Anda pernah nampak rakan anda dengan berat badan berlebihan yang sanggup tidak memakan apa-apa semata-mata untuk menjadi ramping dan kurus?
Mereka dikategorikan sebagai golongan yang memiliki atypical anorexia nervosa.
Ia adalah sejenis gangguan emosi yang dicirikan sebagai memiliki keinginan yang melampau untuk menurunkan berat badan dengan cara tidak makan, tetapi memiliki berat badan yang normal atau berlebihan.
Mungkin tindakan tersebut nampak sebagai pilihan yang sihat atau terbaik, tetapi sebaliknya tidak.
Mereka mempunyai risiko kesihatan yang sama dengan mereka yang kurang berat badan atau BMI yang rendah.
Sama risiko dengan golongan BMI rendah
Remaja yang memiliki anoreksia dengan BMI dalam kategori sihat, berat badan berlebihan atau obes mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang sama dengan mereka yang mempunyai BMI yang rendah.
Mereka juga mempunyai risiko yang sama untuk mempunyai komplikasi kesihatan yang lain.
Ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji daripada University of California – San Francisco (UCSF).
Para penyelidik mendapati, mereka yang dikategorikan memiliki atypical anorexia nervosa cenderung untuk mengalami bradycardia atau kadar jantung perlahan, sama dengan pesakit lain dengan BMI yang rendah.
Tambahan lagi, pesakit anoreksia mungkin akan memiliki beban psikologi yang lebih berat berbanding mereka dengan BMI rendah disebabkan oleh dengan peningkatan penghindaran makanan dan lebih banyak perasaan negatif mengenai bentuk badan dan berat badan.
Kehilangan berat badan yang lebih besar, pantas dan lama adalah kunci keparahan penyakit
Menurut Profesor Garber, yang merupakan profesor pediatrik di Hospital Kanak-kanak Benioff, UCSF, berat badan yang rendah telah lama dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk.
Walau bagaimanapun, pada masa sekarang, ⅓ kemasukan ke hospital akibat gangguan pemakanan adalah pesakit dengan atypical anorexia nervosa, iaitu dengan berat badan normal atau lebih.
Menurut satu kajian, pesakit dengan kehilangan berat badan yang lebih besar, pantas dan lama, akan mendapat penyakit yang lebih teruk atau parah, tanpa mengira berat badan semasa mereka.
Salah satu kemungkinan mengapa pesakit dalam kategori atypical anorexia nervosa ini memiliki tabiat gangguan pemakanan yang lebih ekstrem adalah disebabkan mereka telah memiliki berat badan yang berlebihan.
Mereka juga mungkin telah mengalami stigma atau pandangan daripada individu lain yang membuatkan mereka rasa lebih bimbang mengenai saiz tubuh mereka.
Bukan sekadar pra anoreksia
Menurut Profesor Garber, hasil kajian menunjukkan bahawa atypical anorexia nervosa adalah sejenis penyakit yang sebenar, dan bukanlah bentuk penyakit yang lebih kurang mudarat berbanding pra anoreksia.
Beliau turut menambah, ahli pediatrik dan doktor perlu memantau pesakit yang mempunyai kehilangan berat badan secara besar dan pantas.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pada permulaannya memiliki berat badan yang mungkin memakan masa untuk menurunkannya, tetapi kini telah kelihatan ‘normal’.
Ini kerana mereka tetap memiliki risiko penyakit yang sama dengan mereka yang kurang berat badan.
Bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, anda sememangnya boleh menurunkan berat badan anda.
Tetapi anda perlu melakukannya dengan cara yang betul seperti melakukan aktiviti fizikal secara teratur, mengambil makanan yang sihat selain menjaga waktu tidur dan makan anda.
Tidak perlulah berlapar secara melampau semata-mata untuk menjadi kurus. Takut nanti yang dikejar tak dapat, lain pula yang datang.
[embed-health-tool-bmr]