waktu privasi bagi mereka berdua.
Namun, jika dilihat pada konteks kerelaan, waktu tersebut tidak semestinya ideal dari segi emosi dan fisiologi untuk melakukan hubungan seks.
Professor Hilary Hinds yang merupakan pengkaji dari Universiti Lancaster telah menerangkan di dalam bukunya bahawa, sebelum tahun 1950-an, tidur berasingan merupakan pilihan utama bagi golongan atasan dan golongan pertengahan.
Ia berasaskan konsep penyebaran penyakit pada waktu tersebut (era Viktorian) yang menyatakan ia tersebar melalui udara yang tidak baik.
Walaupun pemahaman terhadap topik tersebut (cara penyebaran jangkitan) berubah mengikut kajian semasa, konsep tidur berasingan tidak hilang sama sekali.
Malah, kini, masih terdapat rumah yang mempunyai dua bilik master yang dihuni oleh suami dan isteri secara berasingan.
Apabila tiba masa untuk melakukan hubungan seks, mereka akan bersama di dalam salah satu bilik tersebut.
Hmm, bagaimana jika saya tidak mampu untuk membeli dua katil atau dua bilik dalam rumah saya?
Pastikan anda membeli katil yang sekurang-kurangnya mempunyai kelebaran sepanjang 6 kaki.
Ia membolehkan anda untuk menikmati keluasan yang lebih kurang sama dengan dua katil kecil.
Jika anda sedar, konsep yang sering ditunjukkan dalam filem Jepun berkenaan dengan cara tidur juga menggunakan futon yang berasingan.
Satu untuk suami, dan satu untuk isteri.
Jika anda tidak berkongsi tidur, mengapa anda perlu berkongsi katil, kan?
[embed-health-tool-ovulation]