Tiap-tiap hari, mesti ada sahaja post Facebook yang di tag si isteri. Aduh, rimaslah. Bukan ada masa untuk baca pun. Tetapi sebenarnya ada sebab kenapa isteri tag suami.
Rimas isteri tag suami
“Sehari itu adakalanya hingga 4 5 post Facebook yang ditag, sampai rimas dan lemas dibuatnya. Tidak pernah baca pun sebenarnya pada post yang ditag itu”, pastinya ini merupakan antara keluhan biasa para suami.
Jangan risau, anda tidak sendirian wahai para suami. Ramai lagi individu lain turut dibelenggu situasi yang sama. Malahan pastinya ia menimbulkan rasa keliru kenapa si isteri perlu tag suami di laman media sosial, bukan?
Tetapi Encik Suami sekalian, adakah anda sedar mengapa pasangan anda berbuat demikian? Adakah mereka sekadar suka-suka atau ada maksud tersirat yang tidak pernah anda cuba fahami?
Mula memahami si isteri
Keadaan sama turut berlaku kepada seorang blogger berusia 28 tahun, Brad Kearns yang merupakan bapa kepada 2 orang cahaya mata. Dalam perkongsian di laman Facebook milikinya, dia menyatakan tentang si isteri yang gemar tag namanya untuk berkongsi apa yang dibaca.
Pada mulanya, dia hanya mengabaikan setiap post tersebut. Bahkan dia merasakan semua yang dilakukan si isteri adalah sesuatu yang membuang masa dan tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.
Sehinggalah dia mula memberikan perhatian kepada apa yang dikongsikan oleh isterinya, Brad menyedari tentang sesuatu yang sangat penting. Apa yang penting itu? Mesti berdebar ingin mengetahuinya, bukan?
Brad mula sedar bahawa si isteri selalu tag namanya di Facebook adalah sebagai cara untuk berkomunikasi dengan dirinya. Perkongsian di Facebook itu adalah sebagai pengganti untuk menyatakan apa yang tidak dapat disuarakan secara berdepan.
“Dari masa ke masa, saya belajar apa yang dikongsikan itu mungkin sesuatu yang lucu, bermakna atau mempunyai kaitan dengan hubungan kami. Post itu membantu menyampaikan apa yang ingin dinyatakan isteri dengan cara yang tepat dan relevan. Saya akan cuba maklumkan kepada isteri bahawa saya telah membaca perkongsian itu,” ujar Brad dalam laman Facebooknya.
3 sebab utama isteri tag suami
Setakat ini, faham tidak kenapa si isteri gemar tag suami mereka di Facebook? Masih kabur lagi? Tidak mengapa.
Sebelum anda memilih untuk hide post atau tidak menambah tag tersebut dalam Timeline Facebook, di sini Hello Doktor senaraikan 3 sebab utama mengapa isteri suka tag pasangan mereka.
- Menyatakan isi hati
Adakalanya apa yang ingin disampaikan tidak terluah dengan kata-kata. Jadi kebanyakan isteri memilih untuk menyatakan apa yang terbuku di hati melalui perkongsian tersebut.
Wanita adalah individu yang sukar menyatakan secara terus apa yang terpendam atau apa yang diinginkan. Malahan lebih banyak berkias atau menggunakan ayat dengan maksud penuh tersirat, tidak seperti lelaki.
Sebab itu adakalanya perkara ini boleh membawa kepada pergaduhan apabila apa yang ingin disampaikan isteri tidak difahami suami. Kasihan suami, ya?
Tetapi yang menambahkan lagi kekeliruan atau masalah adalah apabila post yang ditag itu terlalu panjang berjela sehingga suami tidak tahu apa yang isteri cuba sampaikan.
Jadi, para isteri sekalian, mungkin kalau ingin tag pasangan anda, pilihlah post yang ringkas, tepat dan ada isinya, okay?
- Demi kebaikan bersama
Ada masanya apa yang dikongsikan isteri itu adalah berkaitan perhubungan. Tujuan perkongsian dilakukan dengan harapan agar si suami membaca dan menambah ilmu pengetahuan dalam diri.
Mungkin post yang ditag itu berkisarkan kesihatan. Sebagai contoh kalau anda mempunyai tabiat merokok, mungkin si isteri mahu anda tahu tentang keburukan atau kesan tabiat kepada kesihatan anda. Itu bermakna pasangan anda menyayangi anda, jadi anda kena bersyukur, okay?
- Meluahkan perasaan
Komunikasi merupakan batu asas paling penting dalam kehidupan. Apabila pasangan suami isteri terlalu sibuk atau mempunyai kekangan masa untuk berjumpa disebabkan pekerjaan, maka tag Facebook itu adalah sebagai cara untuk meluahkan apa yang dirasai.
Ia bukan tujuan untuk memerli atau menjatuhkan maruah suami, tetapi tujuannya untuk Encik Suami sekalian membaca dan mengerti apa yang diingini isteri.
Jangan berlebihan
Sebenarnya tiada salahnya untuk anda sebagai isteri tag suami untuk sebarang post di Facebook. Cuma janganlah sehingga menjatuhkan maruah suami anda sendiri.
Jika apa yang ingin anda kongsi mungkin tidak sesuai untuk paparan umum, anda boleh hantarkan terus secara personal melalui pesanan (messages).
Untuk para suami pula, janganlah menganggap apa yang dikongsikan atau ditag isteri itu sebagai 1 perkara yang merimaskan. Ambil masa seminit dua untuk memahami apa yang ingin disampaikan si isteri. Mungkin ia dapat membantu menyemarakkan lagi hubungan kalian.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Majoriti Berita Kesihatan Dikongsi di Facebook Palsu atau Mengelirukan
- Friends & Followers Di Media Sosial Tak MENJANJIKAN Kebahagian – Kenapa?
- Ish! Media Sosial Buat Individu Lebih Kerap Melancap?
- Ramai Guna Media Sosial Untuk Diagnosis Masalah Alat Sulit, Kajian
- Biadap Di Media Sosial, Isu Yang Semakin Tenat Dan Kritikal
[embed-health-tool-ovulation]