Masalah mata kuning adalah istilah perubatan yang dikenali sebagai jaundis. Penyakit kuning ini berlaku apabila tahap bilirubin menjadi terlalu tinggi di dalam darah.
Bilirubin adalah bahan buangan berwarna kuning yang terdapat dalam hempedu, cecair yang dihasilkan hati untuk membantu menguraikan lemak.
Kehadiran bilirubin yang terlalu banyak dalam aliran darah dapat menyebabkan kebocoran ke tisu sekitarnya, seperti kulit dan mata, lalu, membuatkannya bertukar menjadi warna kekuningan.
Penyakit mata kuning mempunyai sebab yang berbeza pada orang dewasa, kanak-kanak, dan bayi yang baru lahir.
Pastikan anda terus membaca jika ingin mengetahui lebih lanjut okay!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.
Punca mata kuning pada bayi baru lahir
Penyakit kuning sangat biasa dan kerap terjadi pada bayi yang baru lahir kerana hati masih dalam proses untuk matang.
Selain daripada warna kuning pada kulit, salah satu tanda jaundis yang paling jelas pada bayi adalah warna mata kuning.
Pun begitu, mata kuning hanya merupakan salah satu gejala jaundis bagi bayi yang baru lahir. Ibu bapa juga harus memerhatikan simptom-simptom berikut:
- Kulit kekuningan
- Kekurangan tenaga
- Mudah marah
- Demam
- Masalah untuk makan
Para ibu bapa, sekiranya si comel anda mempunyai gejala-gejala berikut, usah buang masa dan segera bertemu dengan doktor.
Apa pun jangan panik kerana sebilangan besar kes penyakit kuning ini tidak berbahaya dan akan hilang secara sendiri tanpa rawatan apabila hati si manja menjadi matang.
Penyebab-penyebab jaundis neonatal yang normal termasuk:
- Jaundis fisiologi: Banyak bayi yang baru lahir mempunyai penyakit kuning disebabkan perkembangan hati yang belum cukup matang. Ia biasanya muncul ketika bayi berusia antara 2 dan 4 hari
- Menyusu: Bayi yang kurang menyusu badan boleh membentuk penyakit kuning, terutama apabila bayi tidak dapat susu yang cukup untuk menyingkirkan bilirubin. Tetapi, jaundis jenis ini sering hilang sendiri apabila bayi dapat bekalan susu yang cukup
- Susu ibu: Kadang-kadang, zat dalam susu ibu menyebabkan usus bayi yang baru lahir mengekalkan bilirubin berbanding mengeluarkannya melalui najis. Namun, penyakit kuning ini biasanya akan sembuh apabila si manja mencecah usia 12 minggu
Beberapa punca jaundis terhadap bayi baru lahir memerlukan rawatan lebih lanjut dan ini termasuk:
- Blood incompatibility jaundice: Apabila ibu dan janin tidak mempunyai jenis darah yang serasi, tubuh ibu boleh menyerang sel darah merah janin semasa di dalam rahim. Oleh sebab antibodi ibu sudah memecahkan sel darah merah bayi sebelum lahir, penyakit kuning jenis ini mampu berlaku seawal usia 1 hari
- Jaundis pramatang: Bayi pramatang berisiko terkena penyakit kuning kerana hati mereka yang masih belum cukup matang
- Jangkitan: Beberapa jangkitan bakteria, seperti sepsis, juga boleh menyebabkan penyakit kuning
- Pendarahan: Pendarahan dalaman boleh menyebabkan jaundis dan bayi pramatang menghadapi risiko pendarahan yang sangat tinggi.
Walaupun kebanyakan bayi mengalami penyakit kuning tahap ringan dan sederhana, kes yang lebih teruk boleh berlaku
Punca mata kuning pada kanak-kanak dan orang dewasa
Pada kanak-kanak dan orang dewasa, mata berwarna kuning sering menunjukkan masalah yang lebih serius kerana jaundis secara normalnya tidak berlaku pada kumpulan usia ini.
Sekiranya seorang budak atau orang dewasa mempunyai jaundis, ini petanda terhadap kemungkinan masalah perubatan yang perlu disiasat.
Terdapat 3 penyebab utama penyakit kuning berlaku:
- Penyakit hati atau kecederaan hati: Masalah hati menyebabkan sejenis penyakit kuning yang dikenali sebagai jaundis hepatoselular
- Pecahan sel darah merah: Apabila tubuh menguraikan sel darah merah terlalu cepat, peningkatan terhadap pengeluaran bilirubin boleh menyebabkan penyakit kuning terbentuk
- Sistem saluran hempedu tersumbat: Apabila saluran yang membawa hempedu dari hati ke pundi hempedu dan usus tersumbat, hati tidak dapat menyingkirkan bilirubin, lalu ia akan terkumpul. Jaundis jenis ini disebut sebagai ikterus obstruksi
Penyakit kuning ini juga sering berlaku dengan gejala-gejala lain yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan, termasuk:
- Kegatalan kulit
- Berasa tidak sihat
- Kepenatan
- Demam
- Najis berwarna pucat
- Air kencing berwarna gelap
Kenali anatomi mata
Penyakit kuning terutamanya akan mempengaruhi bahagian depan mata, kerana di sinilah pigmen kuning senang kelihatan.
Selain itu, adalah penting untuk anda mengenali anatomi mata bahagian depan untuk memahami bagaimana jaundis mempengaruhi mata.
Bahagian depan mata terbuat daripada pad beberapa bahagian yang berbeza, iaitu:
- Kelopak mata dan bulu mata: Bahagian kelopak mata atas dan bawah menjadi pelindung daripada kotoran dan habuk. Ia juga berfungsi untuk berkelip, agar mata kekal lembap
- Anak mata: Ia berfungsi dengan mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata. Jaundis biasanya tidak memudaratkan anak mata pesakit
- Iris: Iris adalah bahagian berwarna yang mengelilingi anak mata anda. Ia mengandungi otot yang mampu mengembangkan anak mata. Jaundis boleh kelihatan pada mata pesakit yang menghidapinya
- Sclera: Ini adalah bahagian putih mata. Sklera mengelilingi iris dan turut melindungi struktur rapuh di bahagian dalam mata. Penyakit jaundis dapat dilihat dengan jelas apabila bahagian ini bertukar menjadi warna kekuningan
Konklusi
Akhir kata, jangan panik sekiranya si manja mempunyai masalah mata kuning kerana ia sering diakibatkan oleh penyakit jaundis, yang semakin kerap berlaku dalam kalangan bayi baru lahir.
Pun begitu, sekiranya mata kuning berlaku pada golongan kanak-kanak atau diri anda sendiri, segera lakukan janji temu bersama doktor kerana dikhuatiri menjadi petanda terhadap komplikasi kesihatan yang lain!