backup og meta

Mata Terasa Tegang Apabila Tengok TV? Menonton Dengan Jarak Dekat Mungkin Puncanya!

Mata Terasa Tegang Apabila Tengok TV? Menonton Dengan Jarak Dekat Mungkin Puncanya!

Penglihatan terjejas, mata letih, dan tegang, antara kesan yang sering dikaitkan dengan tabiat tengok TV berjarak dekat.

Sebelum penulis kupas dengan lebih lanjut, fakta ini mungkin akan mengejutkan anda, tetapi menonton TV atau televisyen dengan jarak dekat sebenarnya tidak menjejaskan penglihatan!

Beberapa tahun lalu, komuniti perubatan memberi amaran kepada pengguna televisyen mengenai bahaya radiasi-X daripada set televisyen.

Ya, perkara itu sememangnya sahih pada waktu tersebut, tapi ia tidak lagi menjadi kerisauan pada masa kini dengan kehadiran TV LCD dan Plasma.

Namun, kebimbangan ini sudah sebati dalam pemikiran masyarakat dan harus diakui, bukan semua orang mempunyai kemewahan memiliki TV leper.

Walaupun menonton kaca TV secara dekat tidak akan mengakibatkan kecederaan mata atau penglihatan, namun jarak yang dekat masih boleh menyebabkan mata letih dan ketegangan.

Jadi, berapa dekat dikira sebagai terlalu dekat? Berapa pula jarak yang sesuai untuk menonton televisyen?

Jawapannya mungkin agak mengejutkan, tetapi tidak ada formula tertentu dalam mengira jarak yang tepat.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

Jarak & jarak tontonan TV yang ideal

tengok TV

Sebilangan pakar mata mengesyorkan penonton untuk menonton sekitar 8 hingga 10 kaki dari kaca TV.

Peraturan umum, jaraknya haruslah sekurang-kurangnya 5 kali dari skrin mengikut kelebarannya.

Contohnya, jika televisyen anda selebar 32 inci, jarak tontonan optimum ialah 160 inci atau kira-kira 13 kaki.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pakar optometris dan pakar oftalmologi bersetuju bahawa jarak terbaik untuk tengok TV adalah jarak yang paling selesa bagi anda.

Selagi anda dapat melihat kaca TV dengan jelas tanpa mengalami sebarang ketidakselesaan, jaraknya mungkin sesuai.

Selain faktor jarak, kedudukan televisyen turut memainkan peranan untuk mencegah masalah mata letih atau ketegangan.

Tidak kisahlah sama ada anda menggantungkan TV di dinding atau meletakkannya di atas meja, pastikan untuk menyelaraskannya dengan paras mata atau lebih rendah untuk elak ketegangan otot mata atau leher.

Memaksa mata untuk memandang ke atas secara berterusan akan menyebabkan otot mata penat.

Di samping itu, disebabkan kewujudan pelbagai jenis skrin di pasaran, Persatuan Optometrik Amerika mempromosikan peraturan 20-20-20.

Ia dilakukan dengan merehatkan mata selama 20 saat setiap 20 minit untuk melihat objek jauh yang berjarak 20 kaki.

Jadi, jika anda menonton filem atau rancangan TV kegemaran di komputer riba, berehat seketika untuk elakkan mata tegang.

Mengapa skrin TV sebabkan mata letih?

mata letih

Ketegangan mata, atau asthenopia, adalah keadaan mata yang menyebabkan pelbagai gejala; keletihan, sakit di sekitar mata, penglihatan kabur, sakit kepala, dan kadangkala penglihatan berganda.

Simptom boleh terjadi selepas tengok TV pada jarak dekat, membaca, membuat kerja komputer, atau melakukan aktiviti dekat yang menggunakan mata.

Percubaan untuk memusatkan perhatian pada objek yang dekat untuk jangka masa panjang bakal membuatkan otot ciliary mengetat, menghasilkan gejala mata tegang.

Simptomnya termasuk:

Bukan itu sahaja, ketegangan mata boleh berlaku apabila mata kurang berkedip saat menonton TV atau melakukan kerja di hadapan skrin.

Rata-rata, mata kita berkedip sekitar 18 kali seminit, yang secara semula jadinya menyegarkan dan melincirkan mata.

Selain duduk dengan jarak terlalu dekat, tonton TV terlalu kerap juga menyebabkan ketegangan mata kerana anda terus fokus pada objek kecil yang terang di dalam bilik gelap.

Bilik gelap menyebabkan iris mata terbuka lebih luas untuk membenarkan cahaya masuk lebih banyak, tetapi ia gagal menutup sebanyak mungkin untuk fokus pada skrin terang.

Baca juga:

Sindrom mata kering

mata letih

Selain ketegangan mata, kondisi mata lain yang biasa berlaku akibat paparan skrin TV atau komputer adalah sindrom mata kering.

Air mata amat diperlukan untuk menjaga kesihatan permukaan depan mata dan memberikan penglihatan yang jelas.

Menatap skrin untuk jangka masa yang lama pula berupaya mengeringkan mata.

Sindrom mata kering sering kali dirawat menggunakan ubat titis mata berkualiti di samping menjalani terapi lain.

Apakah cara terbaik cegah mata letih

Doktor mata mengesyorkan teknik yang cukup mudah untuk mencegah masalah mata letih dan ketegangan.

Sekiranya anda sering menghadap skrin untuk jangka masa lama, alihkan fokus mata pada objek yang dekat ke jauh secara berkala.

Misalnya, alihkan fokus mata dari jarak yang dekat hingga jauh sekurang-kurangnya 20 kaki.

Melegakan mata letih

Jika kalian mengalami simptom ketegangan mata setelah menonton TV atau melihat peranti pintar, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketidakselesaan:

5 tip legakan mata letih

  • Urut mata dengan lembut
  • Tuam kain hangat ke kawasan mata
  • Cukupkan tidur pada waktu malam untuk membolehkan mata pulih
  • Melabur beli TV yang lebih besar untuk kurangkan isu ketegangan mata
  • Jangan lupa berkedip untuk mengelakkan mata kering

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Eyestrain. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/eyestrain/diagnosis-treatment/drc-20372403. Accessed on August 1, 2022.
  2. Eye Strain. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21059-eye-strain. Accessed on August 1, 2022.
  3. Television Radiation. https://www.fda.gov/radiation-emitting-products/resources-you-radiation-emitting-products/television-radiation. Accessed on August 1, 2022.
  4. Digital eye strain: prevalence, measurement and amelioration. https://doi.org/10.1136%2Fbmjophth-2018-000146. Accessed on August 1, 2022.
  5. Screen Use For Kids. https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/screen-use-kids. Accessed on August 1, 2022.
  6. Computer usage. https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/computer-usage. Accessed on August 1, 2022.

Versi Terbaru

03/01/2023

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Cahaya Cerah Sangat Hingga Ganggu Penglihatan? Ini Tanda Anda Alami Silau Mata!

Mata Penat Asyik Hadap Laptop? Cuba Senaman Yoga Mata, Bagus Untuk Penglihatan!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan